"Ada Menara Condong. Saja mahu jalan-jalan," jawab saya berbasa-basi. Sejujurnya, memang saya belum pernah sampai di Teluk Intan dan saya memang teringin naik Menara Condong!
Ya, Teluk Intan. Bagi kebanyakan orang, biasa sahaja, tiada apa yang benar-benar menarik. Tidak seperti Melaka Bandaraya Bersejarah yang penuh dengan tinggalan sejarah, bukan seperti Pulau Tioman yang terkenal dengan keindahan pantai dan dasar laut, bukan juga seperti Cameron Highland yang kehijauan ladang tehnya menjadi sebutan.
Cuma Teluk Intan. Biasa, tapi saya berjaya menjadikannya percutian yang luar biasa, sekurang-kurangnya bagi diri saya sendiri. Ya, bagi diri saya. Luar biasa itu tidak sama bagi setiap orang. Gembira itu berbeza bagi setiap manusia. Bahagia itu subjektif sifatnya.
"...bahagia kita rasa, biar tak dipercaya, peduli orang kata..." bak kata Fyn Jamal dalam 150 juta.
Selepas tertangguh beberapa lama, akhirnya sampai juga hajat saya ke Teluk Intan hujung minggu lalu. Menggunakan kenderaan awam sahaja. Malas memandu jarak jauh dan memang mahu Cinta Putih saya berehat. Angan-angan hendak naik kereta api tidak kesampaian kerana tiket siang sudah habis. Tinggal tiket jam 9.30 malam. Silap saya juga, tidak membeli tiket awal-awal. Hujung minggu, logiklah tiket habis. Tambahan pula, cuti sekolah baru bermula.
Malas menunggu, saya memilih untuk menaiki bas ekspress sahaja. Dari Kuala Lumpur Sentral, menaiki tren ke Pudu Sentral. Sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Pudu Sentral (saya lebih senang dengan nama asalnya, Pudu Raya).
Selepas dinaik taraf, itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana. Tidak hairanlah kerana tiada tujuan saya ke sana. Sewaktu belajar dahulu, pernah juga beberapa kali menaiki bas ekspres ke Utara.
Bolehlah dikatakan selesa jika terpaksa berada di situ dalam tempoh masa yang lama. Lebih-lebih lagi dengan adanya Kedai Buku 1Malaysia dan Marrybrown. Lengkaplah keperluan sementara menunggu ketibaan bas.
Kisah mendapatkan tiket bas pun tidak kurang mencabar. Kebanyakan tiket bas ke Teluk Intan untuk hari tersebut sudah habis. Tiket ke Ipoh masih banyak. Mengikut kata teman, Ipoh ke Teluk Intan agak jauh. Padan muka saya sekali lagi. Tidak berputus asa mencari ke kaunter demi kaunter, akhirnya ada tiket ke Teluk Intan di kaunter Etika Ekspress. Tapi basnya ialah Arwana Ekspress dan perjalanan jam 5.30 petang. Melihat jam di tangan, jam 2.30 petang. Bolehlah, tidaklah terlalu lama menunggu dan saya tidak perlu risau kerana bekalan buku dalam beg mencukupi. Alhamdulillah.
Selesai Solat Qasar dengan Jamak Takdim di surau, saya masuk ke kedai buku yang seakan-akan melambai-lambai. Lama juga membelek-belek buku di situ. Semuanya nampak menarik dan seolah-olah mengenyit mata menggoda, minta dibawa pulang.
Mata melekat pada sebuah novel berkulit merah, Naqiah Khalida, karya Diya Nordin. Saya tersenyum sendiri. Diya, baru beberapa bulan menjadi kawan saya. Namun, hati ditahan daripada terus membeli kerana beberapa faktor. Salah satunya, novel itu tebal dan akan menambahkan berat beg sandang saya yang sudah berisi beberapa buah buku. Lalu, akal memutuskan untuk membelinya selepas pulang dari Teluk Intan sahaja.
Kemusafiran bermula
Lebih empat jam berada dalam bas dan menempuh perjalanan dalam keadaan hujan sepanjang jalan, saya tiba di terminal bas Teluk Intan jam 9 malam. Tidak lama menunggu, saudara sesama Islam, abang dan kakak datang menjemput. Gembira bertemu mereka! Selepas lebih setahun tidak bertemu.
Jam 10 malam di Teluk Intan seperti jam 2 pagi di Kuala Lumpur. Sunyi. Kedai-kedai pun sudah banyak yang tutup. Rasanya bandar Kuala Terengganu lebih meriah. Makan malam bersama abang dan kakak sambil bertukar-tukar cerita.
Lama tidak bertemu, macam-macam cerita keluar. Sewaktu mereka masih tinggal di Shah Alam, pernah sekali berkunjung ke rumah mereka. Selepas itu pernah sekali lagi bertemu dan kemudian hanya alam maya menjadi penghubung selepas mereka berpindah ke Teluk Intan. Kedua-duanya guru. Seronok mendengar mereka bercerita tentang alam persekolahan. Bebanan tugas, kenakalan pelajar, karenah birokrasi.
Selepas makan, saya dibawa ke pasar malam, berhadapan Menara Teluk Intan. Hati teruja tidak terkira. Tapi malam menara tutup, jadi kena tunggu siang untuk naik ke atas. Tidak sabar...
Rumah abang dan kakak merupakan rumah lama peninggalan atuk abang. Rumah tradisional yang unik. Ada nilai estetika. Err...rumah lama, banyak barang antik. Kakak menyediakan bilik di ruang atas untuk saya. Kakak yang seperti tahu apa yang bermain di minda terus berkata, "malam ini akak tidur dengan Achik. Jangan risau, kami dah faham sangat dah...," saya ketawa, kakak pun ketawa.
Tapi entah kenapa, malam itu saya seperti tidak boleh tidur. Sekejap-sekejap saya terjaga. Saya bukan jenis manusia yang susah tidur di tempat baru seperti sesetengah orang. Biasanya, dapat bantal tanpa tilam pun, saya boleh lelap hingga ke pagi. Tapi tidak di rumah itu. Mungkin teruja menunggu matahari muncul dan menyapa.
Selepas solat Subuh, saya bermalas-malasan di atas katil. Oh, anak dara. Kakak buka semua tingkap, dan saya boleh nampak gereja dari tingkap di sisi katil. Mana tidaknya, rumah abang dan kakak terletak bertentangan dengan gereja. Jaraknya lebih kurang 200 meter. Saya lupa nama gereja itu. Saya boleh dengar dengan jelas 'tazkirah pagi' dan koir mereka terus dari gereja. Kalau Presiden Jati ada, mesti beliau suruh kakak dan abang pindah. Takut akidah rosak lalu murtad!
Keluar sarapan dan saya menemani kakak ke Sekolah Menengah Convent Teluk Intan. Ada kerja key in data pelajar yang belum selesai katanya. Sempatlah mendengar beberapa guru bercerita perihal pelajar masing-masing. Pelbagai ragam.
SMK Convent terletak berhadapan Sekolah SMK St. Anthony Teluk Intan, sekolah abang mengajar. Semuanya pelajar lelaki. Kata kakak, SMK Convent majoriti pelajarnya pandai manakala SMK St. Anthony, pelajarnya banyak yang bermasalah.
Cerita kakak lagi, budak-budak perempuan SMK Convent selalu berkata, "apa klas kami nak couple dngan budak St. Anthony, cikgu,"
Jalan-jalan di bandar Teluk Intan, memang di sini banyak gereja dan bangunannya masih bangunan lama. Saya suka walaupun sekali pandang nampak menyeramkan. Atau mungkin masalah saya, cepat jatuh cinta dengan tempat baru.
Tengah hari, selepas mengisi perut dengan 'nasi lambai' di kedai mamak yang terkenal di Teluk Intan, barulah berpeluang menaiki menara condong. Menaranya ada lima tingkat tapi boleh naik hingga ke tingkat tiga sahaja. Bolehlah nampak pemandangan sebahagian daripada bandar teluk Intan. Rumah abang dan kakak pun boleh nampak dari atas menara.
Terima kasih dari seorang Achik
Percutian saya nampak biasa sahaja, bukan? Namun tetap berbekas di hati. Tetap berjaya membuatkan saya lupa seketika urusan saya di Kuala Lumpur. Selain tertunai hajat untuk melawat Menara Condong, bukanlah tempat percutian sangat yang saya utamakan.
Tapi lebih dari itu, memelihara dan mengekalkan silatulrahim yang terbina. Ya, abang dan kakak bukan darah daging saya tapi tetap saudara saya sesama Islam, keturunan Adam dan Hawa.
Saya mengenali abang sebagai seorang abang, dan dia mengenali saya sebagai seorang Achik (nama timangan saya dalam keluarga). Kemudian dia berkahwin dengan kakak, dan kakak pun menerima dan mengenali saya sebagai seorang Achik.
Selepas pertemuan di Teluk Intan itu, yang dihiasi senda gurau dan gelak tawa, saya yakin mereka masih menganggap saya sebagai seorang Achik, seperti beberapa tahun dahulu. Dan saya, sebagai seorang Achik, tetap menganggap mereka sebagai abang dan kakak yang perlu dihormati.
Jarang bertemu, tapi saya tidak kekok, bukti silatulrahim ini bukan dibuat-buat, tapi bersahaja, jujur dan ikhlas dari hati.
Dan saya, masih selesa membahasakan diri saya sebagai 'orang' apabila bercakap dengan mereka, seperti dengan ahli keluarga sendiri.
Kepada abang dan kakak, terima kasih kerana menerima dan terus melayan saya sebagai seorang Achik. Tanpa syak wasangka. Tiada curiga. Saya sangat menghargai persaudaraan ini.
Seperti kata Sasterawan Negara, Usman Awang; "bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa".
No comments:
Post a Comment