Monday 30 July 2012

Lorong gelap, Jalan TAR, saya dan mereka

Kadang-kadang kita terlalu memikirkan tentang diri sendiri, keluarga dan orang-orang terdekat sehingga kita tidak cakna manusia lain di sekeliling. Anggapan kita, mereka tidak ada pertalian darah dengan kita. Jadi untuk apa kita peduli?

"Sumbangan cik," tiba-tiba saya didatangi seorang wanita lewat 40-an ketika saya berjalan seorang diri mencari keperluan hari raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, beberapa hari yang lalu.

Sengaja saya tidak keluar pada Sabtu atau Ahad dan memilih minggu pertama puasa untuk mengelakkan bersesak-sesak dengan orang ramai.

Tambahan pula, saya tidak mahu menangguhkan urusan dan menunggu saat-saat akhir. Apa yang akan terjadi akan datang, saya tidak tahu. Mungkin saya terpaksa pulang awal ke kampung, atau tiba-tiba terpaksa outstation, siapa tahu. Sekurang-kurangnya selepas selesai urusan peribadi, legalah sedikit jika ada situasi kecemasan.

Selepas berhadapan dengan beberapa situasi cemas dalam hidup saya, saya berubah menjadi manusia yang tidak suka menangguhkan kerja.

Saya berpaling ke arah suara itu. Sangka saya itu situasi biasa. Ya, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, ketika orang sibuk membeli-belah, datang individu yang meminta sumbangan atas nama individu atau rumah-rumah kebajikan. Biasa bukan?

"Untuk Rumah Solehah, rumah kanak-kanak HIV," sambung wanita yang berbaju kurung dan bertudung merah samar serta bercermin mata itu.

Rumah Solehah, ulang saya dalam hati. Mata saya lantas terpandang pamplet di tangannya bertulis Rumah Solehah yang difotokopi hitam putih.

Pantas saya teringat Rumah Solehah, tempat yang pernah saya lawati pada tahun 2006. Ketika itu saya menjalani magang (praktikal) di World Assembly of Muslim Youth, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) selama satu semester.

"Rumah Solehah di Cheras?" Soal saya untuk mendapatkan kepastian.

"Ya, ya. Di Cheras. Kamu tahu?" Soalnya. Saya mengangguk-anggukkan kepala.

"Mak Wan masih ada di situ? Soal saya lagi sambil ingatan saya melayang mengingati wajah Mak Wan, penjaga Rumah Solehah.

"Ada lagi. Tapi dia sekarang sudah tak berapa sihat, sakit-sakit lutut," ujarnya. Saya terdiam dan minda masih mengimbau kenangan melawat Rumah Solehah.

Ketika itu, Rumah Solehah dihuni lebih kurang 10 hingga 15 orang kanak-kanak HIV. Ada anak yang terbuang, tidak diketahui siapa ibu bapa mereka, dan ada yang dihantar sendiri oleh ibu bapa yang menghidap AIDS.

Saya kagum dengan Mak Wan di atas inisiatifnya menjadikan rumahnya sebagai tempat perlindungan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Namun dalam hati, tetap terselit rasa ragu-ragu. Mungkin wanita itu berbohong? Menggunakan nama Rumah Solehah untuk kepentingan peribadi?

Tapi saya abaikan perasaan itu. Saya fikir, kalau dia menipu, itu urusan dia dengan Allah. Yang penting, saya pernah tahu tentang Rumah Solehah.

Dan akhir-akhir ini, saya sering terkenangkan aktiviti-aktiviti yang pernah saya lakukan suatu waktu dahulu. Melawat rumah-rumah perlindungan, mendekati gelandangan khususnya kanak-kanak. Ya, saya rindu.

"Kamu guru?" soalnya. Saya menggeleng-gelengkan kepala.

"Saya pernah melawat Rumah Solehah tahun 2006. Masa itu, Mak Wan masih sihat," jelas saya. Entah perlu atau tidak.

"Oh, kamu kenal Fadli, (dan beberapa nama lain yang dia sebutkan, saya tidak ingat),"

"Masa saya pergi mereka masih kecil," ujar saya.

Saya melihat tag namanya namun tidak perasan atas organisasi apa.

"Auntie Khadijah?" saya meminta kepastian.

"Ya, saya masih belajar di Perkim. Alhamdulillah, sekarang saya sudah pandai solat, puasa dan ibadat-ibadat lain," jelasnya.

"Oh, Alhamdulillah," balas saya. Benarlah sangkaan saya, dia seorang mualaf.

Saya lantas menghulurkan sedikit sumbangan. Saya kata dalam hati, saya halalkan sekalipun dia menipu kerana saya pasti, ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan pada saya.

Mungkin Allah mahu mengingatkan saya tentang tanggungjawab saya terhadap golongan ini. Kerana saya pernah menyatakan hasrat kepada seorang teman bahawa saya punya impian untuk membuka rumah anak yatim atau kanak-kanak yang tidak ada keluarga.

Apa gunanya memasang impian tapi tindakan tidak menjurus ke arah itu?

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidka kamu kerjakan"
 (As-Saff : 2-3)

Saya terkesan dengan pertemuan itu. Kebetulan malam sebelumnya, saya tertonton laporan khas "Anak Lorong" di Buletin Utama TV3 yang mengisahkan anak-anak pekerja seks dan gelandangan di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

Laporan memaparkan seorang kanak-kanak perempuan, mungkin tiga atau empat tahun, terpaksa hidup dalam suasana yang langsung tidak kondusif. Secara kasarnya kotor, busuk, sempit.

Ikutkan hati, saya tidak mampu untuk terus menonton tapi saya kuatkan hati. Dan seperti selalu, air mata saya menitik. Anak kecil itu tidak berdosa, bisik hati saya.

Lorong Haji Taib, Jalan Raja Laut. Saya malu terhadap diri sendiri. Boleh dikatakan hampir setiap minggu saya ke kawasan berkenaan atas urusan kerja. Kadang-kadang apabila meletakkan kenderaan di lorong tersebut, saya terpandang kanak-kanak bermain-main, merayau-rayau. Kadang-kadang ada yang berpakaian sekolah, kadang-kadang ada yang berpakaian comot. Hati saya sayu. Saya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menghadiahkan senyuman untuk mereka. Entah mereka perlukan senyuman saya atau tidak, saya tidak pasti.

Setiap kali itu jugalah, terdetik di hati saya; di mana saya? Apa yang saya lakukan untuk mengeluarkan mereka dari dunia gelap itu?
 
Kisah itu menemani saya sehingga ke waktu tidur saya. Berlegar-legar di layar fikir saya. Dan keesokan harinya, saya dipertemukan dengan Mak Cik Khadijah yang mengingatkan saya kepada Rumah Solehah.

Ya Allah, maafkan saya. Saya leka. Saya takut. Apa yang harus saya jawab bila Allah tanya apa usaha saya untuk membantu mereka? Di mana saya?

Sunday 22 July 2012

Gerak hati

SMS tidak berbalas, mention twitter tidak ada respons. Marahkah dia pada saya? Atau saya yang terlalu cepat berfikir bukan-bukan?

Saya tidak punya deria keenam tapi daripada pengalaman, gerak hati saya selalunya betul. Apabila terasa tidak sedap hati, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Saya terima kalau dia memang marah pada saya. Kerana dia insan kental. Tabah. Sabar. Kuat.

Tapi saya tidak bersalah. Ah, ketepikan soal saya bersalah atau tidak. Sejak bila saya menjadi seorang yang terlalu mempertahankan diri? Biasanya saya akan mengalah dengan keadaan.

Ramadhan ini, tanpa saya sedar, saya ada harapan. Memang harapan saya tidak pernah sudah, tapi Ramadhan kali ini, harapan saya sungguh-sungguh.

Sungguh-sungguh.

Saya perlukan jalan keluar.

Takdir tidak boleh diusir, tapi usaha jangan dipinggir.

Tuesday 17 July 2012

Antara Money dan Honey

"Biar muka tak handsome, asal ayat power," kata seorang teman kepada saya.

Menjengkelkan.

Ayat power tidak mampu buat saya kenyang. Bila lapar, saya akan cari nasi. Bukan dengar ayat yang indah-indah, terus saya jadi kenyang.

Materialistik? Ya, materialistik agar menjadi seorang yang realistik.

Balas saya spontan, " biar muka tak handsome, asal banyak duit. Sekurang-kurangya bila serabut tengok muka macam bangunan tidak siap itu, ada duit untuk keluar cuci mata,"





Saturday 7 July 2012

Pinta hati

Menyendiri, bukan membenci. Kerana saya, manusia yang punya hati. Tidak ingin dicari, tapi akan terus mencari. Kerana di sini, ada bahagia tersendiri. Hanya diri yang mengerti.

Tuesday 3 July 2012

Julai yang istimewa


Julai. Bulan yang istimewa bagi diri saya. Khususnya pada hari ke dua belas.


Senyum sendiri. Akhir-akhir ini saya mudah tersenyum sendiri. Menangis sendiri pun mudah (tapi itu dari dahulu lagi).

Silalah lihat ciri-ciri orang yang lahir pada bulan Julai.

* Sangat suka didamping.
* Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
* Agak pendiam kecuali dirangsang.
* Ada harga dan maruah diri.
* Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.
* Mudah dipujuk dan bercakap lurus.
* Sangat menjaga hati orang lain.
* Sangat peramah.
* Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
* Berjiwa sentimental.
* Jarang berdendam.
* Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.
* Tidak suka benda remeh-temeh.
* Membimbing cara fizikal dan mental.
* Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.
* Layanan yang serupa terhadap semua orang.
* Tinggi daya simpati.
* Pemerhatian yang tajam.
* Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.
* Mudah dan rajin belajar.
* Suka muhasabah diri.
* Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.
* Suka mendiamkan diri.
* Suka duduk di rumah.
* Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan.
* Tidak agresif kecuali terpaksa.
* Lemah dari segi kesihatan perut.
* Mudah gemuk kalau tak kawal diet.
* Minta disayangi.
* Mudah terluka hati tapi lambat pulih.
* Terlalu mengambil berat.
* Rajin dalam membuat kerja

Err...betulkah? Ada yang betul, ada yang tidak berapa betul. Hehehe...

Monday 2 July 2012

Perhentian untuk perjalanan tidak berpenghujung

Saya mahu berhenti di sini. Bukan lari, tapi berhenti. Bukan mengalah, tapi sekadar untuk melepaskan lelah. Ya, mungkin saya benar-benar lelah. Penat. Letih. Tapi saya tidak mahu mengaku kalah walaupun dalam banyak situasi, saya seorang yang cepat putus asa.

Menginjak dewasa (ya, saya yakin saya sudah dewasa), saya sedar, perjalanan hidup ini harus ditempuh. Sesukar mana pun jalannya. Seberat mana pun beban yang harus dibawa.

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Al-Baqarah : 286)


Lari daripada realiti bukan jalan penyelesaian. Mungkin saya bebas sebentar, tapi akhirnya saya harus kembali menghadap realiti. Realiti yang saya sendiri tidak pernah sangka perlu saya depani setelah saya dewasa. Realiti yang suatu ketika dahulu, sangat asing bagi saya.

Lantas untuk apa saya lari? Menambahkan lelah bukan? Lebih baik saya berhenti berlari, mencari perhentian yang selamat untuk berehat, agar saya dapat mengumpul semangat dan kekuatan. Perjalanan saya di dunia ini masih terlalu jauh, kecuali saya dipertemukan dengan mati.

Perjalanan di akhirat pastinya lebih panjang.

Pesan saya pada diri; jangan lari. Hadapi realiti dengan berani. Selagi tidak bertemu mati.

Masih lelahkah saya? Kecewakah saya? Sedihkah?

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Al-Imran :139)


Mungkin saya masih belum berhenti berharap. Berharap pada-Nya. Satu-satunya tempat pergantungan yang abadi.

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Yusuf :12)


Tarik nafas dalam-dalam. Menghirup kopi? Tidak untuk kali ini. Kenapa? Entah.

Sebenarnya, sebelum saya bercinta dengan kopi, saya terlebih dahulu mengenali sepi. Sepi yang memperkenalkan saya pada kopi.

Selepas itu, kopi selalu menemani saya ketika saya bertemu sepi. Akhirnya, saya jatuh cinta pada kedua-duanya. Hanya mati yang dapat memisahkan kami.

Cinta saya pada kedua-duanya tidak berbelah bagi.

Kutip pengalaman sahaja. Kenangan itu buang jauh-jauh. Agak sukar.



Tidak perlu menunggu menjelangnya Hari Raya Korban untuk kita bercakap tentang pengorbanan. Itu kata saya kepada diri sendiri.

Mustahil dalam kehidupan seseorang, dia tidak pernah melakukan pengorbanan. Kecil atau besar. Tidak mungkin.

Bukankah hidup ini tidak boleh lari daripada membuat pilihan? kadang-kadang dalam membuat pilihan, kita harus mengorbankan salah satu daripadanya. Secara rela atau terpaksa.

Mengenepikan perasaan sendiri, mengambil berat perasaan orang lain.

Kenapa? Penting sangatkah menjaga perasaan orang lain?

Penting jika kita sangat faham bagaimana sakitnya rasa kecewa.

Ngilu. Pedih. Perit.

Salahkah kita berkorban untuk orang lain?

Apatah lagi orang yang pernah menabur budi kepada kita.

Sanggupkah kita membiarkan orang yang pernah berbudi pada kita menanggung sakit?

Salahkah? Atau mungkin soalan lain, perlukah?

Salah atau tidak, perlu atau tidak, kita akan lakukan pengorbanan itu jika kita rasa kita sangat terhutang budi padanya.

Pesan pada diri lagi; jangan termakan budi orang.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... "
(At-Taubah :111)


http://www.youtube.com/watch?v=l7GC2TQBrLg&feature=player_embedded