Sunday 21 October 2012

Perihal menulis

Mula-mula hobi saya membaca. Selalu meminjam novel di perpustakaan sekolah dan perpustakaan bergerak yang datang ke sekolah dua minggu sekali. Kemudian hobi saya melarat ke aktiviti menulis. Idola saya, sudah tentu novelis kacak, Ahadiat Akashah. 

Saya menulis. Sangat suka menulis. Ada waktu senggang sahaja, saya menulis. Selesai membuat kerja sekolah, saya menulis. Kadang-kadang, sebelum memperoleh mood untuk membuat latihan matematik, saya menulis (saya memang tidak suka matematik). Dapat dua tiga perenggan pun jadilah. Di celah-celah ruang waktu untuk mengulang kaji pelajaran, saya sempat menulis. Kononnya menulis cerpen dan novel. Sudah menjadi rutin harian dan aktiviti itu tidak mengganggu pelajaran saya. Entah apa yang saya tulis.

Kertas kajang tidak payah cakaplah, sekejap-sekejap habis. Dua tiga hari beli, habis. Pen pun sama. Macam-macam jenis pen dalam kotak pensel. Yang penting, mata pen mesti sedap diguna dan bersesuaian dengan kertas kajang agar tulisan cantik dan kemas. Itu aspek penting. Maklumlah, ketika itu hanya menulis dengan tangan. Penggunaan komputer belum meluas, laptop belum ada.

Saya tidak malu kawan-kawan sekelas tahu bahawa saya menulis cerita panjang (senang cerita, tulis novel kononnya). Dan, tulisan (atau karya) saya ada pengikut sendiri. Pengikutnya sudah tentu rakan-rakan sekelas. Wah, macam hebat bunyinya. Habis satu bab, mesti ada yang memohon untuk membaca. Sambung dua tiga perenggan, mesti ada yang bertanya; "ada bab baru tak?" atau "sudah ada sambungankah?".

Tapi semua itu berlaku ketika saya di tahun enam hingga tingkatan lima sahaja. Tahun 1996 hingga 2001. Ketika itu, saya hanya suka menulis. Tanpa berfikir tentang etika penulisan. Tanpa ambil tahu soal karakteristik, tema, plot, watak, dan segala macam lagi. Tanpa mengerti fasal tanggungjawab seorang penulis. Tanpa faham bahawa apa yang ditulis itu akan disoal Tuhan di akhirat kelak. Yang saya tahu, yang saya peduli, yang saya kisah, saya suka menulis dan saya mahu menulis. Mudah fikirnya.


Namun, aktiviti menulis (penulisan kreatif) semakin berkurangan selepas saya melangkah ke tingkatan enam. Hampir dua tahun di tingkatan enam rendah dan atas, saya seolah-olah lupa terhadap hobi saya itu. Mungkin ketika itu saya terlalu sibuk dengan pelajaran kerana bercita-cita ingin menjejakkan kaki ke menara gading, mengambil jurusan pendidikan. Memang betul-betul fokus belajar ketika itu. Dalam kepala, hanya fikir mahu masuk universiti, keluar jadi cikgu. Lupakan sekejap perkara lain. Tetapi, minat terhadap buku dan penulisan masih ada. Masih konsisten menulis diari.

Mungkin akibat terlalu kecewa kerana tidak berjaya memasuki bidang pendidikan, saya jadi 'hilang'. Hilang semangat, hilang angan-angan, hilang impian, hilang rasa! Saya cuma lalui apa yang harus saya lalui. Saya cuma hadap apa yang ada depan mata. Tanpa beri apa-apa makna. kalau tidak keterlaluan, saya sifatkan tiga tahun itu sebagai tahun gelap saya dalam bidang pengajian komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM). Walaupun pada hakikatnya, saya menemui permata yang sangat berharga, yang mengubah hampir keseluruhan jalan hidup saya. Tidak berhajat untuk menceritakanya di sini.

Tanpa saya sedar, 'hilang' itu juga menyebabkan saya langsung lupa tentang penulisan. Saya sudah tiada rasa. Lama saya tidak menulis. Melangkah ke alam pekerjaan pun, saya masih 'hilang', tiada rasa. Hanya melalui hari-hari seperti biasa. Tiada lagi harapan untuk menjadi begitu, tiada lagi impian untuk menjadi begini.

Setiap perkara itu pasti ada hikmahnya. Yakin. Sudah tentu Allah mengatur yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Dan setiap kejadian itu tiada yang sia-sia. Beberapa perkara berlaku sehingga menemukan saya dengan teman yang minat menulis, teman yang mengembalikan kecintaan saya yang hilang, yang menyedarkan saya bahawa saya perlu meneruskan minat saya. Terima kasih Allah kerana menghadiahkan lukisan hidup yang penuh halus dan berseni ini.

Sebenarnya, apabila dikenangkan faktor saya konsisten menulis ketika remaja, kerana ketika itu jiwa mentah saya penuh dengan rasa. Penuh dengan angan-angan, harapan dan impian. Saya ingin jadi begitu, saya ingin jadi begini. Saya suka begitu, saya suka begini. Jadi semua itu saya terjemahkan ke dalam tulisan saya. Saya jadi ralit menulis kerana mengandaikan salah satu watak yang saya cipta itu ialah saya. Saya tenggelam dalam dunia yang saya impikan. Oh, bahagianya.

Maka, ada benarnya pendapat sesetengah penulis, Zaen Kasturi misalnya, rasa itu sangat penting untuk menghasilkan sesuatu karya. Segala-galanya bermula dari rasa. Jika jiwa penuh dengan rasa, maka senanglah untuk menterjemahkan rasa itu ke dalam karya.

Jadi, mungkinkah sekarang saya sudah kurang atau hilang rasa, hingga menyukarkan saya untuk menulis? Apa yang saya sedar, saya sekarang sangat berbeza dengan saya ketika remaja. Kalau ketika remaja, saya menulis sahaja apa yang saya mahu, sekarang tidak lagi. Saya terlalu berhati-hati sehingga tidak menulis apa-apa. Takut, malu, segan, tidak yakin menebal dalam diri. Nasib baik saya berani menulis status di facebook dan di twitter.

Kalau dahulu, saya gembira apabila kawan-kawan meminta untuk membaca cerita saya, sekarang saya teragak-agak untuk mempamerkan tulisan saya kepada umum. Gusar. Risau, bimbang. Mungkin kerana terlalu faham soal etika, fasal tanggungjawab seorang penulis, sedar apa yang ditulis akan disoal Allah di akhirat kelak, maka saya takut untuk berkarya. Seringkali saya terfikir, lebih baik tidak tahu etika, tidak tahu segala-galanya tentang penulisan, jika itu membuatkan saya terus berani menulis. Tapi itu sekadar 'fikir bodoh' saya. Bukanlah ilmu itu perlu untuk melakukan sesuatu perkara.

Jadi kepada teman-teman yang membaca tulisan saya ini, mohon mendoakan saya agar lebih berani dan yakin untuk menulis tentang apa-apa sahaja. Asalkan bermanfaat dan tidak dimurkai Allah.

Panjang-panjang saya tulis, itu sahaja pinta saya.

1 comment:

  1. Kekanda,

    Agaknya usia remaja memang usia yang penuh warna dan rasa bagi setiap orang, justeru tidak hairanlah jika adinda juga persis kekanda, punya hobi yang satu, bahkan pernah menulis cerpen yang akhirnya membuat guru yang membacanya menitiskan air mata, betapa setiap dari kita punya anugerah alam penuh rasa dan warna, tuntas hati terbang kepada sepotong ayat Quran yang berbunyi

    "Allah mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;
    Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
    Merugi bagi yang mengotori-Nya"
    Asy-syams 8-10


    Subhanallah


    Selamat menulis, selamat mengukir rasa dan warna dalam acuan yang diredhai tuhan.

    ReplyDelete