Saturday 28 June 2014

Nota pra Ramadan

Menulis itu terapi.

Esok, 1 Ramadan 1435H. Beberapa hari sebelum ini, saya banyak menerima khabar kematian orang-orang yang dikenali, seperti juga tahun-tahun lepas.


Dalam hati terus berdoa; Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.


Ya, saya perlu berhadapan dengan segala kemungkinan , perlu menghadapi segala ketentuan Allah. Semalam adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan esok adalah misteri. Kematian itu juga satu misteri, rahsia Allah yang terhijab.


Selepas ini, esok, lusa, minggu depan atau bulan depan, mungkin giliran saya menemui ajal. Mungkin juga giliran kalian yang membaca tulisan ini, pergi menemui Allah. Tiada siapa yang tahu.


Oleh sebab esok 1 Ramadan juga , ingatan saya kepada tarikh 25 Ramadan 1432H bersamaan 25 Ogos 2011 menjadi kuat, hati terusik, jiwa meracau.


Tarikh itu, abang sulung saya meninggal dunia.


Saya tidak pernah lupa saat saya melangkah ke bilik mayat. Saya masih ingat saat kain putih yang menutupi mukanya diselak. Dia, abang kandung saya. Sebelum ini saya tahu, jika dia tidur, dia akan bangun. Tetapi hari itu, dia tidak akan bangun lagi.


Waktu itu saya berdiri tegak, lutut tidak longlai, tubuh tidak menggigil. Begitu juga selepas sekali lagi saya menatap wajahnya selepas selesai dimandi dan dikafankan.


Tiada hujan air mata walaupun dalam hati taufan membadai. Tetapi hingga sekarang saya tidak pernah berjaya melupakan perasaan itu.


Hari ini, rindu untuk menziarahi pusaranya. Kata emak, pohon kemboja yang ditanam di sisi kuburnya sudah tinggi.


Saya harap, jika berhadapan dengan situasi sama lagi, saya mampu jadi sekuat itu.


Ya, persiapkan diri menghadapi segala kemungkinan.


La haula wa la quwwata illa billah. (Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata).


Nota: Sempena Ramadan ini, saya memohon maaf atas segala kesalahan yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Kata-kata atau tulisan yang menyinggung perasaan, menghiris rasa, menikam hati, mohon dimaafkan.


Doa saya, kita semua dapat melalui sebulan Ramadan dengan tenang dan segala amalan kita dipandang dan diterima Allah. 




Tuesday 17 June 2014

Hero pertama

Kami jarang berkomunikasi, jauh sekali berbicara soal hati dan perasaan.

Waktu dalam kereta atau di meja makan berdua, boleh dikira berapa patah perkataan yang terbit dari mulut kami.


Kami jarang ketawa bersama, tidak pernah berkongsi tangisan.

Bertahun-tahun berjauhan, rasanya tidak sampai sepuluh kali kami berbual di telefon. 


Dia lepaskan saya berjauhan dengan dia, bukan sebab dia tidak sayang saya, tetapi sebab dia meletakkan sepenuh kepercayaan pada saya.

Saya tidak akan mengkhianati kepercayaan yang diberikan.

Dia bukan seorang yang suka bersyarah, tetapi bicara ringkasnya selalu meresap ke setiap zarah.

Dia tidak bermulut manis; berjanji itu dan ini. Tetapi sekali berkata-kata, dia akan kotakan apa yang dikata.

Saya tahu kegilaan dia. Bola. Dan juga laut.

Persamaan kami; kami sama-sama degil.

Walaupun dia tidak pernah ucapkan sayang pada saya, tetapi saya tahu, saya anak kesayangan dia.

Ucapan yang baik-baik untuk saya, sentiasa bergema dalam setiap doanya.

Saya yakin itu.

Selamat Hari Bapa.

Nota: jangan makan ikan sardin dalam tin depan dia. Dia tidak suka