Wednesday 20 March 2013

Lidah terkoyak, hati bercantum

Saya tidak kisah apabila emak terlalu memberikan perhatian kepada adik. Menjaga makan dan pakai adik dengan sebaik mungkin.

Saya tidak ambil peduli apabila emak menelefon adik berkali-kali kalau adik belum pulang selepas jam 12 tengah malam.

Saya tidak pelik apabila emak tidak lalu makan sewaktu berhari-hari adik outstation.

Saya faham kalau dikatakan emak terlalu memanjakan adik.

Emak mana yang tidak sayang anak, lebih-lebih lagi anak bongsu. Tiada apa yang perlu dihairankan.

"Adik, tengok lidah? Dah macam mana sekarang? pinta saya kepada adik sewaktu pulang ke kampung baru-baru ini. Tiba-tiba terasa ingin melihat.

Adik menjelirkan lidahnya sekejap, kemudian senyum. Manis. Oh, adik saya lelaki, 22 tahun. Kacak sangat pun tidak, tapi manis ada. Kalau baru kenal orang akan sangka sombong. Tapi bila sudah lama kenal, InsyaAllah boleh buat kawan susah dan senang.

Lidahnya elok sahaja, cuma kalau diteliti, akan nampak kesan koyakan di bahagian hujung sebelah tepi lidah. Lebih kurang 0.5 CM.

Alhamdulillah, koyakan itu bercantum dengan sendirinya tanpa perlu dijahit dan tidak menjejaskan pertuturannya. Adik langsung tidak pelat.

Lidah adik terkoyak akibat kemalangan jalan raya, dipercayai terkena benda tajam dan air panas selepas adik tercampak ke cermin hadapan van yang dinaiki.

Sejujurnya, saya tidak sanggup membayangkannya.

Ketika itu dia berumur tiga tahun (kalau saya tidak silap) dan saya ketika itu berumur sembilan tahun.

"Mak janganlah pergi dulu, orang tak puas lagi tengok muka mak," itu kata-kata terakhir saya kepada emak sewaktu mencium tangan dan pipinya sebelum emak menaiki van bersama saudara-mara yang lain. Jam kira-kira sepuluh malam.

Kisahnya, emak mengikuti rombongan menghantar menantu ke Muar, Johor. Emak saudara saya, adik emak berkahwin dengan orang Johor. Jadi, mengikut adat, ahli keluarga sebelah perempuan perlulah menghantarnya ke rumah pengantin lelaki.

Waktu itu cuti sekolah tetapi entah mengapa saya yang memang tidak pernah dan tidak betah berenggang dengan emak, tidak mengikuti rombongan itu.

Hanya emak, adik dan Abang Ngah (ketika itu sedang menunggu keputusan STPM) yang menyertainya.

Manakala saya ditinggalkan bersama ayah dan dua kakak.

Ayah tidak turut serta kerana tidak dapat memohon cuti. Maka, dengan berat hati, ayah melepaskan emak, adik dan Angah mengikuti rombongan demi memenuhi permintaan adik emak.

Sebetulnya, ayah sangat keberatan membiarkan emak dan dua anaknya pergi ketika itu kerana beliau sangat tidak berkenan dengan perjalanan jauh pada waktu malam.

Ayah tegas dengan pendiriannya. Waktu malam untuk tidur dan berehat, bukan untuk memandu jarak jauh.

Tetapi setelah emak memujuk ayah kerana kasihankan adiknya yang berharap, maka ayah izinkan juga. Ayah bukan jenis yang suka membiarkan isteri dan anak-anak berjalan jauh tanpa beliau.

Emak dan adik menaiki van bersama saudara-mara yang lain dan Angah menaiki kereta bersama sepupu-sepupu lelaki. Seingat saya sebuah van dan dua buah kereta dalam rombongan itu.

Adik lelaki emak yang memandu van ketika itu. Saya dan dua kakak, menghantar emak sehinggalah van hilang dari penglihatan kami dalam gelap malam. Mengikut perancangan, mereka pergi selama tiga hari.

Maka tiga hari itu, tinggallah kami anak-anak dara di rumah. Tugas kakak memasak untuk ayah dan adik-adiknya.

Dua kakak ketika itu masing-masing di tingkatan lima dan tiga.

Oleh sebab kedua-dua kakak tinggal di asrama sejak tingkatan satu lagi, maka amat jaranglah masuk ke dapur apatah lagi mahu memasak menu yang sedap-sedap.

Emak pula bukan jenis yang suka anak-anak perempuan menolong beliau di dapur. Lagipun balik dari asrama sebulan sekali, emak tidak sampai hati menyuruh anak-anaknya membuat itu dan ini.

Tiga hari itu, terkial-kiallah dua orang itu di dapur. Buku resepi sentiasa menjadi rujukan. Gara-gara jarang masuk dapur! Padahal menu yang dimasak sederhana sahaja, untuk isi perut kami adik-beradik sahaja. Ayah yang cerewet bab makan, mustahillah mahu menjamah masakan kakak.

Ayah seperti biasa, memang sifatnya tidak banyak bercakap (atau boleh dikatakan tidak bercakap). Jadi tiada apa yang menghairankan kami.

Sesekali saya teringatkan emak. Rindu. Tapi waktu itu belum ada telefon bimbit. Yang ada hanya telefon rumah. Timbul juga rasa tidak puas hati apabila emak langsung tidak menghubungi kami bertanya khabar. Hendak menghubungi emak di sana, nombor telefon di sana pun tiada. 

Masuk hari ketiga, hati riang menanti kepulangan emak, adik dan Angah.

Sesampainya mereka, kami sangat terkejut melihat keadaan emak dan adik.

Kaki emak berbalut, tangan beranduh, luka sana-sini. Adik pula, pipi (sebelah kiri atau kanan saya sudah lupa) melecur teruk! Menggelembung! Alhamdulillah Angah tiada sebarang kecederaan.

Kami hilang kata, hanya mampu memeluk emak dan adik sambil menangis. Ayah memandang tajam tidak bersuara. Kami tahu beliau marah yang amat. Kami faham sangat maksud diammya itu.

Ayah marah kerana beliau dari awal lagi tidak bersetuju perjalanan jauh waktu malam. Pemandu mudah mengantuk. Tapi adik emak tetap berdegil mahu memandu malam.

Kami diberitahu, van yang dipandu adik emak terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Tangkak, Johor. Dua kereta di belakang selamat.

Emak cedera agak teruk di bahagian kaki kanan dan menerima lebih lima jahitan. Menurut saksi, kaki emak cedera hingga nampak tulang betis.

Adik pula, tercampak ke cermin hadapan van, mujur tidak tercampak ke luar. Mungkin lidahnya terkoyak kerana terkena serpihan kaca atau besi tajam dan pipinya melecur teruk terkena air panas dalam termos.

Mereka dikejarkan ke Hospital Tangkak.

Adik emak, (pemandu van) yang cedera ringan tidak henti-henti memohon maaf dari ayah selepas ayah mendengar cerita mereka. Dia mengaku dia mengantuk dan terlelap sebelum van yang dipandu terbabas.

"Aku dah kata, aku tak suka orang jalan malam-malam. Mengantuk waktu malam tak sama dengan mengantuk waktu siang. Nasib baik anak bini aku selamat," itu kata-kata ayah yang membuatkan adik emak tidak berani angkat muka.

Lebih seminggu adik kesayangan kami tidak boleh membuka mulut dan tidak boleh menelan liur. Kami rindu suaranya. Ketika sihat, mulutnya memang tidak pernah diam. Bercakap, menyanyi, ketawa, menjerit. Tapi seminggu itu, hendak melihat dia senyum pun tidak dapat.

Selama seminggu adik tidak boleh makan, hanya minum milo yang dicampur ubat. Namun dia tetap aktif! Cuma mulutnya bagaikan terkunci.

Mula-mula kami tidak tahu perihal lidahnya terkoyak. Hinggalah selepas seminggu, dia sudah boleh membuka mulut, dia menjelirkan lidahnya, dan terlihatlah bahagian yang terkoyak itu.

Sekarang, adik sudah besar panjang. Mengenangkan peristiwa itu, saya seperti tidak percaya saya hampir kehilangan adik dan emak.

Alhamdulillah, Allah panjangkan umur mereka dan memberi peluang kepada saya untuk menyayangi mereka lebih dari segalanya. Terima kasih Allah.

Dan, saya faham kenapa emak sangat sayangkan adik lebih dari nyawanya sendiri.

Ketika menulis kisah ini, saya rasa ingin pulang ke kampung sekarang juga, mahu peluk emak dan adik!

Betapa saya bersyukur masih mempunyai mereka.











1 comment: