Saturday 2 November 2013

Kami

Segelas teh o panas dan segelas nescafe panas menemani perbualan panjang kami malam itu. Teh o pilihan dia, nescafe pilihan saya.

Awal pertemuan, saya membelek-belek kertas kerja berkisar sejarah Melayu milik dia. Tidak tahu bagaimana mahu memanaskan suasana.

Dia perlahan-lahan mencipta suasana santai dengan bertanya saya itu ini, seputar hal pekerjaan dan rutin harian saya. Saya menjawab seadanya, tidak terlalu berahsia, tidak juga terlalu beriya-iya.

Kemudian dia mula bercerita itu ini, dan saya seperti biasa,lebih banyak diam dan mendengar, sambil menganguk-anggukkan kepala tanda saya memberi perhatian kepada percakapannya. Sesekali saya membuka mulut apabila tidak faham dan tidak bersetuju dengan kata-katanya.

Kemudian, perbualan menjadi lebih rancak selepas saya bertemu tempo pertemuan kami.

Dia banyak berkongsi pengalaman susah senang hidupnya, berkongsi asam garam hidup yang amat berguna untuk saya yang masih bertatih, masih mencari kehidupan. Sedikit demi sedikit, saya menyimpan rasa kagum.

Perlahan-lahan dia menyuntik motivasi untuk saya terus mengasah minat dan kebolehan saya. Ya, mungkin saya sudah boleh menganggap dia sebagai sifu.

Beberapa patah kata-katanya kadang-kadang hampir sama dengan sahabat saya sebelum ini, yang sudah saya anggap sebagai sifu.

Kadang-kadang dialog kami hampir sama dengan dialog saya dan sifu saya sebelum ini. Sekali pun sahabat dan sifu saya itu tidak lagi menganggap saya sebagai sahabatnya, saya masih menganggapnya sebagai sahabat dan sifu yang saya hormati.

Hujan lebat tiba-tiba menemani kami.

Gelas teh o dia sudah kosong, sedangkan nescafe saya masih ada separuh gelas. Entah kenapa, rasa kelat, pahit bercampur manis nescafe yang menjadi kegilaan saya tidak berjaya mencuri hati saya malam itu.

Dia memesan segelas teh tarik pula.

Banyak perkara berlegar-legar dalam fikiran, banyak persoalan bermain di minda dan banyak jawapan untuk pertanyaannya terbuku dalam hati.

Saya bendul, lurus katanya. Ya, saya tahu. Oleh sebab itu saya sering menjadi mangsa ketidakjujuran manusia lain.

Sebab itu jugalah, saya menyimpan sangka buruk terhadapnya dan juga orang lain yang baru dikenali. Mungkin, tiada lagi insan yang boleh dipercayai. Semuanya ada kepentingan diri.

Banyak kali dia menebak fikiran saya. Cuba menembusi hati saya. Saya banyak menyimpan derita, putusnya.

Banyak perkara yang membengkak dalam hati saya, katanya. Lepaskan, pintanya.

Saya mengelipkan mata lebih kerap. Cuba menahan air mata daripada tumpah. Keterlaluan kalau saya katakan saya berjanji. Tetapi saya berazam tidak akan mengalirkan air mata di hadapan orang lain. Cukuplah saya seorang yang tahu. Cukuplah Cinta Putih yang saya bawa ke hulu ke hilir menjadi saksi.

Beberapa ulasannya tentang saya, ada benarnya, hampir tepat. Apabila dia meminta kepastian, saya hanya tersenyum. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak. Dia orang penuh ilmu di dada, pasti dia tahu.

Akhir pertemuan dia berpesan, jangan sia-siakan kebolehan yang ada. Bertindaklah. Cari ruang dan peluang.

Kata saya, saya mahu berhijrah keluar dari Kuala Lumpur. Saya mahu buka lembaran baru.

Jangan, tegasnya. Binalah cita-cita di sini dahulu, sarannya.

Katanya, saya tidak berseorangan.



