Saturday, 2 November 2013

Kami

Segelas teh o panas dan segelas nescafe panas menemani perbualan panjang kami malam itu. Teh o pilihan dia, nescafe pilihan saya.

Awal pertemuan, saya membelek-belek kertas kerja berkisar sejarah Melayu milik dia. Tidak tahu bagaimana mahu memanaskan suasana.

Dia perlahan-lahan mencipta suasana santai dengan bertanya saya itu ini, seputar hal pekerjaan dan rutin harian saya. Saya menjawab seadanya, tidak terlalu berahsia, tidak juga terlalu beriya-iya.

Kemudian dia mula bercerita itu ini, dan saya seperti biasa,lebih banyak diam dan mendengar, sambil menganguk-anggukkan kepala tanda saya memberi perhatian kepada percakapannya. Sesekali saya membuka mulut apabila tidak faham dan tidak bersetuju dengan kata-katanya.

Kemudian, perbualan menjadi lebih rancak selepas saya bertemu tempo pertemuan kami.

Dia banyak berkongsi pengalaman susah senang hidupnya, berkongsi asam garam hidup yang amat berguna untuk saya yang masih bertatih, masih mencari kehidupan. Sedikit demi sedikit, saya menyimpan rasa kagum.

Perlahan-lahan dia menyuntik motivasi untuk saya terus mengasah minat dan kebolehan saya. Ya, mungkin saya sudah boleh menganggap dia sebagai sifu.

Beberapa patah kata-katanya kadang-kadang hampir sama dengan sahabat saya sebelum ini, yang sudah saya anggap sebagai sifu.

Kadang-kadang dialog kami hampir sama dengan dialog saya dan sifu saya sebelum ini. Sekali pun sahabat dan sifu saya itu tidak lagi menganggap saya sebagai sahabatnya, saya masih menganggapnya sebagai sahabat dan sifu yang saya hormati.

Hujan lebat tiba-tiba menemani kami.

Gelas teh o dia sudah kosong, sedangkan nescafe saya masih ada separuh gelas. Entah kenapa, rasa kelat, pahit bercampur manis nescafe yang menjadi kegilaan saya tidak berjaya mencuri hati saya malam itu.

Dia memesan segelas teh tarik pula.

Banyak perkara berlegar-legar dalam fikiran, banyak persoalan bermain di minda dan banyak jawapan untuk pertanyaannya terbuku dalam hati.

Saya bendul, lurus katanya. Ya, saya tahu. Oleh sebab itu saya sering menjadi mangsa ketidakjujuran manusia lain.

Sebab itu jugalah, saya menyimpan sangka buruk terhadapnya dan juga orang lain yang baru dikenali. Mungkin, tiada lagi insan yang boleh dipercayai. Semuanya ada kepentingan diri.

Banyak kali dia menebak fikiran saya. Cuba menembusi hati saya. Saya banyak menyimpan derita, putusnya.

Banyak perkara yang membengkak dalam hati saya, katanya. Lepaskan, pintanya.

Saya mengelipkan mata lebih kerap. Cuba menahan air mata daripada tumpah. Keterlaluan kalau saya katakan saya berjanji. Tetapi saya berazam tidak akan mengalirkan air mata di hadapan orang lain. Cukuplah saya seorang yang tahu. Cukuplah Cinta Putih yang saya bawa ke hulu ke hilir menjadi saksi.

Beberapa ulasannya tentang saya, ada benarnya, hampir tepat. Apabila dia meminta kepastian, saya hanya tersenyum. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak. Dia orang penuh ilmu di dada, pasti dia tahu.

Akhir pertemuan dia berpesan, jangan sia-siakan kebolehan yang ada. Bertindaklah. Cari ruang dan peluang.

Kata saya, saya mahu berhijrah keluar dari Kuala Lumpur. Saya mahu buka lembaran baru.

Jangan, tegasnya. Binalah cita-cita di sini dahulu, sarannya.

Katanya, saya tidak berseorangan.



No comments:

Post a Comment