Tuesday 22 May 2012

Kelas Puisi Pak Samad di Dataran Merdeka


Bukan suatu perkara yang menggembirakan untuk menulis sesuatu yang lama terperam di minda.

Namun, kerana yakin ada manfaat yang boleh dikongsi bersama meski tidak banyak, saya teruskan niat menulis.

Perihal kelas puisi percuma oleh Seniman Negara, Datuk A. Samad Said di Universiti Dataran Merdeka pada 17 April lalu. Lama bukan?

Niat menulis tertangguh dari sehari ke sehari lantaran hambatan tugas atau yang sebetulnya, tidak rajin memaksa diri dan lebih terpedaya dengan godaan kantuk dan tilam.

Saya sempat mengikuti kelas percuma itu dalam suasana petang dengan hujan renyai-renyai. Walaupun sebentar, kira-kira setengah jam, namun sangat bermakna. Terlalu.

Sejujurnya, amat berterima kasih kepada kumpulan adik-adik mahasiswa dan kumpulan Occupy Dataran yang ‘bermuka tebal’ berkhemah di Dataran Merdeka bagi menuntut pendidikan percuma dan penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tanpa kumpulan ini, agak sukar untuk mendapat peluang mengikuti kelas percuma begini bersama Sasterawan Negara dalam suasana santai tapi penuh santun. Biasanya penuh dengan protokol.

Pada hari itu, saya bertugas membuat liputan di Parlimen. Sedaya upaya menyelesaikan tugasan sebelum jam 5.30.

Mujur jarak di antara Parlimen dan Dataran Merdeka tidak jauh dan ada jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Saya tiba jam enam, hujan masih lebat. Melihat sekumpulan manusia berkumpul di pentas berhampiran kawasan perkhemahan, saya bergegas keluar dari kereta dan meredah hujan. 

Kelas sudah bermula. Pak Samad sedang berbicara sambil menunjukkan buku nota penuh dengan catatan tangan yang menurutnya sentiasa menemani beliau ke mana-mana sahaja.

Saya bersila di hadapan beliau, jarak di antara kami tidak sampai 50 meter. Teruja! Bukan selalu dapat peluang begini. Sebelum ini memang selalu bertemu Pak Samad di sidang media atau di program ceramah. Tapi rasanya tidak serupa.

Saya cuba memberi sepenuh perhatian kepada penyampaian Pak Samad. Seketika, saya larut dalam setiap butir bicara yang keluar dari mulutnya. Oh, rasa teruja rupa-rupanya boleh mengganggu konsentrasi.

Mujur saya mengambil langkah selamat dengan cara merakam suaranya. Dan ternyata rakaman itu sangat membantu untuk saya berkongsi apa yang disampaikannya mengenai puisi atau lebih khusus, cara menulis sajak.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah.

Saya difahamkan, kelas bermula kira-kira 10 minit sebelum saya tiba. Oh, sangat terasa kerugiannya.

Saya kongsikan transkrip kelas Pak Samad walaupun bukan dari mula.



...puisi (William) Shakespeare hukum-hakamnya lebih susah lagi.

Tapi itulah yang saya lakukan daripada tahun 54... puisi saya yang pertama sampai sekarang saya masih ortodoks dalam erti kata itu. 

Tapi ini jangan bimbang. Apakala sesudah kita dapatkan bentuk suku kata yang sama kita harus ingat bahawasanya akhir linear harus ada rhyme. 

Kita harus betulkan juga di situ macam bertua-kita, syahdu-merdu, selagi kita tidak dapat kita akan berfikir. 

Oleh sebab benda yang ryhme itu memudahkan orang untuk mengingat. Macam Chairil Anwar kata, sekali berarti sesudah itu mati. 

Itu yang kita harus lakukan dan itu saya lakukan. Lepas kita dapat suku kata yang berimbang 15-15 dan kita dapat juga rhyme di hujungnya misalnya cair-bazir,...

Bagaimana kita melakukannya adalah upaya kita sendiri. Kalau kita tidak dapat cari, kita mesti cari juga. Untuk permulaan susah. Memang susah. Tapi kalau anda sudah biasa terkadang-kadang ia datang sendiri. 