Saturday 21 September 2013

Syukur

Anugerah
A. Samad Said

Apa dianugerahi
sebaik tercelik mata
sejak terserlah mentari
adalah satu hadiah,
ihsan daripada Tuhan,
kepada setiap insan.

Bermula nafas yang segar
dengan unggas yang tercergas,
azam dan cita-cita besar
dengan fikiran yang waras;
ia tetap anugerah
yang terlalu luar biasa.

Kepada insan yang ragu
belajarlah syukur selalu.

Saya menulis entri ini sambil makan coklat. Cuba menikmati dan mencari di mana lazatnya. Saya bukan penggila coklat, bukan penggemar kek. Tetapi hari ini, saya membeli coklat sekadar meraikan info daripada kawan-kawan.

Kata mereka, makan coklat boleh meredakan tekanan. Saya pun pernah mendapat info yang sama daripada beberapa bahan bacaan. Tetapi saya tidak pernah mengamalkannya.

Baru-baru ini kakak ipar saya menyarankan perkara yang sama apabila saya bertanya tentang perkara yang harus dilakukan ketika sedang tertekan, atau lebih tepat sedang kecewa.

Selepas sesi meluahkan perasaan, dia lantas menyarankan saya supaya banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir untuk meredakan tekanan. Dan pesannya, makanlah coklat banyak-banyak untuk menenangkan perasaan.

Saya percaya, sesiapa sahaja tahu tentang perkara asas yang patut dilakukan ketika tertekan. Tetapi fitrah manusia, cenderung mencari seseorang untuk berkongsi rasa. Bukanlah mengharapkan nasihat sangat tetapi hanya memerlukan seseorang yang dipercayai, yang sudi mendengar luahan rasa.

Ya, memang Allah sebaik-sebaik tempat mengadu. Tetapi seperti yang saya katakan, memang fitrah manusia perlukan manusia lain untuk mengadu hal. Asalkan tidak berlebihan, tidak terlalu bergantung kepada manusia, saya fikir tiada salahnya.

Saya baru melalui dua minggu yang suram. Malap. Malah mungkin tidak berlebihan kalau saya sifatkan sebagai dua minggu yang hancur.

Jiwa saya rusuh, harapan saya luluh, semangat saya runtuh.

Hati cepat tersentuh, saya jadi sangat sensitif dan air mata mudah mengalir.

Apa yang saya lakukan, saya tidak sekat air mata saya. Saya akan menangis setiap kali saya rasa ingin menangis. Saya lepaskan semua air mata saya seperti melepaskan air dari empangan. Sampai saya rasa lega.

Saya yakin tangisan boleh meredakan perasaan yang berkecamuk. Semua rasa yang terbuku di hati seperti mengalir bersama air mata. Lega. Kepala terasa ringan. Saya tidak setuju kalau orang kata menangis itu menandakan kita lemah.

Menangis itu fitrah. Seperti juga ketawa apabila gembira. Tidak perlu menahan tangis. Menangislah sepuas-puasnya sampai air mata itu kering sendiri.

Selepas dua minggu berperang dengan perasaan sendiri, mencari diri yang hilang, membina kembali semangat yang runtuh, saya sedar, betapa saya masih gagal menjadi manusia yang bersyukur.

Selepas sekian banyak nikmat yang Allah kurniakan, saya masih tergamak bertanya; "kenapa aku selalu tak dapat apa yang aku nak?" Tergamaknya saya!

Soalan itu selalu bergema dalam hati saya suatu masa dahulu. Waktu saya masih mentah. 

Namun menginjak dewasa, saya buang persoalan itu jauh-jauh. Saya yakin setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya. Saya yakin setiap aturan Allah itu adalah yang terbaik untuk saya.

Tetapi ketika kembali dihadapkan dengan kekecewaan, saya kembali bertanya soalan yang sama. Tergamaknya saya!

Saya manusia yang lupa. Saya lupa nikmat Allah yang melimpah ruah. Saya lupa betapa banyaknya doa saya yang diterima Allah.

