Wednesday, 4 April 2012

Rokok: Antara nikmat dan hak

"Eleh, benci sangat lelaki merokok. Nanti dapat laki merokok baru padan muka awak," kata seorang rakan sepejabat kepada saya tiga tahun lalu.

Sehingga sekarang masih terngiang-ngiang kata-kata itu di telinga saya dan saya masih ingat waktu bila kata-kata itu dituturkannya. 

Ya, sewaktu makan tengahari. Kebetulan makan semeja di kedai bawah pejabat. Bagi sebahagian besar lelaki, merokok semacam satu kemestian selepas makan.

Waktu itu, saya masih baru dalam dunia kerjaya selepas menamatkan pengajian di kampus. Di kampus, saya hampir tiada kawan lelaki merokok, atau mungkin mereka tidak merokok di hadapan saya, atau mungkin saya tidak pernah duduk semeja dengan mereka.

Rakan saya ini, mencucuh putung rokok dengan api, kemudian asap berkepul ke udara, kena ke muka saya. Secara spontan saya mengibas-ngibas dengan tangan, tanda tidak senang. Ketika itulah kata-kata itu ditujukan kepada saya. Sejujurnya, saya amat terkesan dengan kata-kata itu. Amat bimbang Allah uji saya dengan apa yang saya tidak suka.

"Betullah...aku tunjuk tak suka sangat dengan lelaki merokok, sekali aku kahwin dengan perokok. Oh, tidak," hati kecil saya bersuara.

Selepas itu, saya sembunyikan sedikit rasa tidak senang saya terhadap lelaki merokok jika terpaksa berhadapan dengan mereka, atau awal-awal lagi mengelak daripada berada berdekatan dengan mereka.

Gara-gara takut dapat suami merokok!

Tapi sejak bekerja, saya tidak dapat lari daripada berhadapan dengan perokok-perokok tegar. Bukan bermakna saya selalu duduk makan dan bersembang dengan mereka.

Jika tidak berhadapan dengan rakan-rakan lelaki yang merokok pun, saya selalu terdedah dengan asap rokok, atau sekurang-kurangnya bau asap rokok yang dibawa mereka. Rimas!

Di kalangan rakan-rakan sekerja, majoriti lelaki menghisap rokok. 

Ya, saya akui, alah biasa tegal biasa. Saya sudah biasa dengan bau asap rokok tapi bukan bermakna saya suka!

Waktu menunggu sesuatu program bermula, saya dikelilingi rakan-rakan yang merokok. Walaupun tidak duduk berdekatan mereka, tapi baunya tetap menusuk ke hidung. Tapi saya masih berlapang dada.

Kadang-kadang bertugas di sesuatu majlis ceramah (khususnya di tempat terbuka),jika tidak di kiri ada orang merokok, di kanan pasti ada. Jika tidak di belakang, di hadapan pasti ada.

Saya sedikit kecewa. Ya, saya boleh memahami perasaan mereka. Saya boleh menyelami bagaimana "terseksanya" mereka jika tidak bertemu rokok (mungkin lebih teruk daripada saya yang tidak keruan jika tidak menghirup kopi setiap pagi).

Tapi, kenapa sebelah pihak sahaja yang perlu memahami pihak lain?

Tidak bolehkah mereka turut menghormati orang yang tidak merokok? Jika sudah tahu di meja sama ada perempuan yang tidak merokok, haruskah mereka terus merokok, membiarkan orang lain turut sama menghidu asap rokok?

Meskipun tidak disuarakan, tidak bolehkah mereka memahami perasaan saya,malah saya yakin, perasan kami.

Ada rakan berpandangan, jadilah diri sendiri. Maksudnya, jika dia memang seorang perokok, ke mana-mana pun, di hadapan sesiapa pun, dia akan merokok. Katanya tidak mahu berlakon baik dengan tidak merokok di hadapan orang yang tidak merokok. Betulkah begitu?

Merokok hak mereka, tapi menghirup udara bersih tanpa asap rokok adalah hak saya! Hak kami!



2 comments:

  1. Setuju! Tambahan pula semenjak berbadan dua ini menajdi begitu sesak nafas apabila terhidu bau rokok, sebelum masuk pejabat harus saya melalui pintu yang berdekatan dengan tangga maksudnya seawal pagi itu hidangan saya adalah bau rokok dan asap rokok!Alangkah tersiksanya saya, dan alangkah indahnya hak yang satu ini dikembalikan kepada saya, bayi dalam kandungan ini dan KAMI!!

    ReplyDelete