Monday 30 July 2012

Lorong gelap, Jalan TAR, saya dan mereka

Kadang-kadang kita terlalu memikirkan tentang diri sendiri, keluarga dan orang-orang terdekat sehingga kita tidak cakna manusia lain di sekeliling. Anggapan kita, mereka tidak ada pertalian darah dengan kita. Jadi untuk apa kita peduli?

"Sumbangan cik," tiba-tiba saya didatangi seorang wanita lewat 40-an ketika saya berjalan seorang diri mencari keperluan hari raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, beberapa hari yang lalu.

Sengaja saya tidak keluar pada Sabtu atau Ahad dan memilih minggu pertama puasa untuk mengelakkan bersesak-sesak dengan orang ramai.

Tambahan pula, saya tidak mahu menangguhkan urusan dan menunggu saat-saat akhir. Apa yang akan terjadi akan datang, saya tidak tahu. Mungkin saya terpaksa pulang awal ke kampung, atau tiba-tiba terpaksa outstation, siapa tahu. Sekurang-kurangnya selepas selesai urusan peribadi, legalah sedikit jika ada situasi kecemasan.

Selepas berhadapan dengan beberapa situasi cemas dalam hidup saya, saya berubah menjadi manusia yang tidak suka menangguhkan kerja.

Saya berpaling ke arah suara itu. Sangka saya itu situasi biasa. Ya, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, ketika orang sibuk membeli-belah, datang individu yang meminta sumbangan atas nama individu atau rumah-rumah kebajikan. Biasa bukan?

"Untuk Rumah Solehah, rumah kanak-kanak HIV," sambung wanita yang berbaju kurung dan bertudung merah samar serta bercermin mata itu.

Rumah Solehah, ulang saya dalam hati. Mata saya lantas terpandang pamplet di tangannya bertulis Rumah Solehah yang difotokopi hitam putih.

Pantas saya teringat Rumah Solehah, tempat yang pernah saya lawati pada tahun 2006. Ketika itu saya menjalani magang (praktikal) di World Assembly of Muslim Youth, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) selama satu semester.

"Rumah Solehah di Cheras?" Soal saya untuk mendapatkan kepastian.

"Ya, ya. Di Cheras. Kamu tahu?" Soalnya. Saya mengangguk-anggukkan kepala.

"Mak Wan masih ada di situ? Soal saya lagi sambil ingatan saya melayang mengingati wajah Mak Wan, penjaga Rumah Solehah.

"Ada lagi. Tapi dia sekarang sudah tak berapa sihat, sakit-sakit lutut," ujarnya. Saya terdiam dan minda masih mengimbau kenangan melawat Rumah Solehah.

Ketika itu, Rumah Solehah dihuni lebih kurang 10 hingga 15 orang kanak-kanak HIV. Ada anak yang terbuang, tidak diketahui siapa ibu bapa mereka, dan ada yang dihantar sendiri oleh ibu bapa yang menghidap AIDS.

Saya kagum dengan Mak Wan di atas inisiatifnya menjadikan rumahnya sebagai tempat perlindungan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Namun dalam hati, tetap terselit rasa ragu-ragu. Mungkin wanita itu berbohong? Menggunakan nama Rumah Solehah untuk kepentingan peribadi?

Tapi saya abaikan perasaan itu. Saya fikir, kalau dia menipu, itu urusan dia dengan Allah. Yang penting, saya pernah tahu tentang Rumah Solehah.

Dan akhir-akhir ini, saya sering terkenangkan aktiviti-aktiviti yang pernah saya lakukan suatu waktu dahulu. Melawat rumah-rumah perlindungan, mendekati gelandangan khususnya kanak-kanak. Ya, saya rindu.

"Kamu guru?" soalnya. Saya menggeleng-gelengkan kepala.

"Saya pernah melawat Rumah Solehah tahun 2006. Masa itu, Mak Wan masih sihat," jelas saya. Entah perlu atau tidak.

"Oh, kamu kenal Fadli, (dan beberapa nama lain yang dia sebutkan, saya tidak ingat),"

"Masa saya pergi mereka masih kecil," ujar saya.

Saya melihat tag namanya namun tidak perasan atas organisasi apa.

"Auntie Khadijah?" saya meminta kepastian.

"Ya, saya masih belajar di Perkim. Alhamdulillah, sekarang saya sudah pandai solat, puasa dan ibadat-ibadat lain," jelasnya.

"Oh, Alhamdulillah," balas saya. Benarlah sangkaan saya, dia seorang mualaf.

Saya lantas menghulurkan sedikit sumbangan. Saya kata dalam hati, saya halalkan sekalipun dia menipu kerana saya pasti, ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan pada saya.

Mungkin Allah mahu mengingatkan saya tentang tanggungjawab saya terhadap golongan ini. Kerana saya pernah menyatakan hasrat kepada seorang teman bahawa saya punya impian untuk membuka rumah anak yatim atau kanak-kanak yang tidak ada keluarga.

Apa gunanya memasang impian tapi tindakan tidak menjurus ke arah itu?

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidka kamu kerjakan"
 (As-Saff : 2-3)

Saya terkesan dengan pertemuan itu. Kebetulan malam sebelumnya, saya tertonton laporan khas "Anak Lorong" di Buletin Utama TV3 yang mengisahkan anak-anak pekerja seks dan gelandangan di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

Laporan memaparkan seorang kanak-kanak perempuan, mungkin tiga atau empat tahun, terpaksa hidup dalam suasana yang langsung tidak kondusif. Secara kasarnya kotor, busuk, sempit.

Ikutkan hati, saya tidak mampu untuk terus menonton tapi saya kuatkan hati. Dan seperti selalu, air mata saya menitik. Anak kecil itu tidak berdosa, bisik hati saya.

Lorong Haji Taib, Jalan Raja Laut. Saya malu terhadap diri sendiri. Boleh dikatakan hampir setiap minggu saya ke kawasan berkenaan atas urusan kerja. Kadang-kadang apabila meletakkan kenderaan di lorong tersebut, saya terpandang kanak-kanak bermain-main, merayau-rayau. Kadang-kadang ada yang berpakaian sekolah, kadang-kadang ada yang berpakaian comot. Hati saya sayu. Saya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menghadiahkan senyuman untuk mereka. Entah mereka perlukan senyuman saya atau tidak, saya tidak pasti.

Setiap kali itu jugalah, terdetik di hati saya; di mana saya? Apa yang saya lakukan untuk mengeluarkan mereka dari dunia gelap itu?
 
Kisah itu menemani saya sehingga ke waktu tidur saya. Berlegar-legar di layar fikir saya. Dan keesokan harinya, saya dipertemukan dengan Mak Cik Khadijah yang mengingatkan saya kepada Rumah Solehah.

Ya Allah, maafkan saya. Saya leka. Saya takut. Apa yang harus saya jawab bila Allah tanya apa usaha saya untuk membantu mereka? Di mana saya?

1 comment:

  1. Oh! pernah bertemu dia.
    Dia sangka saya seorang cikgu :)

    ReplyDelete