Saya lupa; sewaktu emak disahkan menghidap barah payudara tahap tiga, saya menangis dan berdoa sungguh-sungguh agar Allah sembuhkan emak, Allah selamatkan emak sewaktu pembedahan, Allah panjangkan umur emak kerana saya masih belum puas merasai kasih sayang emak.

Allah kabulkan.

Saya lupa; saya selalu minta Allah pertemukan saya dengan kawan-kawan yang baik. Saya di kelilingi kawan-kawan yang baik, yang selalu mengingatkan saya ketika saya leka, yang sudi menegur kesilapan saya.

Allah kabulkan.

Saya lupa; sebelum pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri tahun lepas, saya berdoa agar saya selamat tiba di kampung, dan di tengah perjalanan, saya terlelap dan hampir terbabas melanggar pembahagi jalan. Tetapi Allah selamatkan saya apabila saya terjaga dan dapat mengawal kenderaan, dan tiada kenderaan lain waktu itu.

Allah kabulkan.

Saya lupa; setiap kali saya pulang dari kerja lewat malam, saya selalu berdoa agar Allah selamatkan saya daripada kejahatan segala makhluk-Nya. Alhamdulillah belum pernah terjadi perkara yang tidak diingini.

Allah kabulkan.

Dan terlalu banyak permintaan saya yang kecil-kecil dikabulkan Allah. Tidak terhingga banyaknya.

Setiap hembusan nafas saya, deria rasa yang berfungsi dengan baik hingga saya dapat menikmati kelazatan kopi.

Mata yang tidak buta hingga saya dapat melihat betapa cantiknya Orkid.

Telinga yang tidak pekak hingga saya dapat mendengar merdunya lagu puisi.

Tangan yang tidak cacat hingga saya dapat menulis entri ini, kaki yang tidak lumpuh hingga saya dapat berjalan ke pementasan teater atau ke pesta buku.

Allah kabulkan.

Baru beberapa kali Allah tidak berikan apa yang saya inginkan, terus saya bertanya; "kenapa aku selalu tak dapat apa yang aku nak?"

Betapa sombongnya saya.

Padahal saya hanya hamba-Nya yang hidup atas belas ihsan Dia.

Betapa saya tidak bersyukur.

Sedangkan Allah sudah berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah Al-Baqarah: 216)

Sudah. Cukuplah dua minggu saya menjadi manusia lembik.

Bersyukurlah dengan apa yang Allah beri.

Ada orang, tak pernah minta pun Allah beri.

Ada orang, minta sekali terus Allah beri.

Ada orang, minta berkali-kali pun Allah masih belum beri.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah Al-Baqarah: 45) 

Doa saya:

"Ya Allah, jika Kau berikan rasa kecewa ini agar aku menjadi manusia yang kuat, aku terima Ya Allah,"

Terima kasih Allah kerana sayangkan saya. Terima kasih kerana sedarkan saya yang alpa lewat rasa kecewa ini.

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah Al-Insyirah: 5-6)













 

Tuesday 17 September 2013

Azab

Azab.
Bila benci bercampur simpati.
Sila pergi.
Dan mati.

Sunday 8 September 2013

Rojak

Bukan berselisih faham. Tapi selisih perasaan.

Kecewa.

Penuh rasa hingga tiada lagi kata.

Hanya mahu tidur, biar hilang rasa yang menggelupur. Jika terjaga, dan rasa itu ghaib, itu ajaib.

Klise? Biarkan. 

Kata seorang teman; perempuan, jika dia gembira, dia mahu seluruh dunia tahu. Jika dia sedih, dia mahu segenap isi alam mengerti.

Oh, begitu?

Bunga mawar baru kembang,
letak sekuntum di atas tangan;
diam sang bunga memuja kumbang,
kumbang sudah di taman larangan.

Mengapa? Rahsia Allah.

Terimalah:

Mahligai Syahdu – Hattan

Kita bertemu kali ini untuk apa
Adakah hanya menambahkan lagi sengsara
Luka yang lama belum dapat aku sembuh
Masih berdarah mengeruhkan warna hidupku

Namun jika kau datang ini
Untuk mengilapkan cermin kasih
Pastiku sambutmu dengan mesra
Mungkin jua akukan terlupa
Peristiwa pahit mencengkam jiwa
Tak ingin aku ke sana

Bersama kasih kita leburkan rantai
Yang membebankan hidup kita selama ini
Katakanlah rindumu
Aku sentiasa menunggu
Di pintu gerbang mahligai syahdu

Sunday 14 July 2013

Pesan seorang sifu; tulislah. Tulislah dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara.

Saya akan ingat pesan itu.

Mungkin selepas ini laman ini akan dipenuhi dengan 'tulisan yang bodoh-bodoh' dan 'tulisan yang biasa-biasa' sahaja.

Biarlah. Asalkan saya konsisten menulis. Asalkan momentum menulis saya tidak hilang.

Biarlah apa orang mahu kata.

Semoga saya tidak mungkir janji pada diri sendiri.

Selama ini dalam terang saya curang. Kepada waktu.

12 Julai



Setiap tahun usia genap. Setiap kali harapan ranap. Bangkit, bina impian.

Monday 25 March 2013

Rindu terubat di Car Book Sale


Akhirnya...selepas nekad mahu mengosongkan hari Sabtu daripada menghadiri sebarang program, saya berjaya tiba di perkarangan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jalan Tun Razak kira-kira jam 11 pagi.

Sungguh, hati berbunga ceria apabila dari jauh saya melihat deretan kereta dengan but ternganga luas dan susunan buku-buku di atas hamparan tikar, di dalam kotak dan di atas meja lipat.

Begitulah suasana di Car Book Sale anjuran Perbadanan Kota Buku dengan kerjasama PNM. Namun tidaklah hingar bingar seperti di pasar borong atau di pasar tani atau pasar malam.

Saya menarik nafas lega kerana selepas beberapa kali terlepas acara akibat tugasan pada hari minggu, Sabtu lepas saya berpeluang juga turut serta (walaupun bukan penjual buku).

Saya memang merancang untuk bersantai-santai di sana sehingga mereka 'tutup kedai' sambil mencari buku-buku menarik.

Tahun lepas, saya sempat berkunjung sebanyak dua kali ke Car Book Sale yang diadakan di perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur, bersebelahan Dataran Merdeka. Selepas itu acara tergendala beberapa bulan akibat beberapa masalah teknikal. Tahun ini, acara diteruskan lagi, bertukar tempat ke PNM pula.

Mata asyik memerhati deretan kereta, dari jauh kelihatan pengurus kanan Perbadanan Kota Buku, Razin Abdul Rahman tersenyum ke arah saya.

"Ha...sampai pun...lama tak jumpa," sapanya ramah tatkala saya menghampiri beliau yang sedang berbual dengan Puan  Norhayati, juga dari Kota Buku dan beberapa pengunjung yang lain.

Alhamdulillah, beliau dan Puan Yati masih mengingati saya. Saya berkenalan dengan mereka ketika kali pertama Car Book Sale diadakan, dan sempat menemubual mereka untuk laporan saya mengenai acara tersebut di Harakahdaily.

"Apa khabar? Lamanya tak jumpa," saya membalas sapaan sambil bersalaman dan berpelukan dengan Puan Yati.

Selepas itu saya beriringan dengan Puan Yati sambil berbual-bual tentang acara yang sedang berlangsung, tentang penambahbaikan, promosi dan sebagainya.

Sempat pula Puan Yati bertanya; "Bila Parlimen mahu bubar? Apa cerita tak bubar lagi ni," soalnya dan saya ketawa sambil menjawab, "entahlah,".

Sebanyak 25 kereta terdiri daripada penerbit terkenal dan invidu persendirian menyertai acara kali ini.

