Wednesday, 8 February 2012

Bila terlalu rindu, hanya mampu menahan sendu.

Sungguh, saya sangat rindukan dia. Bermula Khamis lalu. Terlalu. Amat. Saya rindukan arwah Along (abang). Setiap kali tibanya Khamis, saya teringatkan dia. 25 Ogos 2011 bersamaan 25 Ramadhan 1432 Hijrah, memang saya tidak akan lupa tarikh itu. Hari ini, masuk bulan ke lima dan hari ke tiga dia pergi menemui Sang Penciptanya.

Setiap kali tibanya Khamis, saya takut untuk bersendirian, sebab saya akan teringatkan suasana sewaktu saya menerima berita pemergiannya.

Ya, ketika itu saya sangat tenang, kuat, dan pantas menjalankan amanah keluarga supaya saya menyelesaikan urusan membawa pulang jenazahnya dari Hospital Besar Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu tanpa sebarang halangan.

Saya masih ingat bagaimana saat saya menerima panggilan emak mengkhabarkan pemergiannya disusuli panggilan Angah dengan suara tenangnya mengajar saya apa yang perlu dilakukan, bagaimana mahu berurusan dengan pihak hospital. (Angah seorang pegawai Kementerian Kesihatan).

Memandangkan hanya saya seorang berkerja di Kuala Lumpur, Angah di Pahang, dua orang kakak di Kelantan dan Terengganu, maka sayalah yang bertanggungjawab memastikan jenazah arwah Along sampai ke Kuala Terengganu malam itu juga.

Tidak berhajat untuk bercerita panjang. Alhamdulillah, dengan ditemani seorang sahabat, saya mampu melakukan semua perkara, sehinggalah jenazah arwah sampai ke Kuala Terengganu kira-kira jam 12 malam.

Saya menerima khabar kematian jam 2. 30 petang, terus ke HKL, segala urusan mandi dan kafan selesai kira-kira jam 6.30 petang, dan van jenazah bergerak ke Kuala Terengganu waktu itu juga.

Waktu itu saya sangat kuat. Memang ada air mata yang keluar tapi saya mampu bertindak pantas dan waras, memandu pulang ke Kuala Terengganu ditemani seorang sahabat juga, saya sangat kuat, tenang! Saya tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu. Pastinya dari Allah bukan? Alhamdulillah, berkat bulan Ramadhan.

Langsung lupa saya berpuasa. Hanya seteguk air membasahkan tekak walaupun tanpa haus dan lapar. Yang saya tahu, saya ingin segera tiba di kampung, memeluk emak, walaupun tanpa sepatah kata.

Ya, ketika itu saya kuat, tapi seminggu selepas itu, kerap kali saya hilang punca. Sekujur tubuhnya, seraut wajahnya yang saya tatap buat kali terakhir setelah dikafankan, yang kelihatan seolah-olah sedang tidur, seringkali menjengah ke dalam mimpi, seringkali muncul setiap kali saya berseorangan.

Tapi saya yakin, dia tenang sebab jenazahnya diuruskan oleh adik yang paling disayanginya. Saya yakin!

Dia pernah katakan (walau bukan secara terus kepada saya), jiwa kami serupa.

Setiap kali saya teringatkan dia, saya ulang baca hadis ini: Tidaklah seorang muslim yang meninggal di hari Jumaat atau malam Jumaat, kecuali Alah akan lindungi dirinya dari fitnah (ujian) alam kubur (HR Ahmad).

Saya rasa sedikit tenang.

Ya, dia meninggal hari Khamis, bulan Ramadhan, dikebumikan pagi Jumaat, dengan cuaca redup.

Kenapa baru hari ini saya menulis perkara ini? Sebab seperti yang saya katakan tadi, sungguh, saya sangat rindukan dia. Bermula Khamis lalu.Terlalu. Amat. Entah kenapa.

Saya tidak sampai hati untuk meluahkan rasa rindu ini kepada emak. Sebab saya tahu, rindunya kepada anak yang sembilan bulan di dalam kandungannya suatu masa lalu pasti lebih membuak-buak.

Saya tidak tergamak.

Mungkin juga rasa rindu keterlaluan ini menandakan saya juga bakal pergi menghadap Ilahi? Pergi menemui Along? Wallahu'alam.

Yang pasti, setiap kali tibanya Khamis, hati saya menangis.

Dan ada suara dalam hati; Long, orang rindukan Long. Sangat.

Bila terlalu rindu, seringkali saya menahan sendu.

(Tulisan ini bertarikh 28 Januari 2012)

No comments:

Post a Comment