Sunday 22 February 2015

Beginikah wajah siasah kita?

semakin hari aku kian jemu
melihat manusia punya banyak wajah
dalam kancah siasah
hari ini bertopeng malaikat esok berperangai syaitan

minggu berganti dan aku sudah tidak betah
mendengar manusia petah mematah hujah
tanpa ilmu dengan nafsu

bulan bertukar dan aku jadi benci
melihat manusia saling bercakaran
bukan mencari damai tapi meramai musuh
tidak sepakat walaupun dekat

tahun berubah dan aku akhirnya lelah
terhimpit antara puak-puak
yang taksub dengan keyakinan sendiri
hanya aku benar, kau salah!

pada musim tidak menentu ini
izinkan aku meluruhkan pertanyaan
adakah putik siasah itu berbunga dusta
dan menjadi buah nista yang buruk dan busuk?

081114

Thursday 19 February 2015

Wanita besi berhati emas

"Kalau terlalu peduli apa orang kata, nanti jadi macam Luqman dan anaknya," kata dia dalam perbualan kami pada suatu hari.

"Luqman? Luqman mana? Tanya saya polos. Otak automatik ligat mengingat kawan bernama Luqman yang mungkin saya pernah bercerita tentangnya kepada dia. Tidak pula muncul dalam kepala. Saudara mara saya? Rasanya tidak ada yang bernama Luqman.

"Luqman...Luqmanul Hakim dengan anaknya dan keldai tu," jelasnya.

"Oh, ingatkan Luqman mana," pantas saya teringat Surah Luqman yang penuh dengan nasihat dari seorang ayah kepada anaknya. Juga kisah Luqman membawa anaknya ke pasar bersama seekor keldai.

Dalam perjalanan mereka ke pasar bersama keldai, semua yang dilakukan mendapat kritikan dan kutukan daripada orang ramai. Semua perbuatan mereka tidak kena pada pandangan orang.


Begitulah prinsip dia, mak saya. Mak yang mengandung dan melahirkan saya, membesarkan dan mendidik saya hingga ke hari ini.

Mak memang selalu yakin dengan apa yang dilakukan, tanpa mempedulikan ‘apa orang kata’. 

Selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama, tidak melanggar hukum Allah, dia akan tenang mengatur langkah.

Berbeza dengan saya. Saya tak sekuat mak. Malah tidak sampai separuh pun daripada kekuatan dan ketabahan mak ada pada saya.

Perbualan hari itu cukup menyedarkan saya betapa mutiara berharga di dasar hati mak belum pun puas saya nikmati keindahannya.

Saat menulis cacatan ini, saya terbayang wajahnya. Wajah yang menyimpan seribu duka tapi selalu menyerlahkan tenang di hadapan keluarga.

Mak yang sentiasa ada saat saya memerlukan sokongan, sentiasa menghulurkan tangan saat saya jatuh, hatta ketika saya jatuh cinta.

Selalu saya terfikir, sewaktu mak seusia saya, bagaimana dia menghadapi kehidupan ini?

Saya cuba membayangkan perasaan gadis berusia 16 tahun yang punya cita-cita ingin berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang pendidik, akhirnya terpaksa melupakan cita-citanya. Perit.

Mak bernikah pada usia 16 tahun. Kalau sekarang, tingkatan empat. Keputusan keluarga, cerita mak. Mak akur, hanya mampu memberontak dalam hati.

Tanpa bercinta, hanya mengenalinya kerana satu kampung, mak bernikah dengan ayah saya sekarang, yang saya panggil Bak.

Mak, gadis kecil molek (buktinya kebaya mak zaman remaja tidak muat dengan saya dan kakak) yang menghadapi ujian besar pada zaman remaja dan awal dewasa.

Mungkin benar kata orang, tinggal bersama mentua dan ipar duai adalah satu mimpi ngeri.

Mak, gadis naif yang didera ibu mentua. Penderaan mental dan emosi, mungkin sesekali fizikal. Mak selalu dibuli kakak dan adik ipar perempuan (yang saya sendiri tidak mahu mengingati wajah mereka).

Betapa hari-hari yang dilalui mak seperti neraka bersama keluarga mentua. Selepas melahirkan empat anak, barulah bak membawa mak tinggal sendiri. Sewaktu saya baru lahir.

Kata mak, kalau dia tidak kuat, tidak ada sedikit iman dalam jiwa, memang sudah meroyan sewaktu dalam pantang. Hari-hari berdepan dengan mak mentua yang ‘sinis dalam manis’.

Pandai berlakon baik di hadapan orang lain, tetapi di belakang, perlakukan mak macam orang gaji, suruh buat itu dan ini.

(Cerpen saya, Mencari Akhir dalam Antologi Cerpen Fobia terbitan Roman Buku diilhamkan daripada kisah mak didera mak mentuanya).

Saya tidak tahu apa perasaan mak terhadap mak mentuanya sewaktu orang tua itu masih hidup.

Saya tidak dapat menyelami perasaan sebenar mak sewaktu dia menjaga mak mentuanya ketika orang tua itu uzur sebelum meninggal.

(Jujurnya, saya tidak pernah mendoakan kesejahteraan mak mentua mak selepas dia meninggal dan orang tua itu tidak pernah ada tempat dalam hati saya).

Mak menjaga mak mentuanya dengan sempurna sewaktu orang tua itu uzur dan tinggal di rumah kami. Makan dan pakai dijaga rapi. Tidak menyimpan dendamkan mak terhadap orang yang memperlakukannya seperti orang gaji dahulu?

Saya pernah bertanya mak tentang perasaannya. Jawab mak, dia menjaga mak mentuanya dengan baik atas dasar tanggungjawab.

Mak mahu bantu suaminya berbuat baik terhadap ibunya. Itu sahaja. Kalau ditanya tentang rasa kasih, hatinya kosong.

Saya tanya lagi, “mak berdendam?”

Jawapan mak, “tak berdendam tapi untuk menyayangi ikhlas dari hati, mak tak mampu,”.

Mak, sewaktu muda banyak memendam rasa tapi diberi kebahagiaan di usia tuanya. 

Bahagia melihat anak-anaknya membina kehidupan dan tidak sesekali melupakannya.

Minatnya sama daripada muda hingga ke tua; membaca dan menanam bunga.

Walaupun cita-cita tak kesampaian, minat mak pada ilmu tak pernah padam. Katanya, apabila kita membaca, kita seperti mengembara ke seluruh dunia dan imaginasi kita tidak pernah berhenti.

Mak boleh layan semua topik. Agama, politik, hiburan, sukan. Kalau bab bola dan badminton, saya memang kalah dengan mak. Mak lagi arif fasal kedua-dua sukan itu.

Mak, bekas pengidap kanser payudara tahap tiga yang kuat semangat untuk hidup.
Ketika sakit di tahap kritikal, mak masih mampu memberi semangat kepada kami adik-beradik.

Kata mak, dia mahu terus hidup untuk kami. Dia tahu bak dan kami masih memerlukan kasih sayangnya.

Kata mak, kadang-kadang hidup ini bukan untuk diri sendiri tapi juga untuk orang lain.

Kini mak berusia 58 tahun. Kedut seribu di wajah tetapi semangat tidak pernah kendur.

Kalau ada yang kata mak nampak hebat, saya percaya perjalanan hidupnya menjadikan mak wanita besi berhati emas.

Saya tahu, setiap yang hidup pasti akan mati. Tapi saya mohon pada Allah, jika mahu diambil nyawa mak, bukan saat ini. Saya mohon sungguh-sungguh.

Saya belum ada kekuatan itu, seperti mak.

Mak,
bicaramu bisa membasahkan hati yang gersang
senyummu selalu menjadi penawar jiwa yang luka
wajah redupmu sering menjadi teduhan saat hati basah dihujani kesedihan
doamu sentiasa menggetarkan insani yang kaku.

Mak,
terima kasih untuk segalanya.