Antaranya Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Karya Seni, Merpati Jingga, Buku Fixi, Jundi Resource dan selebihnya individu yang menjual buku-buku baru dan juga buku-buku terpakai.

Ada yang sudah biasa menyertai acara sebelum ini dan ada juga orang baru.

Menariknya juga, isteri kepada rakan wartawan senior saya turut menyertai acara kali ini. Mereka memang menjalankan perniagaan buku. RAK Karya namanya.

Hajat di hati mahu bertemu dengan penyair dan juga pengkaji seni budaya warisan Melayu, Bonda Prof Dr. Siti Zainon Ismail.

Beliau selalu ada di Car Book Sale sebelum ini, menjual buku-bukunya dan beramah mesra dengan pengunjung.

Saya selalu duduk berbual dengannya, mendengar celotehnya tentang seni puisi, lukisan, fesyen sambil tangannya sibuk mengait baju.

"Orang perempuan kena tahu menjahit, mengait," tuturnya.

"Saya tak pandai menjahit, bonda. Nak jahit butang baju pun terkial-kial," jawab saya jujur.

"Ish...apa perempuan tak tahu jahit butang baju, buat malu saja," balasnya marah penuh keibuan.  Dan saya cuma mampu tersengih.

Selepas berjalan-jalan, saya ke gerai RAK Karya, menemui Kak Eita dan anak-anak. Banyak juga buku yang Kak Eita bawa. Kami berbual-bual sebelum saya meninjau gerai-gerai lain.

Rakan-rakan Ramli Awang Murshid (RAM) Fan Club pun ada. Berbual-bual dengan mereka, dengan Kak Ina yang dikenali pada acara Car Book Sale kali pertama.

Meninjau gerai kawan Kak Ina yang juga ahli RAM Fan Club, Attokz nama panggilannya, saya membeli empat buah buku terpakai yang sudah tidak dijual di mana-mana kedai buku. Paling penting, separuh harga!

Saya suka kata-kata Attokz; "saya join Car Book Sale bukan utamakan hasil jualan tapi saya nak berkongsi buku-buku yang saya ada dengan orang ramai,"

Di gerai persendirian yang lain pula, juga menjual buku-buku terpakai dengan diskaun 70 peratus, saya menyambar lima buku dari empat Sasterawan Negara.

Selepas itu, saya 'melepak' di gerai Kak Eita sambil membaca buku yang baru dibeli dan melayan anak-anaknya dan 'tolong jagakan' gerai sementara Kak Eita ke tandas. Seronok!

Selain jualan buku, ada beberapa persembahan deklamasi puisi, busking dan nyanyian dari kumpulan 'Julie Goes Overseas 2 (pertama kali dengar).


Oleh kerana cuaca tidak mengizinkan, penjual-penjual buku terpaksa tutup kedai awal. Sepatutnya berakhir jam 4.30 petang tapi jam 3.30 hujan mula turun. Kelam kabut Kak Eita mengemas buku-bukunya. Saya pun turut membantu.

Saya pulang dengan senyum bahagia. Bahagia kerana dapat bersantai sambil dikelilingi buku-buku, bahagia kerana dapat tolong kawan-kawan dan bahagia kerana dapat bawa balik buku Zaen Kasturi!

Wednesday 20 March 2013

Lidah terkoyak, hati bercantum

Saya tidak kisah apabila emak terlalu memberikan perhatian kepada adik. Menjaga makan dan pakai adik dengan sebaik mungkin.

Saya tidak ambil peduli apabila emak menelefon adik berkali-kali kalau adik belum pulang selepas jam 12 tengah malam.

Saya tidak pelik apabila emak tidak lalu makan sewaktu berhari-hari adik outstation.

Saya faham kalau dikatakan emak terlalu memanjakan adik.

Emak mana yang tidak sayang anak, lebih-lebih lagi anak bongsu. Tiada apa yang perlu dihairankan.

"Adik, tengok lidah? Dah macam mana sekarang? pinta saya kepada adik sewaktu pulang ke kampung baru-baru ini. Tiba-tiba terasa ingin melihat.

Adik menjelirkan lidahnya sekejap, kemudian senyum. Manis. Oh, adik saya lelaki, 22 tahun. Kacak sangat pun tidak, tapi manis ada. Kalau baru kenal orang akan sangka sombong. Tapi bila sudah lama kenal, InsyaAllah boleh buat kawan susah dan senang.

Lidahnya elok sahaja, cuma kalau diteliti, akan nampak kesan koyakan di bahagian hujung sebelah tepi lidah. Lebih kurang 0.5 CM.

Alhamdulillah, koyakan itu bercantum dengan sendirinya tanpa perlu dijahit dan tidak menjejaskan pertuturannya. Adik langsung tidak pelat.

Lidah adik terkoyak akibat kemalangan jalan raya, dipercayai terkena benda tajam dan air panas selepas adik tercampak ke cermin hadapan van yang dinaiki.

Sejujurnya, saya tidak sanggup membayangkannya.

Ketika itu dia berumur tiga tahun (kalau saya tidak silap) dan saya ketika itu berumur sembilan tahun.

"Mak janganlah pergi dulu, orang tak puas lagi tengok muka mak," itu kata-kata terakhir saya kepada emak sewaktu mencium tangan dan pipinya sebelum emak menaiki van bersama saudara-mara yang lain. Jam kira-kira sepuluh malam.

Kisahnya, emak mengikuti rombongan menghantar menantu ke Muar, Johor. Emak saudara saya, adik emak berkahwin dengan orang Johor. Jadi, mengikut adat, ahli keluarga sebelah perempuan perlulah menghantarnya ke rumah pengantin lelaki.

Waktu itu cuti sekolah tetapi entah mengapa saya yang memang tidak pernah dan tidak betah berenggang dengan emak, tidak mengikuti rombongan itu.

Hanya emak, adik dan Abang Ngah (ketika itu sedang menunggu keputusan STPM) yang menyertainya.

Manakala saya ditinggalkan bersama ayah dan dua kakak.

Ayah tidak turut serta kerana tidak dapat memohon cuti. Maka, dengan berat hati, ayah melepaskan emak, adik dan Angah mengikuti rombongan demi memenuhi permintaan adik emak.

Sebetulnya, ayah sangat keberatan membiarkan emak dan dua anaknya pergi ketika itu kerana beliau sangat tidak berkenan dengan perjalanan jauh pada waktu malam.

Ayah tegas dengan pendiriannya. Waktu malam untuk tidur dan berehat, bukan untuk memandu jarak jauh.

Tetapi setelah emak memujuk ayah kerana kasihankan adiknya yang berharap, maka ayah izinkan juga. Ayah bukan jenis yang suka membiarkan isteri dan anak-anak berjalan jauh tanpa beliau.

Emak dan adik menaiki van bersama saudara-mara yang lain dan Angah menaiki kereta bersama sepupu-sepupu lelaki. Seingat saya sebuah van dan dua buah kereta dalam rombongan itu.

Adik lelaki emak yang memandu van ketika itu. Saya dan dua kakak, menghantar emak sehinggalah van hilang dari penglihatan kami dalam gelap malam. Mengikut perancangan, mereka pergi selama tiga hari.

Maka tiga hari itu, tinggallah kami anak-anak dara di rumah. Tugas kakak memasak untuk ayah dan adik-adiknya.

Dua kakak ketika itu masing-masing di tingkatan lima dan tiga.

Oleh sebab kedua-dua kakak tinggal di asrama sejak tingkatan satu lagi, maka amat jaranglah masuk ke dapur apatah lagi mahu memasak menu yang sedap-sedap.

Emak pula bukan jenis yang suka anak-anak perempuan menolong beliau di dapur. Lagipun balik dari asrama sebulan sekali, emak tidak sampai hati menyuruh anak-anaknya membuat itu dan ini.

Tiga hari itu, terkial-kiallah dua orang itu di dapur. Buku resepi sentiasa menjadi rujukan. Gara-gara jarang masuk dapur! Padahal menu yang dimasak sederhana sahaja, untuk isi perut kami adik-beradik sahaja. Ayah yang cerewet bab makan, mustahillah mahu menjamah masakan kakak.

Ayah seperti biasa, memang sifatnya tidak banyak bercakap (atau boleh dikatakan tidak bercakap). Jadi tiada apa yang menghairankan kami.

Sesekali saya teringatkan emak. Rindu. Tapi waktu itu belum ada telefon bimbit. Yang ada hanya telefon rumah. Timbul juga rasa tidak puas hati apabila emak langsung tidak menghubungi kami bertanya khabar. Hendak menghubungi emak di sana, nombor telefon di sana pun tiada. 

Masuk hari ketiga, hati riang menanti kepulangan emak, adik dan Angah.

Sesampainya mereka, kami sangat terkejut melihat keadaan emak dan adik.

Kaki emak berbalut, tangan beranduh, luka sana-sini. Adik pula, pipi (sebelah kiri atau kanan saya sudah lupa) melecur teruk! Menggelembung! Alhamdulillah Angah tiada sebarang kecederaan.

Kami hilang kata, hanya mampu memeluk emak dan adik sambil menangis. Ayah memandang tajam tidak bersuara. Kami tahu beliau marah yang amat. Kami faham sangat maksud diammya itu.

Ayah marah kerana beliau dari awal lagi tidak bersetuju perjalanan jauh waktu malam. Pemandu mudah mengantuk. Tapi adik emak tetap berdegil mahu memandu malam.

Kami diberitahu, van yang dipandu adik emak terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Tangkak, Johor. Dua kereta di belakang selamat.

Emak cedera agak teruk di bahagian kaki kanan dan menerima lebih lima jahitan. Menurut saksi, kaki emak cedera hingga nampak tulang betis.

Adik pula, tercampak ke cermin hadapan van, mujur tidak tercampak ke luar. Mungkin lidahnya terkoyak kerana terkena serpihan kaca atau besi tajam dan pipinya melecur teruk terkena air panas dalam termos.

Mereka dikejarkan ke Hospital Tangkak.

Adik emak, (pemandu van) yang cedera ringan tidak henti-henti memohon maaf dari ayah selepas ayah mendengar cerita mereka. Dia mengaku dia mengantuk dan terlelap sebelum van yang dipandu terbabas.

"Aku dah kata, aku tak suka orang jalan malam-malam. Mengantuk waktu malam tak sama dengan mengantuk waktu siang. Nasib baik anak bini aku selamat," itu kata-kata ayah yang membuatkan adik emak tidak berani angkat muka.

Lebih seminggu adik kesayangan kami tidak boleh membuka mulut dan tidak boleh menelan liur. Kami rindu suaranya. Ketika sihat, mulutnya memang tidak pernah diam. Bercakap, menyanyi, ketawa, menjerit. Tapi seminggu itu, hendak melihat dia senyum pun tidak dapat.

Selama seminggu adik tidak boleh makan, hanya minum milo yang dicampur ubat. Namun dia tetap aktif! Cuma mulutnya bagaikan terkunci.

Mula-mula kami tidak tahu perihal lidahnya terkoyak. Hinggalah selepas seminggu, dia sudah boleh membuka mulut, dia menjelirkan lidahnya, dan terlihatlah bahagian yang terkoyak itu.

Sekarang, adik sudah besar panjang. Mengenangkan peristiwa itu, saya seperti tidak percaya saya hampir kehilangan adik dan emak.

Alhamdulillah, Allah panjangkan umur mereka dan memberi peluang kepada saya untuk menyayangi mereka lebih dari segalanya. Terima kasih Allah.

Dan, saya faham kenapa emak sangat sayangkan adik lebih dari nyawanya sendiri.

Ketika menulis kisah ini, saya rasa ingin pulang ke kampung sekarang juga, mahu peluk emak dan adik!

Betapa saya bersyukur masih mempunyai mereka.











...

Angin lalu
Tanpa sedar
Khabar pun beredar




Monday 21 January 2013

Dulu garam, sekarang gula-gula!

Pagi 12 Januari 2013, langit cerah. Saya menaiki LRT dari Stesen Titiwangsa dan turun di Stesen Masjid Jamek bagi membuat liputan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112).

Saya ditugaskan membuat liputan bermula di Pasar Seni, antara tempat berkumpul sebelum berjalan ke Stadium Merdeka.

Di Pasar Seni juga, saya lihat ramai muka-muka baru 'petugas media' memakai pas media yang dikeluarkan pihak PDRM.

Patutlah beriya-riya PDRM mengeluarkan pas media kali ini. Rupa-rupanya untuk kegunaan polis cawangan khas (SB).

Saya tiada selera memakai pas media PDRM, hanya mempamerkan pas media Jabatan Penerangan Malaysia yang merupakan pas rasmi sejak sekian lama.

Tepat jam 12.30 tengah hari, Kumpulan Wanita Ungu mula bergerak ke Stadium Merdeka dengan diiringi anggota Unit Amal. Tersusun dan berdisiplin sambil mengangkat sepanduk enam tuntutan mereka.

Di sepanjang kaki lima di luar stadium, peniaga sibuk berjualan. Penjual air kelihatan tersenyum lebar kerana jualan mereka sangat laris.

Jam 1.00 petang, saya sudah masuk ke dalam stadium. Teruja kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam stadium yang menjadi saksi laungan kemerdekaan negara.

Usai azan Zuhur berkumandang, masing-masing sibuk membuat persiapan untuk solat. Sekumpulan anak muda lelaki saling membantu mengambil wuduk kemudian membentangkan kain untuk solat di atas padang.

Orang bukan Islam pula diam memerhati dari tempat duduk.

Jam 2.30 petang, Stadium Merdeka betul-betul padat. Macam ikan sardin.

Dari tempat duduk atas, saya nampak warna kuning mendominasi stadium berbanding merah, oren, hijau dan ungu.

Jelas menunjukkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil merupakan ibu kepada segala tuntutan.

Di sebelah kanan saya, seorang wanita 30-an berbangsa Cina. Di sebelah kiri pula, dua orang muda juga berbangsa Cina, sibuk mengibarkan bendera mini PAS.

Kami berbalas senyum. Tanpa kata-kata, senyuman kami sudah cukup berbicara bahawa kami di situ atas tuntutan yang sama.

Di hadapan saya, satu keluarga Melayu. Ayah, ibu dan anak-anak remaja perempuan riang bergambar kenangan.

Ya, keadaan aman dan harmoni walaupun bingit dengan bunyi tiupan trompet. Sekurang-kurangnya bukan bunyi tembakan gas pemedih mata yang menyebabkan orang lari bertempiaran!

Tempat duduk makin padat dan dua orang lelaki Cina di sebelah saya memberikan ruang kepada
beberapa wanita berpurdah untuk duduk. Saya kagum dengan sikap hormat yang ditunjukkannya kepada wanita.

Saya mengeluarkan gula-gula dari beg, dan mempelawa wanita Cina di sebelah kanan saya. Dia tersenyum, mengambilnya dari tangan saya dan mengucapkan terima kasih.

Saya teringat pada Bersih 3.0, sekumpulan anak muda Cina menghulurkan garam kepada saya ketika kami sama-sama lari apabila polis melepaskan gas pemedih mata.

Kali ini, tiada garam tetapi hanya gula-gula.

Wakil-wakil NGO silih berganti menyampaikan tuntutan masing-masing diselangi tepukan dan sorakan peserta.

Dan lelaki Cina di sebelah saya, masih sibuk mengibarkan bendera mini PAS.



*Terbit dalam Harakah; Bil 1811. 9 - 12 Rabiulawal 1434 / 21 - 24 Januari 2013