Pandang cermin, saya nampak wajah saya. Senyum sinis. Perempuan yang berangan ingin punya taman orkid. Duduk santai di gazebo sambil menikmati secangkir kopi dan dikelilingi orkid segar berwarna-warni. Menjaga sendiri orkid dengan sepenuh hati.
Ah, berangan! Sedangkan laman orkidkota ini selalu sahaja terabai. Terbiar ditumbuhi lalang dan semak samun. Kerana perempuan ini selalu gagal menguruskan masa dengan baik.
Mungkin saya punya terlalu banyak impian hingga saya terasa ingin hidup seribu tahun lagi. Begitu?
Ibu pernah beberapa kali berkata; saya tidak tahu apa yang saya cari dalam hidup ini. Saya cuma tersenyum, berlagak seperti tidak terkesan dengan kata-kata wanita tabah yang sudah banyak makan garam itu. Sedangkan hati kecil bersuara mengiyakan.
Apa yang saya cari? Apa yang saya mahu? Buntu...
Saya masih terperangkap. Terperangkap dalam dunia semalam yang tinggal kenangan. Melayan rajuk yang masih bersisa. Bukan saya sengaja, apatah lagi meminta.
Tapi luka tidak berdarah itu pedihnya berganda-ganda. Ngilunya berkali-kali.
Dendam yang terpendam itu berketul di dada seperti darah beku. Saya belum punya cara untuk melepaskan. Atau sebenarnya saya belum bersedia melepaskan?
Sehingga saya menjadi pesimis. Sinis. Hilang optimis.
Apa yang terpasak di minda sedar, saya memang tidak akan dapat apa yang saya mahu!
Subuh ini, jiwa ini merusuh lagi.
Saya, perempuan yang sedang menikmati apa yang saya tidak dapat.
Dan saya sedang belajar menjadi makhluk yang bersyukur.
Perempuan Orkid, Allah sayangkan kamu.
Pandang cermin, tiada cacat cela. Alhamdulillah.
Bersabarlah. Allah sedang mengatur yang terbaik untuk hambaNya.
No comments:
Post a Comment