Sunday, 25 May 2014

Noktah di Langit Muscat


Teks: Hazayani Zakaria


“Aku yakin ini keputusan terbaik untuk semua orang,” tegas Nawal sambil kedua-dua tangannya meraup muka yang sembab.
Hanim yang melongo mendengar keputusan Nawal terdiam lama sebelum menghela nafas panjang. Wajah Nawal direnungnya lama, seakan-akan mencari kepastian. Wajah sembab dan mata bengkak Nawal mengundang simpati masuk ke ruang hatinya walaupun akalnya belum sepenuhnya dapat mencerna cerita Nawal sebentar tadi.
Kisah mereka rumit. Nawal terlalu kasihankan orang lain sehingga sanggup mengorbankan perasaan sendiri. Itu kesimpulan awal yang muncul di benak Hanim.
Selepas dua hari Nawal bekerja syif malam, baru petang ini Hanim berpeluang bertemu mata dengan teman serumahnya itu.
Jika Nawal bekerja syif malam, memang mereka tidak sempat bertemu. Nawal keluar selepas maghrib ketika Hanim belum tiba di rumah. Nawal pulang ke rumah pagi, Hanim sudah keluar bekerja.
Semalam dan hari ini Nawal tidak bekerja dan hampir dua hari juga Nawal berkurung dalam bilik. Kelakuan Nawal lain benar kali ini. Apabila diajak makan, Nawal kata dia sudah kenyang, mahu tidur.  Sangkaan Hanim Nawal terlalu penat dan mahu berehat.
Risau dengan keadaan Nawal yang tidak keluar-keluar dari bilik, petang ini Hanim mengetuk pintu bilik Nawal dan mengajaknya minum petang bersama.
Hanim bawakan dua mug teh o panas dan sepiring pisang goreng ke bilik Nawal.
Meskipun tahu pintu bilik Nawal tidak pernah berkunci, Hanim tidak berani menceroboh ruang privasi Nawal. Bagi Hanim, bilik adalah ruang privasi masing-masing yang perlu diminta kebenaran untuk memasukinya apatah lagi hendak berlama-lama atau menggunakan barang-barang di dalam bilik.
            Betul, mereka menyewa rumah itu bersama-sama tetapi bilik adalah ruang privasi masing-masing yang mesti dihormati, tidak boleh masuk sesuka hati. Itu perjanjian mereka sejak hari pertama melangkah masuk ke pangsapuri di tingkat tiga itu.
             Nawal pernah berpesan kepadanya, jangan jadikan ukhuwah sebagai alasan untuk menceroboh ruang privasi kawan-kawan. Beri masa kepada dia untuk bersendiri jika dia tidak bersedia untuk berkongsi cerita.   
            “Aku yang salah. Aku yang lambat sedar. Sepatutnya aku tak biarkan perasaan aku dan Zamir hanyut sejauh ni. Aku tak sepatutnya terlalu memberi ruang kepada Zamir. Aku yang bodoh. Aku yang naif sampai tak sedar Arman menyimpan perasaan pada aku. Sekarang semuanya dah terlambat. Aku dah tak boleh undur. Aku yang bertanggungjawab,” rintih Nawal sambil menyeka air mata yang mengalir di pipi dengan kura tangan.
Dia sudah penat menangis sejak semalam tetapi air mata masih tidak mahu kering. Sungguh, bukan perkara mudah bagi dirinya apabila berada dalam situasi menekan begini. Dia terperangkap dalam janji kepada diri sendiri.
            “Nawal, aku harap kau jujur terhadap aku, terhadap diri kau. Aku nak tanya kau satu soalan,” Hanim membetulkan duduknya di kerusi beroda yang dialihkan menghampiri katil bujang Nawal. Wajah Nawal direnung sejenak sebelum soalan diajukan.
            “Betul kau langsung tak ada apa-apa perasaan terhadap Arman? Kau tak cintakan dia? Tersusun soalan Hanim, berhati-hati takut menyinggung perasaan Nawal yang sedang tidak keruan. Matanya tepat merenung mata Nawal yang lesu tidak bercahaya.
            “Demi Allah, Hanim. Aku sikit pun tak ada rasa cinta pada dia. Aku dah anggap dia macam abang aku sendiri. Kalau pun boleh disebut sayang, sayang aku hanya sayang seorang adik kepada abang. Tak pernah terlintas dalam hati aku nak lebih dari itu,” bersungguh-sungguh Nawal menjelaskan agar Hanim mengerti dan tidak salah sangka terhadapnya.
            “Kalau betul kau tak cintakan Arman, kenapa kau susah payah nak fikir fasal perasaan dia? Sampai kau sanggup tipu hati kau,” soal Hanim lagi, sengaja menguji. Manalah tahu ada rahsia lain yang tersimpan dalam hati Nawal.
            Nawal telan liur, menyusun kata-kata seterusnya. Liur ditelan perit, lantaran sakit tekak yang kering.  
            “Aku tak sampai hati. Aku sangat terhutang budi dengan Arman. Aku rasa bersalah sangat. Aku tak sanggup nak buat dia kecewa,” Mata Nawal yang mula berkaca bertentang dengan mata Hanim. Hanim yang bercermin mata bingkai hitam itu sudah seperti kaunselor sedang mendengar masalah klien.
“Fikir diri sendiri, Nawal. Kau bebankan diri kau sendiri,” tukas Hanim.
Nawal membenamkan wajah ke bantal yang dipeluk erat. Bahunya terhenjut-henjut menahan tangis.
Suasana sunyi, hanya kedengaran jarum jam di atas meja bacaan Nawal berdetik.
Samsung Galaxy S3 mini milik Nawal di atas meja berdering memecah sunyi bilik. Spontan Hanim berpaling memandang telefon bimbit di atas meja kecil di sisi katil. Tertera nama Zamir di skrin telefon bimbit. Hanim mengambilnya lalu dihulurkan kepada Nawal.
“Zamir,” beritahunya sepatah kerana dia pasti Nawal tidak nampak nama yang tertera di skrin.  Nawal membatu. Telefon terus menjerit, kemudian senyap.
Nawal mengambil telefon dari tangan Hanim, lalu diletakkan di sisi. Telefon berdering kembali melagukan Yesterdays, nyanyian kumpulan rock 80-an dari Amerika, Guns and Roses .
Yesterday, there was so many things
I was never told
Now that I'm startin' to learn
I feel I'm growing old---
“Jawablah,” ujar Hanim bernada arahan. Nawal bungkam sehingga telefon berhenti bernyanyi.  
"Dengan Arman kau tak sampai hati, tapi dengan Zamir kau sanggup buat macam ni. Zamir tak bersalah. Kau seksa diri kau, kau seksa Zamir. Kau rasa ini adil?" soalan Hanim tajam menikam hati Nawal. Nawal seka lagi air mata dengan kura tangan. Bantal yang dipeluk sudah basah dengan air matanya.
“Aku tahulah ada pantun kata hutang budi dibawa mati. Tapi aku tak tahulah sesuai atau tak pantun itu untuk diaplikasikan dalam kes kau, ni,” Hanim menjeling Nawal sekilas.
“Adil itu meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Bukan menyeksa dan meletakkan beban ke bahu semua orang,” Hanim menyambung bicaranya. Mula kedengaran nada geram dalam tutur kata Hanim. Nawal tunduk, ibu jari dan jari telunjuk bermain-main dengan bucu bantal.
“Dan kalau memang kau nak balas budi Arman, kenapa kau tak nak kahwin dengan dia je? Sekali pun kau tak cintakan dia, kan perasaan tu boleh dipupuk selepas kahwin? Barulah terbalas budi dia pada kau,” sinis saranan Hanim.
“Aku tak boleh kahwin dengan Arman,” jawab Nawal tanpa memandang Hanim.
“Kenapa tak boleh?” soal Hanim.
Nawal hanya diam tidak berkutik. Soalan Hanim ditelan pahit.

***
 “Apa cerita menarik?” soalan Arman memancing Nawal agar bersuara. Suara dibuat-buat girang, wajah dilakon ceria.
Teh tarik dalam gelas dihirupnya sedikit. Mata Nawal hinggap sebentar ke wajah Arman lalu bibirnya mengukir senyum nipis. Arman seperti tahu-tahu sahaja ada berita gembira yang ingin dikongsinya.
“Em, abang ingat tak patient yang saya selalu cerita tu? Adik Hanif? ” soal Nawal  bersemangat mahu bercerita. Dahi Arman berkerut, jari-jemari mengetuk-ngetuk meja.
“Hanif yang dah dua bulan koma tu?” soal Arman cuba mengingat. Nawal mengangguk-anggukkan kepala sambil senyum semakin lebar.
“Kenapa dengan dia?” soal Arman berminat ingin tahu. Nawal selalu bercerita tentang Hanif, pesakit berumur dua tahun yang mengalami pendarahan dalam kepala akibat terjatuh di pusat asuhan kanak-kanak. Mengikut cerita Nawal, sudah tiga bulan Hanif koma selepas dibedah.
“Dia dah sedar. Dah boleh buka mata, dah boleh gerakkan tangan, dah tak perlu guna tiub minum susu. Gembira sungguh mak dan ayah dia tadi bila dia dah boleh pindah wad biasa,” cerita Nawal bersungguh-sungguh.
“Oh, ya? Alhamdulillah. Berkat kesabaran mak ayah dia. Berkat kesabaran Nawal juga,” Arman senyum lagi.
Arman memang menjadi pendengar setia setiap kali Nawal bercerita tentang dunia kerjayanya sebagai jururawat. Cerita tentang doktor yang garang, doktor yang kelam kabut, pesakit yang selalu menuntut perhatian, karenah ahli keluarga dan macam-macam lagi.
Tidak  kurang juga cerita sedih Nawal apabila berhadapan dengan kematian pesakit yang dijaganya. Kadang-kadang sampai menangis-nangis di hadapan Arman.
Hari ini, berita gembira tentang Hanif pula. Terlukis kegembiraan di wajah Nawal. Dari sinar matanya, terpancar cinta Nawal terhadap kerjayanya. Tidak pernah merungut letih, tidak pernah mengeluh bosan.
“Zamir sampaikan salam,” Arman membuka kata selepas kedua-duanya sepi melayan perasaan. Dia mencuri pandang wajah Nawal, ingin sekali melihat reaksi Nawal. Wajah bujur sirih itu beku tidak beriak. 
“Waalaikumusalam,” jawab Nawal sepatah sambil matanya merenung gelas berisi kopi ais di hadapannya. Air mula menitik ke atas meja marmar hasil pengembunan ais dalam gelas. Sekeliling gelas mula basah.          
“Macam mana Nawal dengan Zamir?” soal Arman lagi, mula masuk ke ruang perbincangan yang lebih berat. Tidak kena gaya boleh berakhir dengan pertengkaran. Wajah ceria Nawal bertukar mendung.
“Kita kan dah janji tak nak cakap fasal hal ni lagi,” nada bicara Nawal mendatar tetapi keras.
“Kita kena bercakap. Perlu,” lembut suara Arman membuatkan Nawal rasa ingin menangis. Nawal tarik nafas dalam-dalam, cuba bertindak rasional, seperti janjinya pada diri sendiri.
 “Saya dah buat keputusan, semua orang dah tahu keputusan saya. Masalah dah selesai,” jawab Nawal. Tangan kanannya mengacau kopi dalam gelas dengan penyedut minuman berbelang hijau putih. Ais kiub dalam gelas berlaga, melanggar dinding gelas. Kemudian kopi disedutnya sedikit. Pahit tidak terasa walaupun kopi tanpa gula, dikalahkan rasa pahit dalam hatinya ketika ini.
“Nawal jangan buat keputusan ni sebab abang,” Arman tidak meneruskan bicara. Kedua-dua tangan memegang pelipis. Nawal tegak di kerusi sambil kedua-dua tangan bersilang di dada.
“Abang tak halang Nawal terima Zamir. Abang percaya dia boleh jadi suami yang baik, boleh jaga Nawal. Abang tahu Nawal bahagia dengan dia. Abang yakin,” Arman berlagak biasa, menyusun kata-kata penuh yakin meski hati rapuh menerima kenyataan. Segala kekecewaan cuba disembunyikan di sebalik senyumnya.
“Abang sentiasa doakan yang terbaik untuk Nawal, untuk Zamir. Dan jangan risau, Zamir tak akan tahu fasal kita,” sambung Arman. Senyum lagi. Senyum tak bergula, tak berperisa. Hanya ada pedas.
            Nawal senyum sinis sambil merenung wajah Arman.
            “Ya, abang tak apa-apa, abang okey. Biarkan kami berkawan, kemudian bertunang, kemudian bernikah, dan abang tak datang majlis pernikahan kami, dan lepas kami nikah kita putus kawan,” bidas Nawal.
            “Itu yang akan terjadi kan?” soal Nawal menduga. Arman hilang kata. Renungan Nawal dibalas, sepasang mata bening itu terlalu jujur. Benar, dia tidak sanggup kehilangan nawal. Entah apa istimewanya Nawal sehingga hatinya terpaut, dia sendiri tidak mengerti.
            “Itu hak abang. Kalau abang tak datang pun, majlis tetap berjalan. Nawal dan Zamir tetap bahagia. Abang ada atau tidak bukan perkara penting lagi,” balas Arman cuba membela diri tetapi gagal mengawal nada rajuk di hujung kata.
“Dan hak saya juga untuk tolak cinta Zamir,” balas Nawal tidak mahu kalah.
            “Tidak semudah yang abang cakap. Majlis perkahwinan saya tak dihadiri orang yang telah menyelamatkan saya. Lepas kahwin saya akan hilang orang yang telah banyak tolong saya. Bukan kecil budi abang pada saya. Bukan sedikit. Masakan saya boleh lupakan begitu sahaja. Tak akan,” Nawal menekan suaranya, biar tak tinggi asalkan jelas di pendengaran Arman.
