Wednesday, 15 February 2012

Dia kukenal lewat karyanya



Terasa amat rugi apabila saya hanya mengenali novelis terkenal Azizi Abdullah hanya setelah Allahyarham kembali ke Rahmatullah.

Hanya setelah membaca berita tentang kematiannya, saya teringat novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" yang saya baca ketika masih di sekolah rendah.

Novel yang sarat dengan pengajaran dan nilai pengorbanan seorang bapa itu sangat menusuk atma.

Namun mungkin kerana ketika itu saya masih kecil, saya tidak berapa ambil kisah tentang penulisnya walaupun kesan novel itu masih sangat berbekas di dalam hati sehingga sekarang.

Apabila Allahyarham dijemput menghadap Sang Pencipta, saya mula mencari biodata pemilik nama besar ini, yang saya sifatkan sebagai permata dalam dunia penulisan.

Dua novel Allahyarham "Mandala Dunia Kedua" dan "Badai Cinta" saya beli ketika beliau sudah tiada.






Ya, memang beliau sudah tiada di dunia ini. Tapi mutiara ilmu yang ditinggalkannya cukup besar.




Sehinggalah saya bertemu dengan tulisan di blognya beberapa bulan lalu yang amat bermakna bagi diri saya.




http://aziziabdullah.blogspot.com/2009/01/perngalaman-seorang-penulis-kreatif.html














Al-Fatihah untuk Allahyarham Azizi Abdullah

Tuesday, 14 February 2012

Tanpa mereka

Tanpa kawan hidup jadi rawan
Tanpa teman hidup seolah tak siuman
Tanpa sahabat hidup memang bejat
Tanpa keluarga hidup tak rasa lega
Tanpa bapa hidup sering alpa
Tanpa ibu hidup selalu libang-libu
Tanpa semuanya, saya hidup. Tapi tidak bernyawa!

Qalbu

Kikis berulang kali
Hodoh.
Sapu dengan warna putih
Hitam legam kekal.

Hidu selalu
Busuk.
Percikkan wangian kasturi
Bau busuk masih tertinggal.

Basuh dengan air mata
Kotor.
Bilas bukan sekali
Sisa masih cemar

Jantung berdegup lemah
Tapi kisah belum sudah
Seketul daging belum suci
Sedang maut kian menjemput

Impian

Hati sakit
Hasrat cedera
Semangat lumpuh
Tapi minat belum mati
Dan harapan masih bernyawa.




Wednesday, 8 February 2012

Bila terlalu rindu, hanya mampu menahan sendu.

Sungguh, saya sangat rindukan dia. Bermula Khamis lalu. Terlalu. Amat. Saya rindukan arwah Along (abang). Setiap kali tibanya Khamis, saya teringatkan dia. 25 Ogos 2011 bersamaan 25 Ramadhan 1432 Hijrah, memang saya tidak akan lupa tarikh itu. Hari ini, masuk bulan ke lima dan hari ke tiga dia pergi menemui Sang Penciptanya.

Setiap kali tibanya Khamis, saya takut untuk bersendirian, sebab saya akan teringatkan suasana sewaktu saya menerima berita pemergiannya.

Ya, ketika itu saya sangat tenang, kuat, dan pantas menjalankan amanah keluarga supaya saya menyelesaikan urusan membawa pulang jenazahnya dari Hospital Besar Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu tanpa sebarang halangan.

Saya masih ingat bagaimana saat saya menerima panggilan emak mengkhabarkan pemergiannya disusuli panggilan Angah dengan suara tenangnya mengajar saya apa yang perlu dilakukan, bagaimana mahu berurusan dengan pihak hospital. (Angah seorang pegawai Kementerian Kesihatan).

Memandangkan hanya saya seorang berkerja di Kuala Lumpur, Angah di Pahang, dua orang kakak di Kelantan dan Terengganu, maka sayalah yang bertanggungjawab memastikan jenazah arwah Along sampai ke Kuala Terengganu malam itu juga.

Tidak berhajat untuk bercerita panjang. Alhamdulillah, dengan ditemani seorang sahabat, saya mampu melakukan semua perkara, sehinggalah jenazah arwah sampai ke Kuala Terengganu kira-kira jam 12 malam.

Saya menerima khabar kematian jam 2. 30 petang, terus ke HKL, segala urusan mandi dan kafan selesai kira-kira jam 6.30 petang, dan van jenazah bergerak ke Kuala Terengganu waktu itu juga.

Waktu itu saya sangat kuat. Memang ada air mata yang keluar tapi saya mampu bertindak pantas dan waras, memandu pulang ke Kuala Terengganu ditemani seorang sahabat juga, saya sangat kuat, tenang! Saya tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu. Pastinya dari Allah bukan? Alhamdulillah, berkat bulan Ramadhan.

Langsung lupa saya berpuasa. Hanya seteguk air membasahkan tekak walaupun tanpa haus dan lapar. Yang saya tahu, saya ingin segera tiba di kampung, memeluk emak, walaupun tanpa sepatah kata.

Ya, ketika itu saya kuat, tapi seminggu selepas itu, kerap kali saya hilang punca. Sekujur tubuhnya, seraut wajahnya yang saya tatap buat kali terakhir setelah dikafankan, yang kelihatan seolah-olah sedang tidur, seringkali menjengah ke dalam mimpi, seringkali muncul setiap kali saya berseorangan.

Tapi saya yakin, dia tenang sebab jenazahnya diuruskan oleh adik yang paling disayanginya. Saya yakin!

Dia pernah katakan (walau bukan secara terus kepada saya), jiwa kami serupa.

Setiap kali saya teringatkan dia, saya ulang baca hadis ini: Tidaklah seorang muslim yang meninggal di hari Jumaat atau malam Jumaat, kecuali Alah akan lindungi dirinya dari fitnah (ujian) alam kubur (HR Ahmad).

Saya rasa sedikit tenang.

Ya, dia meninggal hari Khamis, bulan Ramadhan, dikebumikan pagi Jumaat, dengan cuaca redup.

Kenapa baru hari ini saya menulis perkara ini? Sebab seperti yang saya katakan tadi, sungguh, saya sangat rindukan dia. Bermula Khamis lalu.Terlalu. Amat. Entah kenapa.

Saya tidak sampai hati untuk meluahkan rasa rindu ini kepada emak. Sebab saya tahu, rindunya kepada anak yang sembilan bulan di dalam kandungannya suatu masa lalu pasti lebih membuak-buak.

Saya tidak tergamak.

Mungkin juga rasa rindu keterlaluan ini menandakan saya juga bakal pergi menghadap Ilahi? Pergi menemui Along? Wallahu'alam.

Yang pasti, setiap kali tibanya Khamis, hati saya menangis.

Dan ada suara dalam hati; Long, orang rindukan Long. Sangat.

Bila terlalu rindu, seringkali saya menahan sendu.

(Tulisan ini bertarikh 28 Januari 2012)

Tuesday, 3 January 2012

Tulis, tulis, dan tulis.

Mulalah menulis apa sahaja yang kamu tahu. Menulislah tentang pengalaman dan perasaanmu sendiri - J.K Rowling.

Skrip kehidupan

Selamat tinggal 2011 - tiada suara, tiada bicara, dalam hati penuh rasa.
Selamat datang 2012 - skrip kehidupan baru, episod baru, musim baru.

Menghafal sifir kehidupan, mencongak angka dosa pahala, menghitung amal. Selagi bergelar musafir di dunia. Sebelum dihisab di akhirat sana.