Friday 30 November 2012

Memerah pengalaman ranum di Parlimen

Kali pertama ditugaskan membuat liputan di parlimen, hati teruja bercampur bimbang. Teruja kerana diberi peluang melihat dan mendengar secara dekat proses membuat dasar dalam negara. Bimbang kerana berasa tidak cukup kepakaran untuk menulis berita parlimen.

Di peringkat awal, memang saya terkial-kial mengutip ilmu di parlimen. Mahu memahami segala proses membuat dasar yang berjalan penuh tatatertib itu, perlu menghadam segala isi kandungan perbahasan termasuk membiasakan diri dengan terma-terma yang selalu digunakan. Rang Undang-undang, usul tergempar, usul ditolak dalam kamar, sesi soal jawab lisan, perbahasan di peringkat dasar, perbahasan di peringkat jawatankuasa, undi belah bahagi, dan segala macam lagi. Apa yang dipelajari dalam subjek Pengajian Am dahulu hanya secara umum.

Bertugas di parlimen memerlukan saya berada dalam keadaan sentiasa bersiap sedia kerana sebarang kemungkinan boleh sahaja terjadi. Tidak hairan jika pada awalnya sesi perbahasan berlangsung tenang bertukar menjadi kecoh kerana sesuatu isu yang dibangkitkan.

Tidak hairan juga jika di dalam dewan, Ahli Parlimen BN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lantang bertikam lidah menegakkan hujah masing-masing, tetapi boleh bersalaman dan berpelukan mesra di luar sidang.

Melihat mereka duduk berbual sambil minum bersama di kafeteria juga merupakan pemandangan biasa. Mungkin inilah yang dikatakan politik nilai. Berbeza pendirian dalam sesuatu isu tetapi tidak menjejaskan hubungan sebagai kawan.

Di Parlimen, tugasan saya pelbagai. Bukan hanya membuat liputan mengenai isu-isu yang dibangkitkan dalam dewan namun turut menjalar ke berita-berita lain. Pada musim persidanganlah banyak pihak menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen berhubung sesuatu tuntutan.

Pendek kata, saya bukan hanya bertemu dengan ahli parlimen malah dengan banyak pihak. Wakil petani, orang asal, keluarga tahanan ISA, mangsa tembakan rambang polis, persatuan pelajar dan lain-lain kelompok yang hadir ke parlimen. Demonstrasi di hadapan bangunan parlimen juga bukan perkara asing.

Bertugas di parlimen juga menjadikan kenalan saya ramai kenalan di kalangan rakan-rakan media. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan, kami sudah seperti keluarga besar. Keluarga besar ini semakin menyerlah keakrabannya apabila persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipindahkan ke bangunan baru buat sementara waktu kerana bangunan utama dibaik pulih pada awal tahun ini.

Ruang untuk media terhad dan kami terpaksa bersesak-sesak ketika bertugas. Kerusi dan meja tidak mencukupi, jadi lantai menjadi pilihan. Bayangkan si lelaki segak berkemeja dan berkot, terpaksa bersila di atas lantai. Si perempuan yang ayu berbaju kurung, berkebaya, berskirt, terpaksa bersimpuh sopan di atas lantai. Lucu namun pastinya menimbulkan tekanan kerana terpaksa menulis berita dalam keadaan tidak selesa.

Situasi bersila dan bersimpuh di atas lantai ini berakhir apabila Jawatankuasa Bertindak Sementara Petugas Media yang ditubuhkan membuat aduan dan menyerahkan memorandum menuntut ruang kerja yang lebih selesa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen.

Maka, bermulanya persidangan Dewan Rakyat sesi September, ruang kerja bertambah selesa dengan meja dan kerusi yang mencukupi. Apa pun keadaannya, tugas membuat liputan parlimen lebih dua tahun ini merupakan pengalaman semahal permata.

Ditegur ahli parlimen kerana kesilapan berita yang ditulis. Juga dikritik kerana berita lambat disiar, dicari apabila kelibat tidak kelihatan di sidang media menjadikan pengalaman saya dalam bidang ini semakin ranum.