            “Nawal tak salah apa-apa. Zamir pun tak salah. Mungkin salah abang sebab jatuh cinta pada Nawal. Tapi bukan abang sengaja. Semua datang secara semulajadi, tanpa abang sedar. Abang pun tak tahu sejak bila abang mula ada perasaan pada Nawal. Sepatutnya semua ni abang simpan. Entah macam mana abang boleh berani berterus-terang. Mungkin abang terlalu yakin yang Nawal pun ada perasaan terhadap abang,” Arman mengeluh berat. Dahi berkerut.
            “Tapi sekarang abang dah tahu Nawal tak cintakan abang. Abang sedar siapa diri abang. Nawal tak akan pilih abang. Tapi hati Nawal pada Zamir. Dan hati Zamir pada Nawal. Teruskan,” liur ditelan bersama-sama kata-kata pahit itu.
            Ketika itu datang dua orang wanita dewasa ke arah meja mereka. Seorang wanita pertengahan 30-an yang sempurna sifat dan fizikalnya memimpin seorang wanita buta bertongkat, lingkungan awal 50-an dengan raga tisu di tangan.
            Mereka berjalan dari meja ke meja, menawarkan tisu dan terpulang kepada pelanggan untuk member seberapa jumlah wang.
            Nawal mengetap bibir. Bukan marah kepada si penjual tisu tetapi marah kepada si dewasa yang segar bugar tetapi sanggup mengheret si buta berjalan kaki dari satu kedai ke satu kedai.
            Dalam keadaan yang sihat walafiat, tergamak mereka menggunakan titik peluh si buta untuk mencari makan. Entahkan si buta itu rela atau terpaksa melakukan kerja sedemikian.
            Nawal mengeluarkan not kertas satu ringgit dari dalam beg galasnya dan meletakkan ke dalam raga tisu si buta lalu sepeket tisu jenama Premier diambil. Si buta mengucapkan terima kasih lalu dipimpin si dewasa ke meja lain. Nawal memasukkan tisu ke dalam beg di atas riba.  
Pandangannya dihalakan semula ke wajah Arman.  Tiada kata-kata yang menjengah benaknya ketika ini.
            “Memang Nawal berhak terima Zamir. Jangan risau fasal abang. Abang dah dewasa. Abang cuma nak Nawal bahagia, itu sahaja.” Arman memberi kata putus tetapi tidak bernoktah bagi Nawal.  
            Nawal terasa seperti masa hadapannya tergantung lantaran rasa yang mengepung. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Satu keluhan terbit lagi.
Setahun lalu, terkejut, marah dan kecewa berbaur dalam hati Nawal apabila mengetahui Arman menyimpan perasaan cinta terhadapnya selama ini.
Sungguh dia tidak menyangka orang yang sudah bertahun-tahun dianggap seperti abang sendiri, orang yang sangat dihormatinya boleh jatuh hati terhadap perempuan naif sepertinya. Bodohnya dia kerana tidak dapat mengesan perasaan Arman.
Puas juga Nawal berfikir apa yang membuatkan Arman begitu yakin bahawa dia pun menyimpan perasaan yang sama. Seingatnya tidak pernah pula dia cuba menggoda Arman. Bagaimana dia mahu menggoda sedangkan dalam hatinya tidak ada sejalur pun rasa cinta terhadap lelaki itu. Dalam hatinya cuma ada rasa terhutang budi yang menebal terhadap Arman.
Berbulan-bulan persahabatan mereka renggang. Berbulan-bulan Arman penasaran. Dia amat terasa kehilangan Nawal,  gadis yang pada mulanya hanya dianggap seperti adik sendiri. Gadis yang pada hematnya perlu dilindungi dari sebarang kejadian buruk.
Nawal pula, dek kerana sangat terhutang budi pada Arman suatu masa dahulu, tidak tergamak membiarkan Arman penasaran begitu. Simpati menerobos ke dasar hati. Terasa bersalah benar dirinya melupakan budi Arman. Lalu, persahabatan terjalin kembali, tetapi tidak serapat dahulu. Ada rasa segan menghuni hati. Nawal  tidak lagi sepolos dahulu, lebih berhati-hati berkongsi rasa dengan Arman.
Bersungguh-sungguh Nawal menjelaskan kepada Arman bahawa dia sedikit pun tidak mencintai Arman. Hanya ada rasa hormat dalam hatinya. Arman menerima penjelasan Nawal namun tidak mahu Nawal menjauhkan diri darinya. Biarlah mereka terus bersahabat, pintanya. Biarlah dia sentiasa ada saat Nawal memerlukan.
            Wajah Zamir terbayang di mata. Nawal mengenali sepupu Arman itu dalam satu majlis doa selamat di rumah Arman.
Lebih setahun berkawan dengan Zamir, bertukar-tukar fikiran, berbalas komen di Facebook dan Twitter, berbalas-balas mesej di Whatsapp, bercakap di telefon dan kadang-kadang keluar bersama, akhirnya membenih rasa serasi. Tumbuh dan bertunas rasa sayang dan bunga-bunga cinta mula berputik.
Tetapi putik-putik bunga cinta itu perlu diracun. Tidak boleh menunggu cinta berkembang mekar. Kembang itu sudah menjadi terlarang kini. Mekar itu hanya akan menimbulkan sukar.  
Nawal mengeluh kesal. Kesal kerana tidak awal-awal menjauhkan diri dari Zamir. Sebelum terbitnya rasa sayang dan cinta. Namun dia perempuan biasa, punya hati dan perasaan. Apabila memikirkan Zamir sepupu Arman, berkali-kali cuba dicampak jauh-jauh rasa suka terhadap Zamir, tetapi berkali-kali jugalah dia gagal. Sikap dan perwatakan Zamir yang mencintai kesederhanaan itu benar-benar memikat hatinya.
Takdir tertulis, rupa-rupanya Nawal tidak bertepuk sebelah tangan. Ternyata Zamir punya rasa yang sama.
Zamir yang tidak tahu-menahu bahawa Arman juga menaruh perasaan terhadap Nawal, tanpa berselindung bercerita tentang rasa cintanya terhadap Nawal. Bersungguh-sungguh dia meminta pendapat Arman tentang Nawal sebelum cinta itu diungkapkan di hadapan Nawal.
Zamir meluahkan hasrat ingin menjadikan Nawal suri hidupnya, ingin menyempurnakan separuh agamanya. Nawal kelu seribu bahasa ketika Zamir melafazkan kalimat cinta. Gembira dan sedih berbaur. Gembira kerana dalam hatinya ada cinta yang sama. Sedih kerana dia tidak dapat membalas cinta Zamir. Dia tidak sanggup mengecewakan Arman. Tidak mungkin dia akan berkahwin dengan sepupu rapat Arman.
Nawal tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan Arman selepas dia berkahwin dengan Zamir. Kalau sudah namanya sepupu, lari ke mana pun pasti bertemu. Mengelak sekali pun pasti ada waktu bertembung. Dia tidak tergamak melukakan hati orang yang pernah menyelamatkannya.
***
Lembaga itu menerkam Nawal dari belakang, merangkul pinggangnya kemas dan cuba menekup mulutnya. Nawal meronta-ronta, kaki menendang-nendang lantai sambil memekik meminta tolong.
“Tolong!” jeritan Nawal memecah sunyi pejabat.
“Tolong!” Nawal menjerit lagi. Suasana gelap.
“Jangan!” Nawal memekik apabila lembaga itu membenamkan wajah ke tengkuknya.
“Tolong!” mata Nawal terbuka luas dan dia bingkas bangun. Dia bersandar ke kepala katil, memeluk lutut ketakutan. Gebar yang menyelimuti sebahagian tubuhnya ditarik hingga ke atas dada. Seluruh tubuh menggigil. Dahi dan tengkuk lencun dek peluh.
Nawal beristighfar berkali-kali, membaca Al Fatihah dan Tiga Qul dalam tangis. Mimpi ngeri itu mengganggu lagi.
Mimpi ngeri yang berpunca daripada realiti yang menakutkan. Masih terasa kasar tangan lelaki itu mencengkam lengannya. Masih terasa gemuruh ditindih lelaki itu. Masih terasa lemas dipeluk lelaki bertubuh tegap itu. Masih terasa cemas apabila lelaki itu cuba menyelak kain baju kurungnya.
Nawal menangis sepuas hati, teresak-esak sendirian dalam bilik gelap itu.
Pengalaman ngeri hampir diperkosa rakan sepejabat lama dahulu kembali mengganggu fikiran, mengacau tidurnya, merampas ketenangannya.
Peristiwa itu meragut separuh daripada keberanian Nawal berbulan-bulan lamanya. Dia sendiri sudah tidak sanggup untuk mengenangnya lagi.
Bencinya dia pada lelaki bernama Farid itu hanya Allah yang tahu. Akibat sakit hati cinta tidak berbalas, sanggup Farid cuba memperkosanya.
Ketika itu Nawal bekerja sebagai kerani di syarikat pembinaan sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.
 Tertinggal beg duit dalam laci meja kerja memaksa Nawal naik kembali ke pejabat di tingkat tiga bangunan. Ketika itu jam sudah menginjak ke angka lapan malam. Semua teman pejabat sudah pulang, pengawal keselamatan pula hilang entah ke mana.
Farid yang selalu mengganggunya itu, tahu pergerakannya hari itu lalu cuba mencabul kehormatannya.
Ketika bergelut dengan Farid itulah Arman, arkitek di pejabat itu tiba-tiba muncul dan menjadi penyelamatnya. Farid tidak sempat lari dan teruk dikerjakan Arman.
Dalam ketakutan dan terkejut yang belum hilang, Nawal hanya mampu menangis melihat Arman membelasah Farid yang merayu-rayu meminta maaf.
Nasib baik  Pak Hamid, pengawal keselamatan pejabat mereka datang ketika Arman separuh gila membelasah Farid. Jika tidak, mahu mati Farid dikerjakan Arman.
Arman menenangkan Nawal yang menggeletar ketakutan bersama tangisan yang belum reda. Wajahnya pucat lesi.
Arman juga yang membawa Nawal membuat laporan polis dan menghantarnya pulang ke rumah malam itu.
Nawal mengesat air mata yang berjujuran. Dalam esak tangisnya, dia bangun dari katil, membuka lampu  kemudian duduk semula di birai katil.
Kalau tidak ada Arman ketika itu, dia tidak tahu apa yang terjadi kepada dirinya. Pasti Farid berjaya melakukan lebih dari itu.  Pasti hidupnya musnah. Tidak mungkin dia boleh hidup seperti hari ini.
Sungguh Nawal terhutang budi dengan Arman, orang yang menyelamatkan maruahnya. Rasa terhutang budinya tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Mana mungkin dia sanggup melukakan hati lelaki itu dengan menerima cinta sepupu Arman sendiri. Tidak mungkin!
Nawal tersepit di tengah-tengah mereka.
***
Selesai mendaftar masuk dan menguruskan bagasi di kaunter, Nawal berjalan menghampiri Hanim yang menunggunya di suatu sudut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pasport, visa dan pas berlepas dimasukkan ke dalam poket kanan jaket denim hitamnya yang dikenakan bersama blouse biru laut paras lutut dan tudung bercorak abstrak, dipasangkan dengan jeans hitam potongan lurus.
“Dah selesai semua?” soal Hanim yang dari tadi memerhati kelakuan Nawal yang kelihatan tenang.
“Dah. Tunggu nak naik aerotrain ke balai berlepas je,” Nawal tarik nafas lega, bibir mengukir senyuman manis untuk Hanim.
“Nak peluk kau kuat-kuat, boleh? Nawal mendepakan tangan sambil tersengih lebar menampakkan barisan gigi tersusun rapi.  
Hanim senyum, kemudian turut mendepakan tangan dan menapak menghampiri Nawal. Hanim memeluk Nawal dan Nawal membalas pelukannya erat.
“Aku akan rindu suara kau marah-marah sebab aku tak kemas dapur lepas masak,” tutur Hanim dalam tangis bercampur tawa.
“Kalau rindu, Skype, Whatsapp, Facebook, Twitter kan ada. Itulah gunanya teknologi,” jawab Nawal sambil ketawa kecil, mengawal sebak. Nawal mengusap belakang Hanim sebelum perlahan-lahan meleraikan pelukan.
Nawal memandang tepat ke mata Hanim yang basah di sebalik cermin mata. Hanim membalas pandangan Nawal.
“Nanti mesti kau balik Malaysia bawa Pak Arab kacak, kaya kan? Carikan aku seorang. Saudagar minyak ke, saudagar permaidani ke,” seloroh Hanim sambil senyum gatal. Nawal tergelak.
“Nanti kau ambillah cuti, pergi melancong ke sana,” saran Nawal. Tangannya masih memegang tangan Hanim.
“Nanti dah sampai Muscat jangan lupa call aku,” pesan Hanim.
“Ya, dah lebih sepuluh kali kau pesan benda yang sama,” Nawal mencubit pipi gebu Hanim. Hanim memuncungkan bibir tanda protes.
“Aku risau. Kau kan tak makan nasi arab. Nanti kat sana kau nak makan apa?” lurus soalan Hanim buat tawa nawal meletus lagi.
“Hanim, masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing mengembek. Jangan risaulah,” jawab Nawal di hujung tawa.
Nawal tahu, berat hati Hanim melepaskannya pergi. Bukan Hanim seorang. Keluarganya juga puas memujuk Nawal agar mengubah keputusan. Arman membantah, Zamir merajuk. Tapi Nawal teguh dengan keputusannya. Pasrah dengan situasi antara dia, Arman dan Zamir buat dia senekad itu.
Bukan sebarang keputusan yang dibuat. Bulat hatinya berhijrah ke Oman untuk berkhidmat sebagai jururawat di negara yang terletak di hujung Tenggara Semenanjung Arab itu.
Diam-diam Nawal menduduki peperiksaan kelayakan untuk berkhidmat di Oman dan keputusan menyebelahinya. Nawal Berjaya mendapat tempat di salah sebuah hospital di Muscat, ibu Negara Oman. Untuk tempoh berapa lama, dia belum pasti. Mungkin sehingga dia luput dari hati Arman, hilang dari ingatan Zamir. Biar jauh di mata, sayup di hati.
Terlintas doa dalam hati Nawal agar Zamir datang sebelum dia berlepas. Apabila tersedar, cepat-cepat dia menepis perasaan itu, mengulang janjinya pada diri sendiri. Rindu pada Zamir akan dibawa terbang bersamanya.
“Aku kena ke balai berlepas sekarang,” ujar Nawal sambil mengerling jam di tangan kanannya. Jarum pendek di angka satu, jarum panjang di angka 12. Penerbangannya jam 2.05 petang. Hanim mengangguk berat.
Mereka bersalaman dan sekali lagi berpelukan sebelum Nawal melangkah menuju ke tempat menaiki aerotrain.
“Nawal!” spontan Nawal menoleh ke arah suara yang memanggil namanya.
“Kak Maria,” spontan juga lidahnya menyebut nama wanita tinggi lampai yang melangkah laju ke arahnya.
“Sempat juga akak jumpa Nawal. Maaf, akak lambat. Jalan sesak, ada kemalangan di highway,” jelas Maria tanpa dipinta.
“Akak datang sorang?” teragak-agak Nawal menyoal.
“Abang Arman ada, tu ha!”mulutnya memuncung ke arah Arman yang sedang melangkah ke arah mereka. Nawal telan liur apabila terdengar derap langkah Arman di belakangnya.
“Maaf,  Kak Maria. Saya dah nak kena naik train ke balai berlepas,” ucap Nawal cuba mengelak daripada bertentang mata dengan Arman. Nawal tarik tangan Maria lalu disalami. Pipi mereka berlaga.
“Jaga diri di tempat orang, Nawal,” Arman bersuara sambil matanya menangkap raut wajah Nawal. Nawal hanya mengangguk.
“Saya pergi dulu akak, abang,” ucap Nawal. Kepala ditundukkan sedikit tanda hormat sebelum dia berpaling dan berlalu pergi. Enggan berpaling lagi.
Nawal rasa matanya panas. Hanim pernah kata dia bodoh. Bodoh kerana terlalu menjaga perasaan orang yang sudah punya segalanya. Ya, Arman sudah punya Maria. Wanita cantik berhati baik. Mengapa perlu mengejar Nawal? Tamak?
Balas Nawal, Arman pernah menyelamatkan maruahnya.
Kata Hanim lagi, Nawal bodoh kerana melepaskan lelaki sebaik Zamir. Nawal kejam terhadap dirinya sendiri.
Jawab Nawal, dia yakin dengan istikharahnya.
Abang, akak, terima kasih untuk segalanya. Semoga Allah pelihara rumah tangga kalian. Semoga kalian bahagia hingga akhir hayat. Saya tidak seharusnya wujud di tengah-tengah kalian.
Zamir, saya doakan Allah kurniakan awak wanita yang baik, jauh lebih baik daripada saya. Saya terima kalau awak membenci saya. Hanya Allah yang tahu rahsia hati saya. Menyingkap rasa hati saya, tidak semudah awak mengungkap kata cinta kepada saya. Sungguh, awak terlalu sempurna. Demi Allah, saya betul-betul cintakan awak, Zamir. Tapi saya terpaksa tinggalkan awak sebab awak sepupu Arman! Saya tak tergamak mengecewakan orang yang telah menyelamatkan maruah saya!
Hati Nawal tak henti berkata-kata bersama langkah yang dihayun pantas. Nawal ingin cepat-cepat terbang bersama rasa sayang, cinta dan rindu yang berkumpul dalam relung hati. Dia ingin gugurkan seluruh rasa itu seperti awan menggugurkan hujan. Pasti, ada noktah di langit Muscat.









Thursday, 9 January 2014

Perkampungan Seni Lendu dan 'Rumah Waris Uwan'



Tiga hari dua malam berkampung di Perkampungan Seni Antarabangsa Lendu (Liac 2013) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, pastinya pelbagai pengalaman dan ilmu yang sempat saya kutip.

Selain dapat mendekati dan mengenali kelompok seniman dan karyawan baru dan lama, saya lebih memahami perjuangan mereka memartabatan seni warisan Melayu.


Saya juga dapat merasai betapa seni sedang merakyat di Kampung Lendu yang saya kira cukup bertuah kerana berada hampir dengan UiTM Melaka.


Satu kelebihan bagi Kampung Lendu kerana pensyarah-pensyarah dan pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) mempunyai kesungguhan untuk mengindahkan kampung tersebut dengan sentuhan seni mereka.


Namun apa yang paling berbekas di hati saya adalah mengenai hasrat pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail untuk mengekalkan seni dan warisan kampung tradisi di Kuala Lumpur.


Siti Zainon merupakan anak jati Kampung Bandar Dalam, Gombak, salah satu daripada tujuh buah kampung yang hanya menunggu masa untuk dilupuskan dan dibangunkan dengan bangunan-bangunan moden.


Beliau sejak dahulu lagi aktif berkolaborasi dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) menganjurkan acara seni budaya kampung.


Antara acara seni budaya yang pernah diadakan di Kampung Banda Dalam adalah pada 2010 sempena Dirgahayu 150 tahun Kampung tradisi di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam.


Acara tersebut berjaya menghasilkan antologi puisi oleh 56 orang penyair.


Pada acara itu juga, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said melancarkan buku 'Kasih Bonda, Kapung Paya Kami' karya Siti Zainon.


Selain Kampung Banda Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Puah Seberang, di Gombak juga akan dilupuskan untuk pembangunan.


Saya kira Liac 2013 ini menyuburkan lagi semangat beliau yang sedia tertanam untuk mempertahankan kampung tradisi.


Dalam perbualan santai beliau dengan pihak penganjur Liac 2013, beliau berulang kali menceritakan kisah Kampung Banda Dalam yang akan tergadai di tangan kapitalis dan betapa dalam hasratnya untuk mempertahankan kampungnya sebagai kampung tradisi.


Malah dalam ucaptamanya pada malam perasmian Liac 2013, beliau juga menyentuh mengenai hal itu dan berharap program sebegini dapat diadakan di Kampung Banda Dalam dan kampung tradisi lain di Kuala Lumpur. 


"Kampung Banda Dalam dan kampung-kampung sekitar di Gombak merupakan kampung tradisi yang mesti dipertahankan.


"Kalau bukan anak-anak kampung sendiri yang mempertahankan warisan dan tradisi Melayu, siapa lagi?


"Saya mengimpikan Kampung Banda Dalam dan sekitar Gombak menjadi seperti Lendu, yang masih terpelihara seni dan warisan kampungnya,"katanya.


Malah beliau sudah mengabadikan segala kisah dan warisan Kampung Banda Dalam ke dalam buku bertajuk Rumah Waris Uwan-Membaca Peta Kuala Lumpur 2020.


Buku tersebut diterbitkan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) pada awal tahun ini.


Membaca buku tersebut, saya kagum dengan segala usaha beliau menyimpan segala warisan tinggalan nenek moyangnya.


Antara petikan buku tersebut:


"Kampung Paya kemudian berganti dengan Kampung Bonda Dalam. 'Bonda' dialek Minang yang bererti tali air. Tatkala berlakunya banjir besar, 'bonda' atau tali air Sungai Gombak menjadi dalam, kemudian dengan sebutan baku, 'bonda' menjadi 'bandar' dan 'bandar' yang dalam itulah Kampung Banda Dalam,"


"Mengapa harus mengalah dan keluar dari penempatan dengan wang agihan, hingga kapung dibedah, diredah, lori traktor masuk bebas ke muka kampung, jalan penuh debu, lecah,"


Sambil memerhati peserta-peserta Liac 2013 bergotong-royong seni di Kampung Lendu, beliau berkata:


"Alangkah bagusnya kalau arca-arca ini ada di Kampung Banda Dalam. Alangkah bagusnya kalau semua anak kampung bersatu hati pulang mengindahkan kampung.


"1 Februari, Hari Wilayah, Kita buat pameran kampung tradisi. Yani kena tolong bonda dokumentasikan bahan-bahan. Cari kawan-kawan lain juga. Kalau bukan kita, siapa lagi nak pertahankan warisan Melayu?" ujarnya.


Saya mengangguk. Mungkin kerana patuh, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak mahu kampung tradisi hilang dalam peta Kuala Lumpur.


Saturday, 2 November 2013

Kami

Segelas teh o panas dan segelas nescafe panas menemani perbualan panjang kami malam itu. Teh o pilihan dia, nescafe pilihan saya.

Awal pertemuan, saya membelek-belek kertas kerja berkisar sejarah Melayu milik dia. Tidak tahu bagaimana mahu memanaskan suasana.

Dia perlahan-lahan mencipta suasana santai dengan bertanya saya itu ini, seputar hal pekerjaan dan rutin harian saya. Saya menjawab seadanya, tidak terlalu berahsia, tidak juga terlalu beriya-iya.

Kemudian dia mula bercerita itu ini, dan saya seperti biasa,lebih banyak diam dan mendengar, sambil menganguk-anggukkan kepala tanda saya memberi perhatian kepada percakapannya. Sesekali saya membuka mulut apabila tidak faham dan tidak bersetuju dengan kata-katanya.

Kemudian, perbualan menjadi lebih rancak selepas saya bertemu tempo pertemuan kami.

Dia banyak berkongsi pengalaman susah senang hidupnya, berkongsi asam garam hidup yang amat berguna untuk saya yang masih bertatih, masih mencari kehidupan. Sedikit demi sedikit, saya menyimpan rasa kagum.

Perlahan-lahan dia menyuntik motivasi untuk saya terus mengasah minat dan kebolehan saya. Ya, mungkin saya sudah boleh menganggap dia sebagai sifu.

Beberapa patah kata-katanya kadang-kadang hampir sama dengan sahabat saya sebelum ini, yang sudah saya anggap sebagai sifu.

Kadang-kadang dialog kami hampir sama dengan dialog saya dan sifu saya sebelum ini. Sekali pun sahabat dan sifu saya itu tidak lagi menganggap saya sebagai sahabatnya, saya masih menganggapnya sebagai sahabat dan sifu yang saya hormati.

Hujan lebat tiba-tiba menemani kami.

Gelas teh o dia sudah kosong, sedangkan nescafe saya masih ada separuh gelas. Entah kenapa, rasa kelat, pahit bercampur manis nescafe yang menjadi kegilaan saya tidak berjaya mencuri hati saya malam itu.

Dia memesan segelas teh tarik pula.

Banyak perkara berlegar-legar dalam fikiran, banyak persoalan bermain di minda dan banyak jawapan untuk pertanyaannya terbuku dalam hati.

Saya bendul, lurus katanya. Ya, saya tahu. Oleh sebab itu saya sering menjadi mangsa ketidakjujuran manusia lain.

Sebab itu jugalah, saya menyimpan sangka buruk terhadapnya dan juga orang lain yang baru dikenali. Mungkin, tiada lagi insan yang boleh dipercayai. Semuanya ada kepentingan diri.

Banyak kali dia menebak fikiran saya. Cuba menembusi hati saya. Saya banyak menyimpan derita, putusnya.

Banyak perkara yang membengkak dalam hati saya, katanya. Lepaskan, pintanya.

Saya mengelipkan mata lebih kerap. Cuba menahan air mata daripada tumpah. Keterlaluan kalau saya katakan saya berjanji. Tetapi saya berazam tidak akan mengalirkan air mata di hadapan orang lain. Cukuplah saya seorang yang tahu. Cukuplah Cinta Putih yang saya bawa ke hulu ke hilir menjadi saksi.

Beberapa ulasannya tentang saya, ada benarnya, hampir tepat. Apabila dia meminta kepastian, saya hanya tersenyum. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak. Dia orang penuh ilmu di dada, pasti dia tahu.

Akhir pertemuan dia berpesan, jangan sia-siakan kebolehan yang ada. Bertindaklah. Cari ruang dan peluang.

Kata saya, saya mahu berhijrah keluar dari Kuala Lumpur. Saya mahu buka lembaran baru.

Jangan, tegasnya. Binalah cita-cita di sini dahulu, sarannya.

Katanya, saya tidak berseorangan.



Saturday, 21 September 2013

Syukur

Anugerah
A. Samad Said

Apa dianugerahi
sebaik tercelik mata
sejak terserlah mentari
adalah satu hadiah,
ihsan daripada Tuhan,
kepada setiap insan.

Bermula nafas yang segar
dengan unggas yang tercergas,
azam dan cita-cita besar
dengan fikiran yang waras;
ia tetap anugerah
yang terlalu luar biasa.

Kepada insan yang ragu
belajarlah syukur selalu.

Saya menulis entri ini sambil makan coklat. Cuba menikmati dan mencari di mana lazatnya. Saya bukan penggila coklat, bukan penggemar kek. Tetapi hari ini, saya membeli coklat sekadar meraikan info daripada kawan-kawan.

Kata mereka, makan coklat boleh meredakan tekanan. Saya pun pernah mendapat info yang sama daripada beberapa bahan bacaan. Tetapi saya tidak pernah mengamalkannya.

