Showing posts with label Travelog Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Travelog Pengalaman. Show all posts

Thursday, 9 January 2014

Perkampungan Seni Lendu dan 'Rumah Waris Uwan'



Tiga hari dua malam berkampung di Perkampungan Seni Antarabangsa Lendu (Liac 2013) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, pastinya pelbagai pengalaman dan ilmu yang sempat saya kutip.

Selain dapat mendekati dan mengenali kelompok seniman dan karyawan baru dan lama, saya lebih memahami perjuangan mereka memartabatan seni warisan Melayu.


Saya juga dapat merasai betapa seni sedang merakyat di Kampung Lendu yang saya kira cukup bertuah kerana berada hampir dengan UiTM Melaka.


Satu kelebihan bagi Kampung Lendu kerana pensyarah-pensyarah dan pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) mempunyai kesungguhan untuk mengindahkan kampung tersebut dengan sentuhan seni mereka.


Namun apa yang paling berbekas di hati saya adalah mengenai hasrat pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail untuk mengekalkan seni dan warisan kampung tradisi di Kuala Lumpur.


Siti Zainon merupakan anak jati Kampung Bandar Dalam, Gombak, salah satu daripada tujuh buah kampung yang hanya menunggu masa untuk dilupuskan dan dibangunkan dengan bangunan-bangunan moden.


Beliau sejak dahulu lagi aktif berkolaborasi dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) menganjurkan acara seni budaya kampung.


Antara acara seni budaya yang pernah diadakan di Kampung Banda Dalam adalah pada 2010 sempena Dirgahayu 150 tahun Kampung tradisi di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam.


Acara tersebut berjaya menghasilkan antologi puisi oleh 56 orang penyair.


Pada acara itu juga, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said melancarkan buku 'Kasih Bonda, Kapung Paya Kami' karya Siti Zainon.


Selain Kampung Banda Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Puah Seberang, di Gombak juga akan dilupuskan untuk pembangunan.


Saya kira Liac 2013 ini menyuburkan lagi semangat beliau yang sedia tertanam untuk mempertahankan kampung tradisi.


Dalam perbualan santai beliau dengan pihak penganjur Liac 2013, beliau berulang kali menceritakan kisah Kampung Banda Dalam yang akan tergadai di tangan kapitalis dan betapa dalam hasratnya untuk mempertahankan kampungnya sebagai kampung tradisi.


Malah dalam ucaptamanya pada malam perasmian Liac 2013, beliau juga menyentuh mengenai hal itu dan berharap program sebegini dapat diadakan di Kampung Banda Dalam dan kampung tradisi lain di Kuala Lumpur. 


"Kampung Banda Dalam dan kampung-kampung sekitar di Gombak merupakan kampung tradisi yang mesti dipertahankan.


"Kalau bukan anak-anak kampung sendiri yang mempertahankan warisan dan tradisi Melayu, siapa lagi?


"Saya mengimpikan Kampung Banda Dalam dan sekitar Gombak menjadi seperti Lendu, yang masih terpelihara seni dan warisan kampungnya,"katanya.


Malah beliau sudah mengabadikan segala kisah dan warisan Kampung Banda Dalam ke dalam buku bertajuk Rumah Waris Uwan-Membaca Peta Kuala Lumpur 2020.


Buku tersebut diterbitkan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) pada awal tahun ini.


Membaca buku tersebut, saya kagum dengan segala usaha beliau menyimpan segala warisan tinggalan nenek moyangnya.


Antara petikan buku tersebut:


"Kampung Paya kemudian berganti dengan Kampung Bonda Dalam. 'Bonda' dialek Minang yang bererti tali air. Tatkala berlakunya banjir besar, 'bonda' atau tali air Sungai Gombak menjadi dalam, kemudian dengan sebutan baku, 'bonda' menjadi 'bandar' dan 'bandar' yang dalam itulah Kampung Banda Dalam,"


"Mengapa harus mengalah dan keluar dari penempatan dengan wang agihan, hingga kapung dibedah, diredah, lori traktor masuk bebas ke muka kampung, jalan penuh debu, lecah,"


Sambil memerhati peserta-peserta Liac 2013 bergotong-royong seni di Kampung Lendu, beliau berkata:


"Alangkah bagusnya kalau arca-arca ini ada di Kampung Banda Dalam. Alangkah bagusnya kalau semua anak kampung bersatu hati pulang mengindahkan kampung.


"1 Februari, Hari Wilayah, Kita buat pameran kampung tradisi. Yani kena tolong bonda dokumentasikan bahan-bahan. Cari kawan-kawan lain juga. Kalau bukan kita, siapa lagi nak pertahankan warisan Melayu?" ujarnya.


Saya mengangguk. Mungkin kerana patuh, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak mahu kampung tradisi hilang dalam peta Kuala Lumpur.


Monday, 21 January 2013

Dulu garam, sekarang gula-gula!

Pagi 12 Januari 2013, langit cerah. Saya menaiki LRT dari Stesen Titiwangsa dan turun di Stesen Masjid Jamek bagi membuat liputan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112).

Saya ditugaskan membuat liputan bermula di Pasar Seni, antara tempat berkumpul sebelum berjalan ke Stadium Merdeka.

Di Pasar Seni juga, saya lihat ramai muka-muka baru 'petugas media' memakai pas media yang dikeluarkan pihak PDRM.

Patutlah beriya-riya PDRM mengeluarkan pas media kali ini. Rupa-rupanya untuk kegunaan polis cawangan khas (SB).

Saya tiada selera memakai pas media PDRM, hanya mempamerkan pas media Jabatan Penerangan Malaysia yang merupakan pas rasmi sejak sekian lama.

Tepat jam 12.30 tengah hari, Kumpulan Wanita Ungu mula bergerak ke Stadium Merdeka dengan diiringi anggota Unit Amal. Tersusun dan berdisiplin sambil mengangkat sepanduk enam tuntutan mereka.

Di sepanjang kaki lima di luar stadium, peniaga sibuk berjualan. Penjual air kelihatan tersenyum lebar kerana jualan mereka sangat laris.

Jam 1.00 petang, saya sudah masuk ke dalam stadium. Teruja kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam stadium yang menjadi saksi laungan kemerdekaan negara.

Usai azan Zuhur berkumandang, masing-masing sibuk membuat persiapan untuk solat. Sekumpulan anak muda lelaki saling membantu mengambil wuduk kemudian membentangkan kain untuk solat di atas padang.

Orang bukan Islam pula diam memerhati dari tempat duduk.

Jam 2.30 petang, Stadium Merdeka betul-betul padat. Macam ikan sardin.

Dari tempat duduk atas, saya nampak warna kuning mendominasi stadium berbanding merah, oren, hijau dan ungu.

Jelas menunjukkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil merupakan ibu kepada segala tuntutan.

Di sebelah kanan saya, seorang wanita 30-an berbangsa Cina. Di sebelah kiri pula, dua orang muda juga berbangsa Cina, sibuk mengibarkan bendera mini PAS.

Kami berbalas senyum. Tanpa kata-kata, senyuman kami sudah cukup berbicara bahawa kami di situ atas tuntutan yang sama.

Di hadapan saya, satu keluarga Melayu. Ayah, ibu dan anak-anak remaja perempuan riang bergambar kenangan.

Ya, keadaan aman dan harmoni walaupun bingit dengan bunyi tiupan trompet. Sekurang-kurangnya bukan bunyi tembakan gas pemedih mata yang menyebabkan orang lari bertempiaran!

Tempat duduk makin padat dan dua orang lelaki Cina di sebelah saya memberikan ruang kepada
beberapa wanita berpurdah untuk duduk. Saya kagum dengan sikap hormat yang ditunjukkannya kepada wanita.

Saya mengeluarkan gula-gula dari beg, dan mempelawa wanita Cina di sebelah kanan saya. Dia tersenyum, mengambilnya dari tangan saya dan mengucapkan terima kasih.

Saya teringat pada Bersih 3.0, sekumpulan anak muda Cina menghulurkan garam kepada saya ketika kami sama-sama lari apabila polis melepaskan gas pemedih mata.

Kali ini, tiada garam tetapi hanya gula-gula.

Wakil-wakil NGO silih berganti menyampaikan tuntutan masing-masing diselangi tepukan dan sorakan peserta.

Dan lelaki Cina di sebelah saya, masih sibuk mengibarkan bendera mini PAS.



*Terbit dalam Harakah; Bil 1811. 9 - 12 Rabiulawal 1434 / 21 - 24 Januari 2013

Friday, 30 November 2012

Memerah pengalaman ranum di Parlimen

Kali pertama ditugaskan membuat liputan di parlimen, hati teruja bercampur bimbang. Teruja kerana diberi peluang melihat dan mendengar secara dekat proses membuat dasar dalam negara. Bimbang kerana berasa tidak cukup kepakaran untuk menulis berita parlimen.

Di peringkat awal, memang saya terkial-kial mengutip ilmu di parlimen. Mahu memahami segala proses membuat dasar yang berjalan penuh tatatertib itu, perlu menghadam segala isi kandungan perbahasan termasuk membiasakan diri dengan terma-terma yang selalu digunakan. Rang Undang-undang, usul tergempar, usul ditolak dalam kamar, sesi soal jawab lisan, perbahasan di peringkat dasar, perbahasan di peringkat jawatankuasa, undi belah bahagi, dan segala macam lagi. Apa yang dipelajari dalam subjek Pengajian Am dahulu hanya secara umum.

Bertugas di parlimen memerlukan saya berada dalam keadaan sentiasa bersiap sedia kerana sebarang kemungkinan boleh sahaja terjadi. Tidak hairan jika pada awalnya sesi perbahasan berlangsung tenang bertukar menjadi kecoh kerana sesuatu isu yang dibangkitkan.

Tidak hairan juga jika di dalam dewan, Ahli Parlimen BN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lantang bertikam lidah menegakkan hujah masing-masing, tetapi boleh bersalaman dan berpelukan mesra di luar sidang.

Melihat mereka duduk berbual sambil minum bersama di kafeteria juga merupakan pemandangan biasa. Mungkin inilah yang dikatakan politik nilai. Berbeza pendirian dalam sesuatu isu tetapi tidak menjejaskan hubungan sebagai kawan.

Di Parlimen, tugasan saya pelbagai. Bukan hanya membuat liputan mengenai isu-isu yang dibangkitkan dalam dewan namun turut menjalar ke berita-berita lain. Pada musim persidanganlah banyak pihak menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen berhubung sesuatu tuntutan.

Pendek kata, saya bukan hanya bertemu dengan ahli parlimen malah dengan banyak pihak. Wakil petani, orang asal, keluarga tahanan ISA, mangsa tembakan rambang polis, persatuan pelajar dan lain-lain kelompok yang hadir ke parlimen. Demonstrasi di hadapan bangunan parlimen juga bukan perkara asing.

Bertugas di parlimen juga menjadikan kenalan saya ramai kenalan di kalangan rakan-rakan media. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan, kami sudah seperti keluarga besar. Keluarga besar ini semakin menyerlah keakrabannya apabila persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipindahkan ke bangunan baru buat sementara waktu kerana bangunan utama dibaik pulih pada awal tahun ini.

Ruang untuk media terhad dan kami terpaksa bersesak-sesak ketika bertugas. Kerusi dan meja tidak mencukupi, jadi lantai menjadi pilihan. Bayangkan si lelaki segak berkemeja dan berkot, terpaksa bersila di atas lantai. Si perempuan yang ayu berbaju kurung, berkebaya, berskirt, terpaksa bersimpuh sopan di atas lantai. Lucu namun pastinya menimbulkan tekanan kerana terpaksa menulis berita dalam keadaan tidak selesa.

Situasi bersila dan bersimpuh di atas lantai ini berakhir apabila Jawatankuasa Bertindak Sementara Petugas Media yang ditubuhkan membuat aduan dan menyerahkan memorandum menuntut ruang kerja yang lebih selesa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen.

Maka, bermulanya persidangan Dewan Rakyat sesi September, ruang kerja bertambah selesa dengan meja dan kerusi yang mencukupi. Apa pun keadaannya, tugas membuat liputan parlimen lebih dua tahun ini merupakan pengalaman semahal permata.

Ditegur ahli parlimen kerana kesilapan berita yang ditulis. Juga dikritik kerana berita lambat disiar, dicari apabila kelibat tidak kelihatan di sidang media menjadikan pengalaman saya dalam bidang ini semakin ranum.

Tuesday, 13 November 2012

Terima kasih dari seorang Achik


"Teluk Intan? Ada apa?" soalan sama dari orang berbeza apabila saya memberitahu, saya ingin ke Teluk Intan.

"Ada Menara Condong. Saja mahu jalan-jalan," jawab saya berbasa-basi. Sejujurnya, memang saya belum pernah sampai di Teluk Intan dan saya memang teringin naik Menara Condong!

Ya, Teluk Intan. Bagi kebanyakan orang, biasa sahaja, tiada apa yang benar-benar menarik. Tidak seperti Melaka Bandaraya Bersejarah yang penuh dengan tinggalan sejarah, bukan seperti Pulau Tioman yang terkenal dengan keindahan pantai dan dasar laut, bukan juga seperti Cameron Highland yang kehijauan ladang tehnya menjadi sebutan.

Cuma Teluk Intan. Biasa, tapi saya berjaya menjadikannya percutian yang luar biasa, sekurang-kurangnya bagi diri saya sendiri. Ya, bagi diri saya. Luar biasa itu tidak sama bagi setiap orang. Gembira itu berbeza bagi setiap manusia. Bahagia itu subjektif sifatnya.

"...bahagia kita rasa, biar tak dipercaya, peduli orang kata..." bak kata Fyn Jamal dalam 150 juta.

Selepas tertangguh beberapa lama, akhirnya sampai juga hajat saya ke Teluk Intan hujung minggu lalu. Menggunakan kenderaan awam sahaja. Malas memandu jarak jauh dan memang mahu Cinta Putih saya berehat. Angan-angan hendak naik kereta api tidak kesampaian kerana tiket siang sudah habis. Tinggal tiket jam 9.30 malam. Silap saya juga, tidak membeli tiket awal-awal. Hujung minggu, logiklah tiket habis. Tambahan pula, cuti sekolah baru bermula.

Malas menunggu, saya memilih untuk menaiki bas ekspress sahaja. Dari Kuala Lumpur Sentral, menaiki tren ke Pudu Sentral. Sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Pudu Sentral (saya lebih senang dengan nama asalnya, Pudu Raya).

Selepas dinaik taraf, itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana. Tidak hairanlah kerana tiada tujuan saya ke sana. Sewaktu belajar dahulu, pernah juga beberapa kali menaiki bas ekspres ke Utara.

Bolehlah dikatakan selesa jika terpaksa berada di situ dalam tempoh masa yang lama. Lebih-lebih lagi dengan adanya Kedai Buku 1Malaysia dan Marrybrown. Lengkaplah keperluan sementara menunggu ketibaan bas.

Kisah mendapatkan tiket bas pun tidak kurang mencabar. Kebanyakan tiket bas ke Teluk Intan untuk hari tersebut sudah habis. Tiket ke Ipoh masih banyak. Mengikut kata teman, Ipoh ke Teluk Intan agak jauh. Padan muka saya sekali lagi. Tidak berputus asa mencari ke kaunter demi kaunter, akhirnya ada tiket ke Teluk Intan di kaunter Etika Ekspress. Tapi basnya ialah Arwana Ekspress dan perjalanan jam 5.30 petang. Melihat jam di tangan, jam 2.30 petang. Bolehlah, tidaklah terlalu lama menunggu dan saya tidak perlu risau kerana bekalan buku dalam beg mencukupi. Alhamdulillah.

Selesai Solat Qasar dengan Jamak Takdim di surau, saya masuk ke kedai buku yang seakan-akan melambai-lambai. Lama juga membelek-belek buku di situ. Semuanya nampak menarik dan seolah-olah mengenyit mata menggoda, minta dibawa pulang.

Mata melekat pada sebuah novel berkulit merah, Naqiah Khalida, karya Diya Nordin. Saya tersenyum sendiri. Diya, baru beberapa bulan menjadi kawan saya. Namun, hati ditahan daripada terus membeli kerana beberapa faktor. Salah satunya, novel itu tebal dan akan menambahkan berat beg sandang saya yang sudah berisi beberapa buah buku. Lalu, akal memutuskan untuk membelinya selepas pulang dari Teluk Intan sahaja.

Kemusafiran bermula

Lebih empat jam berada dalam bas dan menempuh perjalanan dalam keadaan hujan sepanjang jalan, saya tiba di terminal bas Teluk Intan jam 9 malam. Tidak lama menunggu, saudara sesama Islam, abang dan kakak datang menjemput. Gembira bertemu mereka! Selepas lebih setahun tidak bertemu.

Jam 10 malam di Teluk Intan seperti jam 2 pagi di Kuala Lumpur. Sunyi. Kedai-kedai pun sudah banyak yang tutup. Rasanya bandar Kuala Terengganu lebih meriah. Makan malam bersama abang dan kakak sambil bertukar-tukar cerita.

Lama tidak bertemu, macam-macam cerita keluar. Sewaktu mereka masih tinggal di Shah Alam, pernah sekali berkunjung ke rumah mereka. Selepas itu pernah sekali lagi bertemu dan kemudian hanya alam maya menjadi penghubung selepas mereka berpindah ke Teluk Intan. Kedua-duanya guru. Seronok mendengar mereka bercerita tentang alam persekolahan. Bebanan tugas, kenakalan pelajar, karenah birokrasi.

Selepas makan, saya dibawa ke pasar malam, berhadapan Menara Teluk Intan. Hati teruja tidak terkira. Tapi malam menara tutup, jadi kena tunggu siang untuk naik ke atas. Tidak sabar...

Rumah abang dan kakak merupakan rumah lama peninggalan atuk abang. Rumah tradisional yang unik. Ada nilai estetika. Err...rumah lama, banyak barang antik. Kakak menyediakan bilik di ruang atas untuk saya. Kakak yang seperti tahu apa yang bermain di minda terus berkata, "malam ini akak tidur dengan Achik. Jangan risau, kami dah faham sangat dah...," saya ketawa, kakak pun ketawa.

Tapi entah kenapa, malam itu saya seperti tidak boleh tidur. Sekejap-sekejap saya terjaga. Saya bukan jenis manusia yang susah tidur di tempat baru seperti sesetengah orang. Biasanya, dapat bantal tanpa tilam pun, saya boleh lelap hingga ke pagi. Tapi tidak di rumah itu. Mungkin teruja menunggu matahari muncul dan menyapa.

Selepas solat Subuh, saya bermalas-malasan di atas katil. Oh, anak dara. Kakak buka semua tingkap, dan saya boleh nampak gereja dari tingkap di sisi katil. Mana tidaknya, rumah abang dan kakak terletak bertentangan dengan gereja. Jaraknya lebih kurang 200 meter. Saya lupa nama gereja itu. Saya boleh dengar dengan jelas 'tazkirah pagi' dan koir mereka terus dari gereja. Kalau Presiden Jati ada, mesti beliau suruh kakak dan abang pindah. Takut akidah rosak lalu murtad!

Keluar sarapan dan saya menemani kakak ke Sekolah Menengah Convent Teluk Intan. Ada kerja key in data pelajar yang belum selesai katanya. Sempatlah mendengar beberapa guru bercerita perihal pelajar masing-masing. Pelbagai ragam.

SMK Convent terletak berhadapan Sekolah SMK St. Anthony Teluk Intan, sekolah abang mengajar. Semuanya pelajar lelaki. Kata kakak, SMK Convent majoriti pelajarnya pandai manakala SMK St. Anthony, pelajarnya banyak yang bermasalah.

Cerita kakak lagi, budak-budak perempuan SMK Convent selalu berkata, "apa klas kami nak couple dngan budak St. Anthony, cikgu,"

Jalan-jalan di bandar Teluk Intan, memang di sini banyak gereja dan bangunannya masih bangunan lama. Saya suka walaupun sekali pandang nampak menyeramkan. Atau mungkin masalah saya, cepat jatuh cinta dengan tempat baru.

Tengah hari, selepas mengisi perut dengan 'nasi lambai' di kedai mamak yang terkenal di Teluk Intan, barulah berpeluang menaiki menara condong. Menaranya ada lima tingkat tapi boleh naik hingga ke tingkat tiga sahaja. Bolehlah nampak pemandangan sebahagian daripada bandar teluk Intan. Rumah abang dan kakak pun boleh nampak dari atas menara. 


Petang, hujan lebat dan kami bersantai sambil menikmati kopi di Georgetown White Coffee. Kebetulan, kakak pun coffee lover. Bezanya, dia suka kopi ais, saya lebih suka kopi panas. Nikmatnya...Subhanallah...

Terima kasih dari seorang Achik

Percutian saya nampak biasa sahaja, bukan? Namun tetap berbekas di hati. Tetap berjaya membuatkan saya lupa seketika urusan saya di Kuala Lumpur. Selain tertunai hajat untuk melawat Menara Condong, bukanlah tempat percutian sangat yang saya utamakan.


Tapi lebih dari itu, memelihara dan mengekalkan silatulrahim yang terbina. Ya, abang dan kakak bukan darah daging saya tapi tetap saudara saya sesama Islam, keturunan Adam dan Hawa.

Saya mengenali abang sebagai seorang abang, dan dia mengenali saya sebagai seorang Achik (nama timangan saya dalam keluarga). Kemudian dia berkahwin dengan kakak, dan kakak pun menerima dan mengenali saya sebagai seorang Achik.

Selepas pertemuan di Teluk Intan itu, yang dihiasi senda gurau dan gelak tawa, saya yakin mereka masih menganggap saya sebagai seorang Achik, seperti beberapa tahun dahulu. Dan saya, sebagai seorang Achik, tetap menganggap mereka sebagai abang dan kakak yang perlu dihormati.

Jarang bertemu, tapi saya tidak kekok, bukti silatulrahim ini bukan dibuat-buat, tapi bersahaja, jujur dan ikhlas dari hati.

Dan saya, masih selesa membahasakan diri saya sebagai 'orang' apabila bercakap dengan mereka, seperti dengan ahli keluarga sendiri.

Kepada abang dan kakak, terima kasih kerana menerima dan terus melayan saya sebagai seorang Achik. Tanpa syak wasangka. Tiada curiga. Saya sangat menghargai persaudaraan ini.

Seperti kata Sasterawan Negara, Usman Awang; "bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa".