Sunday 22 February 2015

Beginikah wajah siasah kita?

semakin hari aku kian jemu
melihat manusia punya banyak wajah
dalam kancah siasah
hari ini bertopeng malaikat esok berperangai syaitan

minggu berganti dan aku sudah tidak betah
mendengar manusia petah mematah hujah
tanpa ilmu dengan nafsu

bulan bertukar dan aku jadi benci
melihat manusia saling bercakaran
bukan mencari damai tapi meramai musuh
tidak sepakat walaupun dekat

tahun berubah dan aku akhirnya lelah
terhimpit antara puak-puak
yang taksub dengan keyakinan sendiri
hanya aku benar, kau salah!

pada musim tidak menentu ini
izinkan aku meluruhkan pertanyaan
adakah putik siasah itu berbunga dusta
dan menjadi buah nista yang buruk dan busuk?

081114

Thursday 19 February 2015

Wanita besi berhati emas

"Kalau terlalu peduli apa orang kata, nanti jadi macam Luqman dan anaknya," kata dia dalam perbualan kami pada suatu hari.

"Luqman? Luqman mana? Tanya saya polos. Otak automatik ligat mengingat kawan bernama Luqman yang mungkin saya pernah bercerita tentangnya kepada dia. Tidak pula muncul dalam kepala. Saudara mara saya? Rasanya tidak ada yang bernama Luqman.

"Luqman...Luqmanul Hakim dengan anaknya dan keldai tu," jelasnya.

"Oh, ingatkan Luqman mana," pantas saya teringat Surah Luqman yang penuh dengan nasihat dari seorang ayah kepada anaknya. Juga kisah Luqman membawa anaknya ke pasar bersama seekor keldai.

Dalam perjalanan mereka ke pasar bersama keldai, semua yang dilakukan mendapat kritikan dan kutukan daripada orang ramai. Semua perbuatan mereka tidak kena pada pandangan orang.


Begitulah prinsip dia, mak saya. Mak yang mengandung dan melahirkan saya, membesarkan dan mendidik saya hingga ke hari ini.

Mak memang selalu yakin dengan apa yang dilakukan, tanpa mempedulikan ‘apa orang kata’. 

Selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama, tidak melanggar hukum Allah, dia akan tenang mengatur langkah.

Berbeza dengan saya. Saya tak sekuat mak. Malah tidak sampai separuh pun daripada kekuatan dan ketabahan mak ada pada saya.

Perbualan hari itu cukup menyedarkan saya betapa mutiara berharga di dasar hati mak belum pun puas saya nikmati keindahannya.

Saat menulis cacatan ini, saya terbayang wajahnya. Wajah yang menyimpan seribu duka tapi selalu menyerlahkan tenang di hadapan keluarga.

Mak yang sentiasa ada saat saya memerlukan sokongan, sentiasa menghulurkan tangan saat saya jatuh, hatta ketika saya jatuh cinta.

Selalu saya terfikir, sewaktu mak seusia saya, bagaimana dia menghadapi kehidupan ini?

Saya cuba membayangkan perasaan gadis berusia 16 tahun yang punya cita-cita ingin berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang pendidik, akhirnya terpaksa melupakan cita-citanya. Perit.

Mak bernikah pada usia 16 tahun. Kalau sekarang, tingkatan empat. Keputusan keluarga, cerita mak. Mak akur, hanya mampu memberontak dalam hati.

Tanpa bercinta, hanya mengenalinya kerana satu kampung, mak bernikah dengan ayah saya sekarang, yang saya panggil Bak.

Mak, gadis kecil molek (buktinya kebaya mak zaman remaja tidak muat dengan saya dan kakak) yang menghadapi ujian besar pada zaman remaja dan awal dewasa.

Mungkin benar kata orang, tinggal bersama mentua dan ipar duai adalah satu mimpi ngeri.

Mak, gadis naif yang didera ibu mentua. Penderaan mental dan emosi, mungkin sesekali fizikal. Mak selalu dibuli kakak dan adik ipar perempuan (yang saya sendiri tidak mahu mengingati wajah mereka).

Betapa hari-hari yang dilalui mak seperti neraka bersama keluarga mentua. Selepas melahirkan empat anak, barulah bak membawa mak tinggal sendiri. Sewaktu saya baru lahir.

Kata mak, kalau dia tidak kuat, tidak ada sedikit iman dalam jiwa, memang sudah meroyan sewaktu dalam pantang. Hari-hari berdepan dengan mak mentua yang ‘sinis dalam manis’.

Pandai berlakon baik di hadapan orang lain, tetapi di belakang, perlakukan mak macam orang gaji, suruh buat itu dan ini.

