Tuesday, 16 October 2012

Jawapan



"Assalamualaikum...Yien? Kenal lagi tak?" ada suara menyapa. Suara itu tidak asing di pendengaran Yien. Suara itu masih sama, masih mengusik sukma. Mendengar suara itu, hati Yien bergetar. Berdebar. 

              Yien menoleh ke arah tuan punya suara yang duduk di kerusi tidak jauh darinya. Dia senyum. Membalas pandangan Yien.

"Waalaikummussalam...Ammar?" Yien menjawab salam dengan suara yang hampir tersekat di kerongkong. Yien telan liur. 

            Mimpikah ini? Ya Allah, tolong sedarkan aku. Aku tak perlukan mimpi yang menyakitkan ini Ya Allah.

            Di sebalik dua patah perkataan yang terbit dari mulut Yien, hatinya sudah berbicara berpatah-patah kata. Gema suaranya hanya dalam hati. Hati yang tertutup, tetapi tidak berkunci.

            Ammar! Mustahil Yien boleh lupakan awak. Nama awak tak pernah luput dari ingatan Yien. Tapi awak yang tak pernah peduli. 

            Pagi itu sama seperti pagi-pagi yang lain. Bangun dari tidur, solat Subuh dan membaca al-mathurat berjemaah bersama teman serumah, bersiap-siap ke tempat kerja. Tiada yang aneh. Cuma hari itu Yien perlu menghadiri mesyuarat di Putrajaya. Juga rutin bulanan biasa.

            Selesai mesyuarat, Yien memilih untuk solat Zuhur di Masjid Putra. Sudah lama tidak singgah di masjid yang sebahagian besarnya dikelilingi tasik Putrajaya.

            Seperti kebiasaan, anjung masjid dipenuhi para pelancong dari luar negara.  Yien yang duduk di kerusi di sebelah kiri pintu utama tersenyum sendiri melihat gelagat mereka yang sibuk bergambar di setiap sudut masjid dengan jubah khas warna biru dan pink, khas untuk sesiapa yang berpakaian kurang sopan.

            Agaknya kalau aku ke luar negara, aku pun sama macam mereka. Mana boleh lepaskan peluang merakam memori di tempat orang. Palestin? Ya, mungkin. Suatu hari nanti. InsyaAllah.

            Ketika Yien leka memerhati gelagat mereka itulah Ammar datang menegur. Ya, Mohd Ammar Ghazali. Lelaki pujaannya sepuluh tahun dahulu, sewaktu masih di sekolah menengah, dan mungkin juga sehingga kini. 

            "Yien buat apa kat sini? soal Ammar yang kemas berseluar slack hitam dan kemeja lengan panjang berjalur biru putih. Kelihatan kopiah terselit di saku kemejanya. 

            Awak tak banyak berubah. Masih seperti sepuluh tahun dahulu. Cuma nampak lebih matang.

            "Emm, Yien ada mesyuarat kat sini tadi. Singgah solat sekejap. Lepas ni balik KL, " ujar Yien. Sedaya upaya dia cuba mententeramkan hati, meneutralkan tindakan agar Ammar tidak perasan gelodak rasa di jiwanya.

            "Oh, saya memang kerja sini. Tak sangka pula boleh jumpa kat sini. Dari tadi lagi nampak Yien. Tapi takut salah orang," ujar Ammar tanpa disoal. Jeda.

            Em, oklah, Yien kena gerak sekarang. Banyak lagi kerja di pejabat," Yien membuka mulut, tapi bertentangan dengan suara dalam hati.

            Ammar, Yien nak sangat cakap lama-lama dengan Awak. Banyak cerita fasal awak  yang Yien nak tahu. Sepuluh tahun Ammar. Sepuluh tahun Yien simpan harapan ini. Bodohnya Yien.

            "Oklah kalau macam tu. Saya pun nak kena masuk pejabat. Waktu rehat dah nak habis," balas Ammar. Masih memandang Yien yang masih duduk di kerusi. Yien hanya mengangguk. Seketika kemudian, Ammar bangun dari kerusi dan melangkah menuju pintu utama. Yien memandang dengan perasaan bercampur baur.

            Baru beberapa derap langkah Ammar, dia berhenti lalu berpaling ke arah Yien. Yien cepat-cepat pandang tempat lain.

            Ammar seluk poket seluar, keluarkan telefon bimbit dan melangkah menghampiri Yien. 

            "Bagi nombor telefon Yien. Nanti kalau ada apa-apa hal, senang nak contact," Ammar sudah bersedia untuk menekan punat telefon bimbitnya. 

            Yien menyebut satu-persatu nombor telefonnya dengan hati yang mekar berbunga harapan. 

            **************************************

            "Assalamualaikum Yien," kedengaran suara Faeez memberi salam di corong telefon.

            "Waalaikummusalam. Faeez, Yien nak tanya, Ammar dah kahwin ke belum? tanpa mukadimah, terus Yien bertanyakan soalan itu kepada Faeez.

            Yien tahu Faeez terkejut dengan soalannya yang tiba-tiba itu. Hampir setahun Yien dan Faeez bertemu kembali dan saling bertanya khabar, tidak pernah sekali pun Yien menyebut atau bertanya tentang Ammar. Faeez pun langsung tidak menyentuh soal Ammar atau lebih tepat, soal perasaan Yien terhadap Ammar. Walaupun Faeez tahu, Yien belum mempunyai teman istimewa. Buat apa mahu mengimbau nostalgia,  lebih-lebih lagi nostalgia yang hanya membuat hati Yien terus terluka, fikir Faeez.