Tuesday 27 November 2012

Pertanyaan untuk perempuan dalam cermin

 (i)
Perempuan dalam cermin!
kau kata kau ingin jadi pandai
tapi aksimu masih juga santai

Perempuan dalam cermin!
kau ucapkan kau mampu berjaya
tapi kau selalu hilang percaya

Perempuan dalam cermin!
kau bermimpi masa depanmu cerah
tapi kau enggan mengatur langkah

 (ii)
Perempuan dalam cermin!
kau sangkakan kau sudah jujur
tapi kau lupa menjaga luhur

Perempuan dalam cermin!
kau sering mencari yang sempurna
tapi amalmu cuma sederhana

Perempuan dalam cermin!
kau ucapkan kau mahu jadi solehah
tapi tingkahmu sengaja mengundang fitnah

Perempuan dalam cermin!
kau gemar untuk mengubah
tapi kau lupa untuk berubah.

Saturday 24 November 2012

Selamat Hari Lahir, Adam


Jika diberi pilihan antara menjaga bayi atau kanak-kanak bawah umur 12 tahun dan memandu kereta manual meredah kesesakan jalan raya, tanpa berfikir panjang, saya memilih yang kedua.

Ya, saya lebih rela penat menekan brek, clutch dan minyak kereta daripada mendukung bayi atau melayan karenah budak-budak. Memang sikap buruk saya dari dulu hingga sekarang. Keterlaluan.

Mungkin sikap ini kekal dalam diri kerana saya tidak pernah punya adik yang ramai. Saya cuma ada seorang adik lelaki yang lahir ketika saya berumur tujuh tahun. Disebabkan emak seorang surirumah dan sudah tidak ada anak kecil yang lain ketika itu, jadi saya tidaklah dibebankan oleh urusan menjaga adik. Jujurnya, dari kecil hingga remaja, saya tidak pernah dikelilingi anak kecil.

Saya mula mendapat anak saudara ketika berumur 17 tahun (anak abang). Tapi kakak ipar berpantang di rumah ibunya. Jadi tiada kaitan dengan saya.

Selepas itu dua orang kakak pula bersalin. Yang seorang berpantang di rumah saya. Ketika itu saya sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Jadi sempatlah saya melihat 'azab' orang perempuan berpantang.

Saya tidak berminat langsung memujuk anak saudara yang menangis, mendukung atau meribanya tanpa sebab kecuali jika kakak meminta bantuan. Kadang-kadang sahaja saya 'mengusik' anak saudara saya. Itu pun ketika saya kebosanan.

Tapi saya sangat rajin mengemas tempat tidur kakak dan bayinya atau menyusun baju-baju bayi dalam bakul sebab saya rimas tengok bilik atau rumah bersepah. Jadi saya akan pastikan semuanya berada dalam keadaan kemas dan teratur.

Senang cerita, saya tidak suka menjaga dan melayan anak kecil. Tetapi saya mudah tersentuh jika melihat bayi atau kanak-kanak istimewa.  Melihat kanak-kanak cerebral palsy, sindrom down, autisme atau lain-lain lagi, air mata saya boleh mengalir saat itu juga.

Semalam, saya menziarahi anak seorang rakan wartawan senior yang disahkan mengidap brain tumor di Hospital Kuala Lumpur.

Allahuakbar. Anaknya lelaki, baru berumur enam tahun. Sekecil itu sudah menerima ujian sakit. Sakit yang bukan biasa-biasa. Sudah pasti anak kecil itu mampu, sebab itu Allah beri ujian sebegitu. Sudah pasti ibu dan ayahnya kuat, sebab itu Allah uji sedemikian.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” – Al-Baqarah : 286.

Saya bandingkan diri saya dengan anak kecil itu. Sungguh saya malu. Betapa lemahnya saya. Betapa kuatnya dia. Saya, sejak kecil, demam sedikit sahaja, merengeknya bukan main. Terus minta dibawa ke klinik, terus minta layanan istimewa.

Menginjak dewasa, sikap masih belum berubah. Sakit sedikit sahaja, terus merungut. Sakit kepala, terus cari panadol. Hatta sebiji ulser dalam mulut pun pun saya sudah marah-marah. Ya Allah...betapa saya sering lupa untuk bersyukur. Bagaimana agaknya jika saya menerima ujian sakit seperti anak kecil itu?