(Cerpen saya, Mencari Akhir dalam Antologi Cerpen Fobia terbitan Roman Buku diilhamkan daripada kisah mak didera mak mentuanya).

Saya tidak tahu apa perasaan mak terhadap mak mentuanya sewaktu orang tua itu masih hidup.

Saya tidak dapat menyelami perasaan sebenar mak sewaktu dia menjaga mak mentuanya ketika orang tua itu uzur sebelum meninggal.

(Jujurnya, saya tidak pernah mendoakan kesejahteraan mak mentua mak selepas dia meninggal dan orang tua itu tidak pernah ada tempat dalam hati saya).

Mak menjaga mak mentuanya dengan sempurna sewaktu orang tua itu uzur dan tinggal di rumah kami. Makan dan pakai dijaga rapi. Tidak menyimpan dendamkan mak terhadap orang yang memperlakukannya seperti orang gaji dahulu?

Saya pernah bertanya mak tentang perasaannya. Jawab mak, dia menjaga mak mentuanya dengan baik atas dasar tanggungjawab.

Mak mahu bantu suaminya berbuat baik terhadap ibunya. Itu sahaja. Kalau ditanya tentang rasa kasih, hatinya kosong.

Saya tanya lagi, “mak berdendam?”

Jawapan mak, “tak berdendam tapi untuk menyayangi ikhlas dari hati, mak tak mampu,”.

Mak, sewaktu muda banyak memendam rasa tapi diberi kebahagiaan di usia tuanya. 

Bahagia melihat anak-anaknya membina kehidupan dan tidak sesekali melupakannya.

Minatnya sama daripada muda hingga ke tua; membaca dan menanam bunga.

Walaupun cita-cita tak kesampaian, minat mak pada ilmu tak pernah padam. Katanya, apabila kita membaca, kita seperti mengembara ke seluruh dunia dan imaginasi kita tidak pernah berhenti.

Mak boleh layan semua topik. Agama, politik, hiburan, sukan. Kalau bab bola dan badminton, saya memang kalah dengan mak. Mak lagi arif fasal kedua-dua sukan itu.

Mak, bekas pengidap kanser payudara tahap tiga yang kuat semangat untuk hidup.
Ketika sakit di tahap kritikal, mak masih mampu memberi semangat kepada kami adik-beradik.

Kata mak, dia mahu terus hidup untuk kami. Dia tahu bak dan kami masih memerlukan kasih sayangnya.

Kata mak, kadang-kadang hidup ini bukan untuk diri sendiri tapi juga untuk orang lain.

Kini mak berusia 58 tahun. Kedut seribu di wajah tetapi semangat tidak pernah kendur.

Kalau ada yang kata mak nampak hebat, saya percaya perjalanan hidupnya menjadikan mak wanita besi berhati emas.

Saya tahu, setiap yang hidup pasti akan mati. Tapi saya mohon pada Allah, jika mahu diambil nyawa mak, bukan saat ini. Saya mohon sungguh-sungguh.

Saya belum ada kekuatan itu, seperti mak.

Mak,
bicaramu bisa membasahkan hati yang gersang
senyummu selalu menjadi penawar jiwa yang luka
wajah redupmu sering menjadi teduhan saat hati basah dihujani kesedihan
doamu sentiasa menggetarkan insani yang kaku.

Mak,
terima kasih untuk segalanya. 

Tuesday 18 November 2014

Biarkan aku mabuk

Tuhan,
jahitkan aku ilham
sebagai sayap
untuk aku terbang


Kawan,
izinkan aku mabuk
meneguk kata-kata jernih
yang memenuhi bejanamu
yang lut sinar


Biarkan aku dijampi bait-bait puisi
daripada aku dipukau ahli sihir
yang menghafal firman Tuhan
mengulang sabda nabi
demi tembolok sendiri


Sekali lagi Tuhan,
lorongkan aku cahaya
agar aku tak sesat
menuju taman puisi-Mu.


Hazayani Zakaria
17.11.2014

Rasa

Mengalirlah
jangan bertakung
kau berhak bebas
aku sedia menampung.

Thursday 2 October 2014

Kacau dan racau

Sejak mula bekerja, perkara paling jarang yang saya lakukan adalah menghubungi emak pada waktu pejabat. Boleh dikira berapa kali, jika ada hal betul-betul penting sahaja.

Jadual saya menghubungi emak, biasanya selepas Subuh sebelum keluar ke tempat kerja. Waktu itu selalunya kami bergayut lama. Atau hari minggu tidak kira waktu. Kerap. Emak pula biasanya menghubungi saya waktu petang selepas Asar, dan saya terbayang dia duduk di kerusi di halaman rumah atau berdiri membelek-belek bunga sambil sebelah tangan lagi memegang telefon bimbit bercakap dengan saya.