            "Setahu saya, belum. Tapi kenapa tak ada angin, tak ada ribut, Yien tanya fasal Ammar?" giliran Faeez pula menyoal. Yien sudah menjangkakan soalan itu akan keluar dari mulut Faeez.

            "Ribut dalam hati Yien, memanglah awak tak nampak. Siang tadi Yien terserempak dengan Ammar," ujar Yien sambil benaknya mengingati kembali pertemuan tidak diduga tadi.

            "Oh, err...Yien...?" Faezz mencari ayat yang sesuai.

            "Yien tak tahu nak jelaskan macam mana tapi perasaan Yien masih sama macam dulu. Tak berubah. Yien ingtkan lepas sepuluh tahun, bila Yien jumpa dia, Yien dah tak rasa apa-apa. Tapi masa jumpa dia tadi, Yien rasa Yien masih sukakan dia. Yien masih tak kuat rupanya,"  luah Yien sebelum sempat Faeez berkata apa-apa.

            Yien pejam mata. Air yang bergenang di kolam mata mengalir ke pipi. Yien kesat dengan hujung lengan baju kurungnya. Yien menahan esak, tidak mahu didengar Faeez. Entah malu atau apa, Yien pun tidak pasti. Senyap.

            Faeez faham perasaan Yien. Perasaan Yien sepuluh tahun dahulu dan perasaan Yien ketika ini. Nur Dayini Zahari. Perempuan yang menyimpan perasaan terhadap Ammar. Perempuan yang sukar menyembunyikan perasaan di sebalik tingkah sopannya. Perempuan yang setia menanti jawapan dari Ammar. Dan perempuan yang ditolak cintanya. 

************************************************

Seminggu selepas pertemuan yang membuatkan Yien libang-libu itu, Ammar menghubungi Yien.

Gembira hati Yien tidak terkata. Bahagianya terasa meresap ke seluruh kalbu. Tersebar ke seluruh ruang hati.

Hampir sejam mereka berbual di telefon, bertukar-tukar cerita. Dari zaman persekolahan, hingga tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, dan selepas itu masing-masing mengikut haluan sendiri. 

Bagaimana Yien nekad meluahkan perasaannya kepada Ammar selepas selesai menjawab kertas peperiksaan terakhir, dan bagaimana kecewanya dia bila Ammar hanya mengatakan, dia hanya menganggap Yien seperti kawan biasa, tidak lebih dari itu.

Hinggalah ke penghujung perbualan, Ammar memberikan jawapan yang sepuluh tahun dinanti.
            “Yien, saya dah ada jawapan untuk penantian Yien. Saya minta maaf tolak cinta Yien dulu. Sekarang saya nak tebus kesalahan saya terhdap Yien.

            “Yien,  kalau Yien setuju, saya nak hantar rombongan merisik,” kata-kata yang buat Yien rasa nak pengsan. Yien pejam mata, hilang kata, tiada suara. Ada air mengalir dari kolam mata. Panas.

*******************************************************

Seminggu berlalu, setiap hari Yien menerima sms dan panggilan telefon dari Ammar. Yien rasa bahagia tapi di suatu ruang hati, Yien rasa kosong. Yien keliru.  

Ternyata luka sepuluh tahun dahulu tidak pernah sembuh. Hanya mampu bertahan daripada parah kembali. 

Yien belum menetapkan tarikh yang sesuai untuk rombongan Ammar datang merisik. Alasan Yien, belum sempat berbincang dengan kedua orang tuanya lantaran kesibukan kerja.     
 
Seminggu itu juga Yien melakukan solat hajat dan istikharah. Solat hajat memohon agar Allah lapangkan jiwanya, tenangkan hatinya menghadapi situasi ini. Istikharah agar Allah tunjukkan jalan yang terbaik untuknya.

            Nasihat ibu terngiang-ngiang di telinga.

            “Yien, cintai orang yang mencintai kita. Jangan turunkan harga diri kita hanya kerana seorang lelaki. Kalau dia tak cintakan Yien, biarkan. Lepaskan dia. Mungkin cinta Yien itu untuk orang yang berganda-ganda cinta dan sayangnya terhadap Yien. Dan yang penting, cintanya terhadap Yien kerana cintanya kepada Allah. Allah sedang mengatur yang terbaik untuk Yien,” tutur ibu lembut pada suatu Subuh.

            Subuh itu, Yien yang masih lengkap bertelekung berteleku di atas sejadah, teresak-esak. 

            Ibu menjenguk, bertanya apa yang memilukan hati anak gadisnya. Dalam esak tangis, Yien bercerita tentang hatinya yang remuk redam.  Si ibu yang lebih dahulu makan garam, bersama seribu satu pengalaman, dengan tenang menasihatinya. Barulah Yien berasa lega.

            Lamunan Yien mati apabila telefon bimbit di atas meja di sisi katil berdering nyaring.

            Tertera nama Puan Rosnah. Yien segera menekan punat hijau berlambang gagang telefon untuk menjawab panggilan. Entah kenapa dia rasa berdebar-debar.

            “Assalamualaikum puan,”Yien memberi salam lembut.

            “Waalaikummusalam. Dayini, tahniah. Alhamdulillah permohonan awak untuk menjadi sukarelawan misi kemanusiaan ke Palestin diterima. Selama dua tahun. Kalau setuju, boleh sediakan keperluan penting, kita akan berlepas lagi dua minggu.

            Alhamdulillah...

            Wajah sayu kanak-kanak Palestin yang sering muncul dalam mimpinya bermain di minda. Juga wajah wanita-wanita yang mendukung bayi mereka.

            Ammar, maafkan Yien.

No comments:

Post a Comment