Thursday 9 January 2014

Perkampungan Seni Lendu dan 'Rumah Waris Uwan'



Tiga hari dua malam berkampung di Perkampungan Seni Antarabangsa Lendu (Liac 2013) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, pastinya pelbagai pengalaman dan ilmu yang sempat saya kutip.

Selain dapat mendekati dan mengenali kelompok seniman dan karyawan baru dan lama, saya lebih memahami perjuangan mereka memartabatan seni warisan Melayu.


Saya juga dapat merasai betapa seni sedang merakyat di Kampung Lendu yang saya kira cukup bertuah kerana berada hampir dengan UiTM Melaka.


Satu kelebihan bagi Kampung Lendu kerana pensyarah-pensyarah dan pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) mempunyai kesungguhan untuk mengindahkan kampung tersebut dengan sentuhan seni mereka.


Namun apa yang paling berbekas di hati saya adalah mengenai hasrat pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail untuk mengekalkan seni dan warisan kampung tradisi di Kuala Lumpur.


Siti Zainon merupakan anak jati Kampung Bandar Dalam, Gombak, salah satu daripada tujuh buah kampung yang hanya menunggu masa untuk dilupuskan dan dibangunkan dengan bangunan-bangunan moden.


Beliau sejak dahulu lagi aktif berkolaborasi dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) menganjurkan acara seni budaya kampung.


Antara acara seni budaya yang pernah diadakan di Kampung Banda Dalam adalah pada 2010 sempena Dirgahayu 150 tahun Kampung tradisi di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam.


Acara tersebut berjaya menghasilkan antologi puisi oleh 56 orang penyair.


Pada acara itu juga, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said melancarkan buku 'Kasih Bonda, Kapung Paya Kami' karya Siti Zainon.


Selain Kampung Banda Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Puah Seberang, di Gombak juga akan dilupuskan untuk pembangunan.


Saya kira Liac 2013 ini menyuburkan lagi semangat beliau yang sedia tertanam untuk mempertahankan kampung tradisi.


Dalam perbualan santai beliau dengan pihak penganjur Liac 2013, beliau berulang kali menceritakan kisah Kampung Banda Dalam yang akan tergadai di tangan kapitalis dan betapa dalam hasratnya untuk mempertahankan kampungnya sebagai kampung tradisi.


Malah dalam ucaptamanya pada malam perasmian Liac 2013, beliau juga menyentuh mengenai hal itu dan berharap program sebegini dapat diadakan di Kampung Banda Dalam dan kampung tradisi lain di Kuala Lumpur. 


"Kampung Banda Dalam dan kampung-kampung sekitar di Gombak merupakan kampung tradisi yang mesti dipertahankan.


"Kalau bukan anak-anak kampung sendiri yang mempertahankan warisan dan tradisi Melayu, siapa lagi?


"Saya mengimpikan Kampung Banda Dalam dan sekitar Gombak menjadi seperti Lendu, yang masih terpelihara seni dan warisan kampungnya,"katanya.


Malah beliau sudah mengabadikan segala kisah dan warisan Kampung Banda Dalam ke dalam buku bertajuk Rumah Waris Uwan-Membaca Peta Kuala Lumpur 2020.


Buku tersebut diterbitkan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) pada awal tahun ini.


Membaca buku tersebut, saya kagum dengan segala usaha beliau menyimpan segala warisan tinggalan nenek moyangnya.


Antara petikan buku tersebut:


"Kampung Paya kemudian berganti dengan Kampung Bonda Dalam. 'Bonda' dialek Minang yang bererti tali air. Tatkala berlakunya banjir besar, 'bonda' atau tali air Sungai Gombak menjadi dalam, kemudian dengan sebutan baku, 'bonda' menjadi 'bandar' dan 'bandar' yang dalam itulah Kampung Banda Dalam,"


"Mengapa harus mengalah dan keluar dari penempatan dengan wang agihan, hingga kapung dibedah, diredah, lori traktor masuk bebas ke muka kampung, jalan penuh debu, lecah,"


Sambil memerhati peserta-peserta Liac 2013 bergotong-royong seni di Kampung Lendu, beliau berkata:


"Alangkah bagusnya kalau arca-arca ini ada di Kampung Banda Dalam. Alangkah bagusnya kalau semua anak kampung bersatu hati pulang mengindahkan kampung.


"1 Februari, Hari Wilayah, Kita buat pameran kampung tradisi. Yani kena tolong bonda dokumentasikan bahan-bahan. Cari kawan-kawan lain juga. Kalau bukan kita, siapa lagi nak pertahankan warisan Melayu?" ujarnya.


Saya mengangguk. Mungkin kerana patuh, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak mahu kampung tradisi hilang dalam peta Kuala Lumpur.