Hari ini,  saya menghubungi emak waktu rehat tengah hari. Sebetulnya, bagi wartawan, tiada istilah rehat makan tengah hari sangat. Kami makan tidak tentu masa. Kadang-kadang awal, kadang-kadang lewat, kadang-kadang tidak sempat makan siang. Kadang-kadang waktu makan tengah hari antara jam satu tengah hari hingga dua petang, waktu itulah idea menulis datang mencurah-curah. Kadang-kadang waktu itu jugalah idea kering kontang.

Bukan isu makan tengah hari. Isunya saya menghubungi emak pada luar waktu kebiasaan. Apabila hati berat menanggung rasa, jiwa kuat meracau, saat ini tiada orang selain emak yang boleh memberikan ketenangan.

Saya masuk ke surau, bercakap dengan emak sambil menahan tangis. Seketika sahaja, tenang terasa mengalir ke setiap urat nadi dan saluran darah. 

Hujung bicara, ayat emak seperti selalu; 

"Mak faham jiwa Kak Chik. Mak faham sangat anak mak yang seorang ini. Jangan risau, cerita kat mak apa-apa sahaja."

Saya sedang stress dengan kerja. Kenapa saya menulis di sini? Sebab kali ini perasaan ingin berhenti kerja meronta-ronta dalam hati.

Ada perkara lain yang boleh dan harus saya beri tumpuan. Potensi yang harus saya manfaatkan.  Saatnya sudah tiba untuk saya 'menduakan kerja' (meminjam ayat seorang teman).

Tuhan, tolong jangan permainkan perasaan saya lagi. 


Sunday 14 September 2014

Beban

tidak dapat apa dihajat, lukanya amat
tapi melihat kehancuran depan mata, pedihnya lebih
sakitnya bukan sedikit
ranapnya seluruh
tercatat pula  ia angkara sendiri walau tanpa niat
bebannya sampai mati

bingung
mengapa Tuhan gerakkan hati

semoga

di hujung nyawa berdepan mati
ada ampun menanti
ada restu menunggu

biar

di akhirat kelak
langkah tidak tersekat
tatkala harum syurga telah terhidu

12-14 September 2014
Kuala Lumpur

Monday 8 September 2014

Saya: Bukan awak, bukan dia.


Teks: Hazayani Zakaria
Gambar: Koleksi peribadi


 

Waktu kecil dahulu, sebelum melangkah ke tadika lagi, saya suka sangat pegang pen dan buku. Juga majalah dan surat khabar. Saya suka menulis (sebenarnya menconteng).

Saya suka tengok mak dan ayah saya membaca surat khabar setiap pagi. Dan saya, akan membaca sekali, tetapi dengan versi saya.

Saya belum pandai membaca waktu itu tetapi saya buat-buat pandai. Saya sebut apa sahaja perkataan yang terlintas dan bina ayat mengikut imaginasi saya. Saya baca kuat-kuat, bukan baca dalam hati. Tingginya tahap keyakinan diri saya waktu itu!

"Aminah pergi ke pasar naik kapal terbang" "Aminah naik kereta dengan ayahnya pergi sekolah. "Saya ada seekor kucing" antara ayat yang saya sebut ketika membaca surat khabar dan majalah.

Melangkah ke tadika, saya sudah pandai membaca. Bagaimana jadi pandai, dengan cara itulah. Selalu tengok huruf dan perkataan, lepas itu suruh mak ejakan. Lama-lama boleh membaca sendiri. Alhamdulillah.

Buku cerita pertama yang saya baca selepas pandai membaca, Bawang Putih dan Bawang Merah. Selepas itu, Thumbelina dan Cinderella.

Melangkah ke Sekolah rendah, minat membaca terus bercambah dan bermacam-macam buku saya baca. Biasanya, pinjam di perpustakaan sekolah atau perpustakaan bergerak sahaja.

Waktu itu terkenal dengan buku-buku siri Enid Blyton, Siri Tujuh Penyiasat dan Nancy Drew. Sebenarnya, dari sekolah rendah sudah mula membaca novel-novel penulis kacak, Ahadiat Akashah.

Majalah pula, ada majalah Kuntum, Bujal, Bambino dan Dewan Pelajar. Waktu saya darjah enam (tahun 1996) ada akhbar mingguan untuk pelajar, iaitu Didik. Memang setiap minggu wajib beli akhbar ini sebab banyak berita mengenai alam persekolahan, soalan-soalan UPSR, kolum motivasi dan ada ruangan cerpen.


Sebenarnya, saya pernah menghantar cerpen ke akhbar Didik tetapi tidak diterbitkan. Kecewa jugalah. Waktu di sekolah menengah pula, saya pembeli tegar akhbar Minda Pelajar, juga terbitan Berita Harian selain majalah Dewan Siswa. Setiap bulan, wajib beli. Masih ada tersimpan hingga sekarang.

Oh, lupa pula. Darjah satu dan dua saya belajar di Sekolah Kebangsaan Batu 29, Setiu Terengganu. Waktu itu ayah kena jaga stesen kecil luar bandar. Ayah bekerja dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Dulu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN).

Awal darjah tiga saya bertukar ke Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal apabila keluarga berpindah ke Kuala Terengganu. Hingga darjah enam saya di belajar di sekolah itu dan pernah menyertai pertandingan pidato dan perbahasan peringkat sekolah dan daerah.

Pendidikan Menengah saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Dari tingkatan satu hingga tingkatan enam.

Disebabkan kakak dan abang semuanya tinggal di asrama, saya pun rasa teruja mahu tingga di asrama. Tidak mahu kalahlah katakan. Tetapi saya hanya mampu bertahan selama empat bulan di asrama. Homesick sangat teruk, hari-hari bangun pagi menangis, hari-hari beratur di pondok telefon sebab mahu dengar suara mak, hampir setiap petang mak dan ayah kena datang melawat. Akhirnya mak kata, elok keluar dari asrama, berulang-alik sahaja ke sekolah menaiki bas (bayar sewa bulanan).

Di sekolah premier itulah saya belajar untuk menghadapi PMR, SPM dan STPM.

Hampir tujuh tahun mengait ilmu, menyulam pengalaman, dihiasai kerawang tangis dan tawa, hingga benang kenangan yang dijahit sukar ditetas.

Selepas itu melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Tiga tahun mengadun teori dan praktikal dalam bidang Komunikasi (Komunikasi Politik dan Kemanusiaan).

Bidang yang bukan diminati apatah lagi dicintai. Tiga tahun memaksa diri untuk mencintai. Tiga tahun melalui rasa yang kosong.

Kerana saya, perempuan yang dahulunya bercita-cita mahu menjadi guru, tetapi gagal. Akhirnya Allah lorongkan saya menjadi wartawan. Kerja saya menulis dan melaporkan berita. Sesekali menulis dari sisi pandang saya, mencatat segala pemerhatian dan pengalaman.

Percaya atau tidak, saya sudah dilamun cinta dengan kerja saya sekarang. Ya, saya bercinta selepas bekerja.

Dunia saya sekarang; mendengar, melihat dan melaporkan. Ya, inilah kerja saya.

Tetapi, saya juga ada cinta hati lain. Cinta yang sudah berputik sejak sekolah lagi, terputus seketika sewaktu saya di universiti dan kemudian bercantum kembali selepas saya memasuki alam pekerjaan.

Setakat ini, belum jatuh hati dengan bidang perniagaan. Tiada bakat, mungkin. Esok, lusa, saya tidak tahu.

Saya mencintai dunia penulisan kreatif. Lebih kepada prosa. Puisi, bolehlah sikit-sikit. Cerpen jadi pilihan. Dan mungkin juga novel.

Oleh sebab cintalah, saya menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif ini. Di samping kursus-kursus lain dan pembelajaran tidak formal dengan para pencinta penulisan kreatif.

Kalau ditanya matlamat saya, sudah tentu mahu menulis sebanyak mungkin cerpen, disiarkan di majalah-majalah atau mungkin juga dijadikan antologi cerpen. Ya, angan-angan itu percuma, tetapi ada harga yang perlu dibayar untuk menjadikannya realiti.

Saya bukan Haryani, Aryani, Adyani atau Ariani. Saya, Hazayani. Hazayani Bt Zakaria. Saya bukan siapa-siapa, dan siapa-siapa pun bukan saya.

Orang panggil saya Yani. Yani, bukan Yanie, bukan Yannie. Jangan tambah-tambah huruf di belakang nama saya. Ada seorang dua yang panggil saya Haza. Ok, saya boleh terima dengan senang hati panggilan itu. Tapi kalau orang panggil saya Za, sungguh, saya rasa mahu muntah.

Mak, ayah, abang, kakak dan adik panggil saya Kak Chik. Anak-anak saudara panggil saya Achik. Dalam keluarga, saya bahasakan diri sebagai 'orang' bila bercakap. Begitu juga dengan orang-orang yang rapat, yang dianggap seperti keluarga sendiri. Entah, aotomatik begitu. Dan saya rasa, 'orang' itu sangat universal.

Dan saya, pencinta kopi panas yang sedang belajar menulis. Orkid, pengganti diri saya.