Saya cuba bayangkan pula jika saya di tempat ibu dan ayahnya. Pastinya perit. Mungkin saya tidak mampu menyelami sedalam-dalamnya perasaan mereka kerana saya sendiri belum punya anak. Tetapi sekurang-kurangnya saya faham bagaimana rasanya apabila ahli keluarga terdekat mengidap penyakit yang bukan biasa-biasa. Saya ada pengalaman menjaga ibu yang mengidap breast cancer tahap tiga. Jadi, saya rasa saya faham.

Semalam, saya benar-benar sedar betapa jalan hidup setiap orang itu berbeza-beza. Betapa Allah itu Maha Besar, Maha Berkuasa. Betapa saya tidak punya apa-apa. Jika Allah ingin mengambil kembali kesenangan, kebahagian, kesihatan, dalam sekelip mata sahaja Dia boleh berbuat demikian.

Semalam, hari lahir anak kecil itu yang ke-enam. Saya renung wajah anak kecil itu lama-lama. Dia memang kuat. Saya curi-curi pandang wajah ibu dan ayahnya. Ya Allah, betapa kuat dan tabahnya mereka!

Saya benar-benar insaf, betapa pentingnya menunaikan hak sesama muslim. Antaranya, menziarahi mereka ketika sakit. Ziarah yang penuh dengan adab, ziarah yang membawa semangat positif, bukan ziarah yang tambah menyusahkan orang yang ditimpa ujian itu. Saya yakin, cakna yang ditunjukkan teman-teman sangat membantu mereka sekeluarga.

Dan betapa sikap pentingkan diri sendiri itu perlu dikikis, dibuang. Siapalah saya untuk menjaga hal diri sendiri sahaja, tanpa memikirkan kesusahan orang lain.

Kepada Adik Adam Azfar yang kuat dan penuh semangat, selamat hari lahir. Semoga cepat sembuh dan kembali aktif. Doa saya sentiasa untuk Adam dan saudara-saudara yang lain. 










Tuesday 13 November 2012

Terima kasih dari seorang Achik


"Teluk Intan? Ada apa?" soalan sama dari orang berbeza apabila saya memberitahu, saya ingin ke Teluk Intan.

"Ada Menara Condong. Saja mahu jalan-jalan," jawab saya berbasa-basi. Sejujurnya, memang saya belum pernah sampai di Teluk Intan dan saya memang teringin naik Menara Condong!

Ya, Teluk Intan. Bagi kebanyakan orang, biasa sahaja, tiada apa yang benar-benar menarik. Tidak seperti Melaka Bandaraya Bersejarah yang penuh dengan tinggalan sejarah, bukan seperti Pulau Tioman yang terkenal dengan keindahan pantai dan dasar laut, bukan juga seperti Cameron Highland yang kehijauan ladang tehnya menjadi sebutan.

Cuma Teluk Intan. Biasa, tapi saya berjaya menjadikannya percutian yang luar biasa, sekurang-kurangnya bagi diri saya sendiri. Ya, bagi diri saya. Luar biasa itu tidak sama bagi setiap orang. Gembira itu berbeza bagi setiap manusia. Bahagia itu subjektif sifatnya.

"...bahagia kita rasa, biar tak dipercaya, peduli orang kata..." bak kata Fyn Jamal dalam 150 juta.

Selepas tertangguh beberapa lama, akhirnya sampai juga hajat saya ke Teluk Intan hujung minggu lalu. Menggunakan kenderaan awam sahaja. Malas memandu jarak jauh dan memang mahu Cinta Putih saya berehat. Angan-angan hendak naik kereta api tidak kesampaian kerana tiket siang sudah habis. Tinggal tiket jam 9.30 malam. Silap saya juga, tidak membeli tiket awal-awal. Hujung minggu, logiklah tiket habis. Tambahan pula, cuti sekolah baru bermula.

Malas menunggu, saya memilih untuk menaiki bas ekspress sahaja. Dari Kuala Lumpur Sentral, menaiki tren ke Pudu Sentral. Sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Pudu Sentral (saya lebih senang dengan nama asalnya, Pudu Raya).

