Sunday 14 September 2014

Beban

tidak dapat apa dihajat, lukanya amat
tapi melihat kehancuran depan mata, pedihnya lebih
sakitnya bukan sedikit
ranapnya seluruh
tercatat pula  ia angkara sendiri walau tanpa niat
bebannya sampai mati

bingung
mengapa Tuhan gerakkan hati

semoga

di hujung nyawa berdepan mati
ada ampun menanti
ada restu menunggu

biar

di akhirat kelak
langkah tidak tersekat
tatkala harum syurga telah terhidu

12-14 September 2014
Kuala Lumpur

Monday 8 September 2014

Saya: Bukan awak, bukan dia.


Teks: Hazayani Zakaria
Gambar: Koleksi peribadi


 

Waktu kecil dahulu, sebelum melangkah ke tadika lagi, saya suka sangat pegang pen dan buku. Juga majalah dan surat khabar. Saya suka menulis (sebenarnya menconteng).

Saya suka tengok mak dan ayah saya membaca surat khabar setiap pagi. Dan saya, akan membaca sekali, tetapi dengan versi saya.

Saya belum pandai membaca waktu itu tetapi saya buat-buat pandai. Saya sebut apa sahaja perkataan yang terlintas dan bina ayat mengikut imaginasi saya. Saya baca kuat-kuat, bukan baca dalam hati. Tingginya tahap keyakinan diri saya waktu itu!

"Aminah pergi ke pasar naik kapal terbang" "Aminah naik kereta dengan ayahnya pergi sekolah. "Saya ada seekor kucing" antara ayat yang saya sebut ketika membaca surat khabar dan majalah.

Melangkah ke tadika, saya sudah pandai membaca. Bagaimana jadi pandai, dengan cara itulah. Selalu tengok huruf dan perkataan, lepas itu suruh mak ejakan. Lama-lama boleh membaca sendiri. Alhamdulillah.

Buku cerita pertama yang saya baca selepas pandai membaca, Bawang Putih dan Bawang Merah. Selepas itu, Thumbelina dan Cinderella.

Melangkah ke Sekolah rendah, minat membaca terus bercambah dan bermacam-macam buku saya baca. Biasanya, pinjam di perpustakaan sekolah atau perpustakaan bergerak sahaja.

Waktu itu terkenal dengan buku-buku siri Enid Blyton, Siri Tujuh Penyiasat dan Nancy Drew. Sebenarnya, dari sekolah rendah sudah mula membaca novel-novel penulis kacak, Ahadiat Akashah.

Majalah pula, ada majalah Kuntum, Bujal, Bambino dan Dewan Pelajar. Waktu saya darjah enam (tahun 1996) ada akhbar mingguan untuk pelajar, iaitu Didik. Memang setiap minggu wajib beli akhbar ini sebab banyak berita mengenai alam persekolahan, soalan-soalan UPSR, kolum motivasi dan ada ruangan cerpen.


Sebenarnya, saya pernah menghantar cerpen ke akhbar Didik tetapi tidak diterbitkan. Kecewa jugalah. Waktu di sekolah menengah pula, saya pembeli tegar akhbar Minda Pelajar, juga terbitan Berita Harian selain majalah Dewan Siswa. Setiap bulan, wajib beli. Masih ada tersimpan hingga sekarang.

Oh, lupa pula. Darjah satu dan dua saya belajar di Sekolah Kebangsaan Batu 29, Setiu Terengganu. Waktu itu ayah kena jaga stesen kecil luar bandar. Ayah bekerja dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Dulu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN).

Awal darjah tiga saya bertukar ke Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal apabila keluarga berpindah ke Kuala Terengganu. Hingga darjah enam saya di belajar di sekolah itu dan pernah menyertai pertandingan pidato dan perbahasan peringkat sekolah dan daerah.

Pendidikan Menengah saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Dari tingkatan satu hingga tingkatan enam.

Disebabkan kakak dan abang semuanya tinggal di asrama, saya pun rasa teruja mahu tingga di asrama. Tidak mahu kalahlah katakan. Tetapi saya hanya mampu bertahan selama empat bulan di asrama. Homesick sangat teruk, hari-hari bangun pagi menangis, hari-hari beratur di pondok telefon sebab mahu dengar suara mak, hampir setiap petang mak dan ayah kena datang melawat. Akhirnya mak kata, elok keluar dari asrama, berulang-alik sahaja ke sekolah menaiki bas (bayar sewa bulanan).

Di sekolah premier itulah saya belajar untuk menghadapi PMR, SPM dan STPM.

Hampir tujuh tahun mengait ilmu, menyulam pengalaman, dihiasai kerawang tangis dan tawa, hingga benang kenangan yang dijahit sukar ditetas.

Selepas itu melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Tiga tahun mengadun teori dan praktikal dalam bidang Komunikasi (Komunikasi Politik dan Kemanusiaan).

Bidang yang bukan diminati apatah lagi dicintai. Tiga tahun memaksa diri untuk mencintai. Tiga tahun melalui rasa yang kosong.

Kerana saya, perempuan yang dahulunya bercita-cita mahu menjadi guru, tetapi gagal. Akhirnya Allah lorongkan saya menjadi wartawan. Kerja saya menulis dan melaporkan berita. Sesekali menulis dari sisi pandang saya, mencatat segala pemerhatian dan pengalaman.

Percaya atau tidak, saya sudah dilamun cinta dengan kerja saya sekarang. Ya, saya bercinta selepas bekerja.

Dunia saya sekarang; mendengar, melihat dan melaporkan. Ya, inilah kerja saya.

Tetapi, saya juga ada cinta hati lain. Cinta yang sudah berputik sejak sekolah lagi, terputus seketika sewaktu saya di universiti dan kemudian bercantum kembali selepas saya memasuki alam pekerjaan.

Setakat ini, belum jatuh hati dengan bidang perniagaan. Tiada bakat, mungkin. Esok, lusa, saya tidak tahu.

Saya mencintai dunia penulisan kreatif. Lebih kepada prosa. Puisi, bolehlah sikit-sikit. Cerpen jadi pilihan. Dan mungkin juga novel.

Oleh sebab cintalah, saya menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif ini. Di samping kursus-kursus lain dan pembelajaran tidak formal dengan para pencinta penulisan kreatif.

Kalau ditanya matlamat saya, sudah tentu mahu menulis sebanyak mungkin cerpen, disiarkan di majalah-majalah atau mungkin juga dijadikan antologi cerpen. Ya, angan-angan itu percuma, tetapi ada harga yang perlu dibayar untuk menjadikannya realiti.

Saya bukan Haryani, Aryani, Adyani atau Ariani. Saya, Hazayani. Hazayani Bt Zakaria. Saya bukan siapa-siapa, dan siapa-siapa pun bukan saya.

Orang panggil saya Yani. Yani, bukan Yanie, bukan Yannie. Jangan tambah-tambah huruf di belakang nama saya. Ada seorang dua yang panggil saya Haza. Ok, saya boleh terima dengan senang hati panggilan itu. Tapi kalau orang panggil saya Za, sungguh, saya rasa mahu muntah.

Mak, ayah, abang, kakak dan adik panggil saya Kak Chik. Anak-anak saudara panggil saya Achik. Dalam keluarga, saya bahasakan diri sebagai 'orang' bila bercakap. Begitu juga dengan orang-orang yang rapat, yang dianggap seperti keluarga sendiri. Entah, aotomatik begitu. Dan saya rasa, 'orang' itu sangat universal.

Dan saya, pencinta kopi panas yang sedang belajar menulis. Orkid, pengganti diri saya.