Nombor tiga kita harus baca rangkap itu. Misalannya empat linear satu rangkap, empat linear satu rangkap, boleh berakhir dengan dua linear sahaja untuk mengunci. Boleh juga empat untuk mengunci. Itu tidak jadi soal. 

Tapi selepas kita tentukan rangkap ini kita datangi semula untuk melihat rangkap itu, apa yang dikatakan. Katakan kita bilang A lepas itu kita lompat kepada C. Dari C kita pergi D lepas itu kita pergi Z. Jadi kita harus mewaraskan itu, kita dalami rangkap itu, kita susun semula. Yang A, lepas A mesti B. Lepas B mesti C. Jadi masa kita tulis kita tidak sempat untuk mengatur. 

Tapi sesudah kita tulis kita baca semula dan kita akan tahu bahawasanya ini mesti di atas, ini mesti di bawah. Itu dinamakan merasionalkan hierarki tema. Tema-temanya mesti ada hierarki supaya orang yang membaca mulanya melihat ada suku kata yang seimbang, ada rhyme yang seimbang, ada pula hierarki. Tema-tema kecil yang menjadikannya menjadi sama. 

Selain daripada itu ada orang yang menulis puisi yang tidak mengikut hukum. Ini hanya genius sahaja yang boleh melakukan sebab ia akan mengeluarkan kata-kata dengan imej yang cantik yang sukar kita untuk menjelaskan bahawasanya tidak ada dengan semua orang. Ada mungkin dengan orang-orang yang tertentu. 

Jadi itulah asas yang bapak kata sebab yang bapak ajar ini ialah sebenarnya cuma puisi yang ada rangkapnya, ada suku katanya, ada rhymenya dan ada hierarkinya. 

Jadi kalau akan datang anda membaca puisi selain daripada sama ada yang temanya anda suka atau anda tidak suka anda harus lihat. Sebab kalau hukum hakamnya itu betul puisi itu tidak mustahil akan hidup. 

Sebab kalau tidak puisi itu akan pupus dan terkadang-kadang tema itu yang menjadikan puisi itu langsung hidup.

Sekarang apa sahaja yang anda tulis mengenai demonstrasi, sepuluh tahun yang akan datang puisi itu akan bermakna. Sebab anda adalah seorang yang merakamkan. 

Jadi mungkin sekarang ini dia menaikkan semangat ataupun dia mungkin juga mengganggu semangat ataupun dia mengacau itu tidak apa sebab yang pokok ialah kita telah merakamkan satu peristiwa penting dalam aliran peristiwa di negara kita. 

Itu tidak kira sama ada orang menyokong kita atau menentang kita atau mengatakan kita ini bagus atau mengatakan kita ini buruk itu tidak jadi soal sebab yang penting kita telah melahirkan satu khazanah sastera yang akan bercakap selepas ini. 

Kalau di Indonesia Rendra misalannya. Rendra membuat puisi yang dibaca oleh polis, dibaca oleh askar yang bersetuju dengan apa yang dikatakan. Dibaca depan umum sebab seni di situ bukan apa dia merakamkan, bukan untuk menggelorakan bahawasanya satu waktu jam 6.30 ada satu kumpulan anak-anak di sini yang merasakan dirinya terpanggil untuk membetulkan jentera demokrasi. 

Saya fikir itu sahaja yang bapak dapat mulakan barangkali mungkin ada yang ingin bertanya sebab bapak diberitahu bapak ada di sini hanya 15 minit.


Soalan daripada audiens: 

Bagaimana memulakan proses menulis (begitulah lebih kurang bunyi soalannya sebab kurang jelas)

Jawapan:

Seperti yang saya katakan saya ini ortodoks... jadi apa pun bermula dengan usaha. Tapi kalau ada orang orang boleh menulis...(kurang jelas perkataan berikutnya) ya boleh. Terus sahaja. Kalau dia nak betulkan susah dekat situ atau dia nak kekalkan dia punya original, dia print. Dia betulkan atas yang diprint atau masukkan semula. Ada bukti prosesnya. 

Kalau anda menjadi besar akan datang, proses itu tidak mustahil akan lebih berharga. Seperti yang di Barat Robert Frost apa yang ditulis, puisi-puisi tak jadi pun dilelong berjuta. Di sini belum lagi. Kalau tidak bapak sudah jadi jutawan (ketawa).

Soalan:

Boleh bapak terangkan mengenai Antologi Rindu Ibu (yang bertanya ialah gadis bernama Aishah Nur Hakim)

Jawapan:

Rindu ibu bapak tulis dalam dua tiga tahun bapak kumpulkan dengan hajat yang sebenarnya selama ini saya tulis cuma untuk orang dewasa. Jadi saya fikir yang harus dibimbing antara awalnya ialah anak-anak. Jadi saya ambil masa yang lama untuk menulis Rindu Ibu itu dari tingkat yang paling mudah ke tahap yang paling susah merangkumi kehidupan anak yang mula mengenal alif ba ta atau ABC kemudian ia bergerak dari satu fasa hidup ke satu fasa hidup yang lain. Misalan mula-mula dia belajar membaca kenal kucing, kenal tingkap, kenal burung kemudian ikut ibunya naik kapal, naik kapal terbang.

Kemudian apa yang dia jumpa di sekelilingnya menunjukkan pertumbuhan anak itu sebagai seorang anak kecil menjelang remaja. 

Dan aneh ketika saya tulis itu tidak tersangka itulah antara buku saya yang dicetak sebanyak 30,000 naskah. Yang lain boleh bergerak, (tapi) lambat dan buku itu diulang cetak 9,000 naskah. Jadi kalau anda tengok bapak bergaya sedikit di restoran atau di mana-mana itu ertinya bapak sudah dapat royalti Rindu Ibu (ketawa lagi).

Soalan:

Bagaimana kita nak kembangkan daripada madah menjadi sajak yang bertema.

Jawapan:

Kita harus fikir tema dulu. Kita tidak boleh tulis kalau tidak ada apa yang dikatakan mulanya percikan tema. 

Mungkin kita tidak dapat misalannya yang bapak duduk di sini, anak-anak di sini, ini satu tema besar ini. Yang kalau ditulis katakan anda setiap orang tulis, memberikan interpretasi kepada apa yang sedang anda lakukan.

Anda boleh bikin antologi bersama utuk menyatakan pada satu ketika anda berada di Dataran Merdeka bukan di Dataran Penjajah dan antologi akan menjadi buku barangkali boleh jual seperti t-shirt Bersih boleh mendatangkan keuntungan.

Tapi apa yang lebih penting ialah rakaman bahawasanya pada satu waktu dalam kehidupan kita sebagai mahasiswa mengambil bahagian untuk merubah demokrasi dari cemar kepada luhur. Itu satu sumbangan yang besar.

Mimpi


Saat terasa sejuk tanganmu menyentuh ubun-ubun
sedingin titisan embun
saat itu mindaku tersedar
sekadar mimpi yang selalu menemani
dan selamanya hanya mimpi
Biarkan.

Thursday 17 May 2012

Kerawang cinta untukMu

Menyulam rindu
menjadi kerawang cinta
Sudikah Engkau menerima
sutera kasih ini
Ya Rabb?

Monday 7 May 2012

Merayu waktu

Semalam berlalu
menjadi sejarah
tinggalkan luka dalam
dan parah
pedih.

Gharib
Bayang sudah hilang
tapi rasa belum ghaib
petanda kisah belum sudah?

Lagak persis bermusuh
jiwa lelah merusuh
menangkis rasa
yang memukul relung hati

Benci
entah pada semalam
atau pada sukma
yang lemah

Waktu
tolong bawa pergi
semalam yang hitam
dan jelmakan
esok yang putih

Waktu
tolong aku
ladeni hari ini
yang sangat bernilai
untuk merubah
semalam yang gelap
dengan esok yang benderang.

Hazayani Zakaria
7. 5. 2012
Kuala Lumpur