Selepas dinaik taraf, itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana. Tidak hairanlah kerana tiada tujuan saya ke sana. Sewaktu belajar dahulu, pernah juga beberapa kali menaiki bas ekspres ke Utara.

Bolehlah dikatakan selesa jika terpaksa berada di situ dalam tempoh masa yang lama. Lebih-lebih lagi dengan adanya Kedai Buku 1Malaysia dan Marrybrown. Lengkaplah keperluan sementara menunggu ketibaan bas.

Kisah mendapatkan tiket bas pun tidak kurang mencabar. Kebanyakan tiket bas ke Teluk Intan untuk hari tersebut sudah habis. Tiket ke Ipoh masih banyak. Mengikut kata teman, Ipoh ke Teluk Intan agak jauh. Padan muka saya sekali lagi. Tidak berputus asa mencari ke kaunter demi kaunter, akhirnya ada tiket ke Teluk Intan di kaunter Etika Ekspress. Tapi basnya ialah Arwana Ekspress dan perjalanan jam 5.30 petang. Melihat jam di tangan, jam 2.30 petang. Bolehlah, tidaklah terlalu lama menunggu dan saya tidak perlu risau kerana bekalan buku dalam beg mencukupi. Alhamdulillah.

Selesai Solat Qasar dengan Jamak Takdim di surau, saya masuk ke kedai buku yang seakan-akan melambai-lambai. Lama juga membelek-belek buku di situ. Semuanya nampak menarik dan seolah-olah mengenyit mata menggoda, minta dibawa pulang.

Mata melekat pada sebuah novel berkulit merah, Naqiah Khalida, karya Diya Nordin. Saya tersenyum sendiri. Diya, baru beberapa bulan menjadi kawan saya. Namun, hati ditahan daripada terus membeli kerana beberapa faktor. Salah satunya, novel itu tebal dan akan menambahkan berat beg sandang saya yang sudah berisi beberapa buah buku. Lalu, akal memutuskan untuk membelinya selepas pulang dari Teluk Intan sahaja.

Kemusafiran bermula

Lebih empat jam berada dalam bas dan menempuh perjalanan dalam keadaan hujan sepanjang jalan, saya tiba di terminal bas Teluk Intan jam 9 malam. Tidak lama menunggu, saudara sesama Islam, abang dan kakak datang menjemput. Gembira bertemu mereka! Selepas lebih setahun tidak bertemu.

Jam 10 malam di Teluk Intan seperti jam 2 pagi di Kuala Lumpur. Sunyi. Kedai-kedai pun sudah banyak yang tutup. Rasanya bandar Kuala Terengganu lebih meriah. Makan malam bersama abang dan kakak sambil bertukar-tukar cerita.

Lama tidak bertemu, macam-macam cerita keluar. Sewaktu mereka masih tinggal di Shah Alam, pernah sekali berkunjung ke rumah mereka. Selepas itu pernah sekali lagi bertemu dan kemudian hanya alam maya menjadi penghubung selepas mereka berpindah ke Teluk Intan. Kedua-duanya guru. Seronok mendengar mereka bercerita tentang alam persekolahan. Bebanan tugas, kenakalan pelajar, karenah birokrasi.

Selepas makan, saya dibawa ke pasar malam, berhadapan Menara Teluk Intan. Hati teruja tidak terkira. Tapi malam menara tutup, jadi kena tunggu siang untuk naik ke atas. Tidak sabar...

Rumah abang dan kakak merupakan rumah lama peninggalan atuk abang. Rumah tradisional yang unik. Ada nilai estetika. Err...rumah lama, banyak barang antik. Kakak menyediakan bilik di ruang atas untuk saya. Kakak yang seperti tahu apa yang bermain di minda terus berkata, "malam ini akak tidur dengan Achik. Jangan risau, kami dah faham sangat dah...," saya ketawa, kakak pun ketawa.

Tapi entah kenapa, malam itu saya seperti tidak boleh tidur. Sekejap-sekejap saya terjaga. Saya bukan jenis manusia yang susah tidur di tempat baru seperti sesetengah orang. Biasanya, dapat bantal tanpa tilam pun, saya boleh lelap hingga ke pagi. Tapi tidak di rumah itu. Mungkin teruja menunggu matahari muncul dan menyapa.