Baru-baru ini kakak ipar saya menyarankan perkara yang sama apabila saya bertanya tentang perkara yang harus dilakukan ketika sedang tertekan, atau lebih tepat sedang kecewa.

Selepas sesi meluahkan perasaan, dia lantas menyarankan saya supaya banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir untuk meredakan tekanan. Dan pesannya, makanlah coklat banyak-banyak untuk menenangkan perasaan.

Saya percaya, sesiapa sahaja tahu tentang perkara asas yang patut dilakukan ketika tertekan. Tetapi fitrah manusia, cenderung mencari seseorang untuk berkongsi rasa. Bukanlah mengharapkan nasihat sangat tetapi hanya memerlukan seseorang yang dipercayai, yang sudi mendengar luahan rasa.

Ya, memang Allah sebaik-sebaik tempat mengadu. Tetapi seperti yang saya katakan, memang fitrah manusia perlukan manusia lain untuk mengadu hal. Asalkan tidak berlebihan, tidak terlalu bergantung kepada manusia, saya fikir tiada salahnya.

Saya baru melalui dua minggu yang suram. Malap. Malah mungkin tidak berlebihan kalau saya sifatkan sebagai dua minggu yang hancur.

Jiwa saya rusuh, harapan saya luluh, semangat saya runtuh.

Hati cepat tersentuh, saya jadi sangat sensitif dan air mata mudah mengalir.

Apa yang saya lakukan, saya tidak sekat air mata saya. Saya akan menangis setiap kali saya rasa ingin menangis. Saya lepaskan semua air mata saya seperti melepaskan air dari empangan. Sampai saya rasa lega.

Saya yakin tangisan boleh meredakan perasaan yang berkecamuk. Semua rasa yang terbuku di hati seperti mengalir bersama air mata. Lega. Kepala terasa ringan. Saya tidak setuju kalau orang kata menangis itu menandakan kita lemah.

Menangis itu fitrah. Seperti juga ketawa apabila gembira. Tidak perlu menahan tangis. Menangislah sepuas-puasnya sampai air mata itu kering sendiri.

Selepas dua minggu berperang dengan perasaan sendiri, mencari diri yang hilang, membina kembali semangat yang runtuh, saya sedar, betapa saya masih gagal menjadi manusia yang bersyukur.

Selepas sekian banyak nikmat yang Allah kurniakan, saya masih tergamak bertanya; "kenapa aku selalu tak dapat apa yang aku nak?" Tergamaknya saya!

Soalan itu selalu bergema dalam hati saya suatu masa dahulu. Waktu saya masih mentah. 

Namun menginjak dewasa, saya buang persoalan itu jauh-jauh. Saya yakin setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya. Saya yakin setiap aturan Allah itu adalah yang terbaik untuk saya.

Tetapi ketika kembali dihadapkan dengan kekecewaan, saya kembali bertanya soalan yang sama. Tergamaknya saya!

Saya manusia yang lupa. Saya lupa nikmat Allah yang melimpah ruah. Saya lupa betapa banyaknya doa saya yang diterima Allah.

Saya lupa; sewaktu emak disahkan menghidap barah payudara tahap tiga, saya menangis dan berdoa sungguh-sungguh agar Allah sembuhkan emak, Allah selamatkan emak sewaktu pembedahan, Allah panjangkan umur emak kerana saya masih belum puas merasai kasih sayang emak.

Allah kabulkan.

Saya lupa; saya selalu minta Allah pertemukan saya dengan kawan-kawan yang baik. Saya di kelilingi kawan-kawan yang baik, yang selalu mengingatkan saya ketika saya leka, yang sudi menegur kesilapan saya.

Allah kabulkan.

Saya lupa; sebelum pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri tahun lepas, saya berdoa agar saya selamat tiba di kampung, dan di tengah perjalanan, saya terlelap dan hampir terbabas melanggar pembahagi jalan. Tetapi Allah selamatkan saya apabila saya terjaga dan dapat mengawal kenderaan, dan tiada kenderaan lain waktu itu.

Allah kabulkan.

Saya lupa; setiap kali saya pulang dari kerja lewat malam, saya selalu berdoa agar Allah selamatkan saya daripada kejahatan segala makhluk-Nya. Alhamdulillah belum pernah terjadi perkara yang tidak diingini.

Allah kabulkan.

Dan terlalu banyak permintaan saya yang kecil-kecil dikabulkan Allah. Tidak terhingga banyaknya.

Setiap hembusan nafas saya, deria rasa yang berfungsi dengan baik hingga saya dapat menikmati kelazatan kopi.

Mata yang tidak buta hingga saya dapat melihat betapa cantiknya Orkid.

Telinga yang tidak pekak hingga saya dapat mendengar merdunya lagu puisi.

Tangan yang tidak cacat hingga saya dapat menulis entri ini, kaki yang tidak lumpuh hingga saya dapat berjalan ke pementasan teater atau ke pesta buku.

Allah kabulkan.

Baru beberapa kali Allah tidak berikan apa yang saya inginkan, terus saya bertanya; "kenapa aku selalu tak dapat apa yang aku nak?"

Betapa sombongnya saya.

Padahal saya hanya hamba-Nya yang hidup atas belas ihsan Dia.

Betapa saya tidak bersyukur.

Sedangkan Allah sudah berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah Al-Baqarah: 216)

Sudah. Cukuplah dua minggu saya menjadi manusia lembik.

Bersyukurlah dengan apa yang Allah beri.

Ada orang, tak pernah minta pun Allah beri.

Ada orang, minta sekali terus Allah beri.

Ada orang, minta berkali-kali pun Allah masih belum beri.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah Al-Baqarah: 45) 

Doa saya:

"Ya Allah, jika Kau berikan rasa kecewa ini agar aku menjadi manusia yang kuat, aku terima Ya Allah,"

Terima kasih Allah kerana sayangkan saya. Terima kasih kerana sedarkan saya yang alpa lewat rasa kecewa ini.

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah Al-Insyirah: 5-6)