Friday 30 November 2012

Memerah pengalaman ranum di Parlimen

Kali pertama ditugaskan membuat liputan di parlimen, hati teruja bercampur bimbang. Teruja kerana diberi peluang melihat dan mendengar secara dekat proses membuat dasar dalam negara. Bimbang kerana berasa tidak cukup kepakaran untuk menulis berita parlimen.

Di peringkat awal, memang saya terkial-kial mengutip ilmu di parlimen. Mahu memahami segala proses membuat dasar yang berjalan penuh tatatertib itu, perlu menghadam segala isi kandungan perbahasan termasuk membiasakan diri dengan terma-terma yang selalu digunakan. Rang Undang-undang, usul tergempar, usul ditolak dalam kamar, sesi soal jawab lisan, perbahasan di peringkat dasar, perbahasan di peringkat jawatankuasa, undi belah bahagi, dan segala macam lagi. Apa yang dipelajari dalam subjek Pengajian Am dahulu hanya secara umum.

Bertugas di parlimen memerlukan saya berada dalam keadaan sentiasa bersiap sedia kerana sebarang kemungkinan boleh sahaja terjadi. Tidak hairan jika pada awalnya sesi perbahasan berlangsung tenang bertukar menjadi kecoh kerana sesuatu isu yang dibangkitkan.

Tidak hairan juga jika di dalam dewan, Ahli Parlimen BN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lantang bertikam lidah menegakkan hujah masing-masing, tetapi boleh bersalaman dan berpelukan mesra di luar sidang.

Melihat mereka duduk berbual sambil minum bersama di kafeteria juga merupakan pemandangan biasa. Mungkin inilah yang dikatakan politik nilai. Berbeza pendirian dalam sesuatu isu tetapi tidak menjejaskan hubungan sebagai kawan.

Di Parlimen, tugasan saya pelbagai. Bukan hanya membuat liputan mengenai isu-isu yang dibangkitkan dalam dewan namun turut menjalar ke berita-berita lain. Pada musim persidanganlah banyak pihak menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen berhubung sesuatu tuntutan.

Pendek kata, saya bukan hanya bertemu dengan ahli parlimen malah dengan banyak pihak. Wakil petani, orang asal, keluarga tahanan ISA, mangsa tembakan rambang polis, persatuan pelajar dan lain-lain kelompok yang hadir ke parlimen. Demonstrasi di hadapan bangunan parlimen juga bukan perkara asing.

Bertugas di parlimen juga menjadikan kenalan saya ramai kenalan di kalangan rakan-rakan media. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan, kami sudah seperti keluarga besar. Keluarga besar ini semakin menyerlah keakrabannya apabila persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipindahkan ke bangunan baru buat sementara waktu kerana bangunan utama dibaik pulih pada awal tahun ini.

Ruang untuk media terhad dan kami terpaksa bersesak-sesak ketika bertugas. Kerusi dan meja tidak mencukupi, jadi lantai menjadi pilihan. Bayangkan si lelaki segak berkemeja dan berkot, terpaksa bersila di atas lantai. Si perempuan yang ayu berbaju kurung, berkebaya, berskirt, terpaksa bersimpuh sopan di atas lantai. Lucu namun pastinya menimbulkan tekanan kerana terpaksa menulis berita dalam keadaan tidak selesa.

Situasi bersila dan bersimpuh di atas lantai ini berakhir apabila Jawatankuasa Bertindak Sementara Petugas Media yang ditubuhkan membuat aduan dan menyerahkan memorandum menuntut ruang kerja yang lebih selesa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen.

Maka, bermulanya persidangan Dewan Rakyat sesi September, ruang kerja bertambah selesa dengan meja dan kerusi yang mencukupi. Apa pun keadaannya, tugas membuat liputan parlimen lebih dua tahun ini merupakan pengalaman semahal permata.

Ditegur ahli parlimen kerana kesilapan berita yang ditulis. Juga dikritik kerana berita lambat disiar, dicari apabila kelibat tidak kelihatan di sidang media menjadikan pengalaman saya dalam bidang ini semakin ranum.

No comments:

Post a Comment