Selepas solat Subuh, saya bermalas-malasan di atas katil. Oh, anak dara. Kakak buka semua tingkap, dan saya boleh nampak gereja dari tingkap di sisi katil. Mana tidaknya, rumah abang dan kakak terletak bertentangan dengan gereja. Jaraknya lebih kurang 200 meter. Saya lupa nama gereja itu. Saya boleh dengar dengan jelas 'tazkirah pagi' dan koir mereka terus dari gereja. Kalau Presiden Jati ada, mesti beliau suruh kakak dan abang pindah. Takut akidah rosak lalu murtad!

Keluar sarapan dan saya menemani kakak ke Sekolah Menengah Convent Teluk Intan. Ada kerja key in data pelajar yang belum selesai katanya. Sempatlah mendengar beberapa guru bercerita perihal pelajar masing-masing. Pelbagai ragam.

SMK Convent terletak berhadapan Sekolah SMK St. Anthony Teluk Intan, sekolah abang mengajar. Semuanya pelajar lelaki. Kata kakak, SMK Convent majoriti pelajarnya pandai manakala SMK St. Anthony, pelajarnya banyak yang bermasalah.

Cerita kakak lagi, budak-budak perempuan SMK Convent selalu berkata, "apa klas kami nak couple dngan budak St. Anthony, cikgu,"

Jalan-jalan di bandar Teluk Intan, memang di sini banyak gereja dan bangunannya masih bangunan lama. Saya suka walaupun sekali pandang nampak menyeramkan. Atau mungkin masalah saya, cepat jatuh cinta dengan tempat baru.

Tengah hari, selepas mengisi perut dengan 'nasi lambai' di kedai mamak yang terkenal di Teluk Intan, barulah berpeluang menaiki menara condong. Menaranya ada lima tingkat tapi boleh naik hingga ke tingkat tiga sahaja. Bolehlah nampak pemandangan sebahagian daripada bandar teluk Intan. Rumah abang dan kakak pun boleh nampak dari atas menara. 


Petang, hujan lebat dan kami bersantai sambil menikmati kopi di Georgetown White Coffee. Kebetulan, kakak pun coffee lover. Bezanya, dia suka kopi ais, saya lebih suka kopi panas. Nikmatnya...Subhanallah...

Terima kasih dari seorang Achik

Percutian saya nampak biasa sahaja, bukan? Namun tetap berbekas di hati. Tetap berjaya membuatkan saya lupa seketika urusan saya di Kuala Lumpur. Selain tertunai hajat untuk melawat Menara Condong, bukanlah tempat percutian sangat yang saya utamakan.


Tapi lebih dari itu, memelihara dan mengekalkan silatulrahim yang terbina. Ya, abang dan kakak bukan darah daging saya tapi tetap saudara saya sesama Islam, keturunan Adam dan Hawa.

Saya mengenali abang sebagai seorang abang, dan dia mengenali saya sebagai seorang Achik (nama timangan saya dalam keluarga). Kemudian dia berkahwin dengan kakak, dan kakak pun menerima dan mengenali saya sebagai seorang Achik.

Selepas pertemuan di Teluk Intan itu, yang dihiasi senda gurau dan gelak tawa, saya yakin mereka masih menganggap saya sebagai seorang Achik, seperti beberapa tahun dahulu. Dan saya, sebagai seorang Achik, tetap menganggap mereka sebagai abang dan kakak yang perlu dihormati.

Jarang bertemu, tapi saya tidak kekok, bukti silatulrahim ini bukan dibuat-buat, tapi bersahaja, jujur dan ikhlas dari hati.

Dan saya, masih selesa membahasakan diri saya sebagai 'orang' apabila bercakap dengan mereka, seperti dengan ahli keluarga sendiri.

Kepada abang dan kakak, terima kasih kerana menerima dan terus melayan saya sebagai seorang Achik. Tanpa syak wasangka. Tiada curiga. Saya sangat menghargai persaudaraan ini.

Seperti kata Sasterawan Negara, Usman Awang; "bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa".