Monday, 20 February 2012

Aku mahu bunuh dia!


Damia berjalan laju-laju dari ruang parkir menuju ke gerai di tepi tasik Titiwangsa. Langkahnya sama pantas dengan degupan jantungnya selepas menerima panggilan daripada Arissa.

Bicara Arissa di corong telefon menjelang Asar tadi benar-benar membuatkannya tidak cukup nafas. Gila! Tekadnya kali ini memang tidak masuk akal!

Matanya melilau mencari kelibat Arissa di deretan gerai bawah pokok besar yang dia pun tidak tahu apa namanya. Apa yang pasti, pokok besar itu sudah tentu tumbuh berpuluh-puluh tahun lalu memandangkan batangnya sebesar lebih dua pemeluk dan akar tunjangnya utuh mencengkam tanah.

Akhirnya dari jauh Damia melihat susuk Arissa duduk di meja paling hujung menghadap tasik buatan  yang nampak benar bukan semulajadinya. Namun di kota metropolitan ini, manusia tiada pilihan. Tasik buatan seperti itu tetap menjadi kunjungan untuk beriadah atau sekadar duduk-duduk santai melepas lelah otak dengan pelbagai urusan harian.

"Assalamualaikum," sapa Damia saat menghampiri Arissa yang berbaju kurung merah hati dan bertudung kuning air.

"Waalaikummusalam," jawab Arissa sepatah, tanpa senyuman. Itu bukan perkara aneh bagi Damia kerana Arissa memang terkenal mahal senyuman. Namun Damia tahu, senyuman Arissa sentiasa mekar dalam hatinya yang baik.

Tanpa dipelawa, Damia melabuhkan punggung di bangku setentang dengan Arissa . Dia menarik nafas panjang, menstabilkan nafas yang sedikit tercungap. 

Mata Damia merayap ke seluruh raut wajah Arissa. Seperti biasa sahaja. Cuma sebutir jerawat ketara di atas hidung.  Perkara biasa apabila perempuan datang bulan. Tidak pucat, tiada tanda sakit. Tidak juga keruh tanda berserabut dengan masalah.

"Orderlah air dulu. Nak makan pun boleh. Laksa kegemaran kau ada," Arissa bersuara sambil tangannya mengacau-ngacau milo ais dalam gelas plastik dengan straw. Dia kelihatan tenang sahaja sedangkan dalam kepala Damia sarat dengan seribu satu persoalan. Bak kata penyanyi remaja Najwa Latif dalam lagu Cinta Muka Buku, banyak persoalan yang berada di minda.

Damia berfikir sejenak. Hilang selera dia hendak makan memikirkan tekad  gila Arissa. Perut yang lapar segera bertukar kenyang selepas menerima panggilan Arissa tadi. Padahal dia belum menjamah makanan berat sejak pagi lagi akibat menyelesaikan tugasan yang menimbun sebelum menikmati cuti hujung minggu.
Nasib baik juga ketika menerima panggilan Arissa dengan tekad gilanya, kerja-kerjanya sudah selesai dan sudah dihantar kepada ketua jabatan.

Damia hanya memesan teh o ais limau. Tekaknya terasa kering dan haus tiba-tiba.

"Maaflah kalau kau tunggu lama. Lepas kau telefon tadi, aku Asar dulu, baru datang sini. Kau tahu sahajalah jalan dari office aku ke sini," ujar Damia selepas mak cik kedai yang menghantar minumannya berlalu.

Petang Jumaat, jalan raya lebih sesak berbanding hari lain. Itu sudah kebiasaan. Entah kenapa. Setiap minggu begitu. Agaknya kerana ramai yang ingin pulang ke luar Kuala Lumpur.

"Tak apa, aku pun tak adalah lama sangat tunggu," jawab Arissa dengan suara mendatar.

Damia menyedut minuman perlahan-lahan. Lega setelah tekak dibasahkan. Dia telan liur sambil otak ligat berfikir. Mencari kata yang sesuai untuk menyelongkar isi hati Arissa, bagaimana dia boleh seberani itu menyatakan hasrat.

"Aku tak kira, aku nak bunuh makhluk tu. Aku dah tak tahan," terngiang-ngiang suara Arissa di corong telefon tadi. Damia kaget. Rasa mahu tercabut jantungnya.

Cepat-cepat dia menyuruh Arissa bersabar dan beristighfar lalu spontan menyarankan mereka bertemu di situ, bagi mencari jalan penyelesaian, sebelum sebarang tindakan diambil. Mujur Arissa bersetuju, dengan syarat Damia mesti menemaninya ke suatu tempat selepas pertemuan itu. 

Damia terpaksa menurut walau dalam hati bergelodak cemas. Sepanjang perjalanan ke situ, tidak putus-putus dia berdoa dalam hati. Memohon Allah lindungi sahabatnya daripada segala kejadian yang tidak diingini.

"Arissa, apa yang kau cakap tadi cuma main-main kan? soal Damia berhati-hati sambil merenung tepat ke mata bundar Arissa.

Arissa merenungnya tajam. Damia jadi serba salah.

"Aku serius. Dah lama aku fikir hal ni. Aku dah tak tahan Mia," tegas Arissa. Damia telan liur lagi. Terasa tekaknya kering kembali.

Tiba-tiba Damia terasa dia tidak mampu menghadapi Arissa seorang diri ketika ini. Nampak benar Arissa tidak berganjak dari tekadnya. Gila! Gumam Damia. Perlukah perkara itu dikhabarkan kepada keluarga Arissa di kampung? 

"Arissa, kau sedar tak apa yang kau nak buat ni? Ini bukan perkara main-main tau. Ini perkara serius. Besar risikonya. 

"Bukan pada kau sahaja, tapi pada keluarga kau juga," Damia cuba mengawal suaranya agar tidak didengar orang sekeliling.

"Ada kau nampak aku main-main? Soal Arissa bersungguh.

Damia menarik nafas. Beristighfar. Tasbih, tahmid, takbir bergema dalam hati. Diselang seli dengan segala doa pelembut hati yang sempat dihafal.

"Arissa, mengambil nyawa bukan kerja manusia," kali ini giliran Damia pula bertegas.  Tekad gila Arissa perlu dihalang.

Damia tidak sanggup melihat sahabat yang dikenali sejak zaman sekolah menghabiskan sisa hidup di penjara, digelar pembunuh. Tidak! Jerit hatinya. Arissa bukan perempuan jahat. Arissa baik. Sangat baik. Cuma kali ini mungkin tekanan yang dihadapi memuncak sehingga di hilang pertimbangan.

"Cakap memang mudah Mia. Kau tak rasa apa yang aku rasa. Bukan sehari dua, bukan seminggu dua, berbulan-bulan lamanya. Hidup aku terganggu. Di rumah, di pejabat," luah Arissa.

Jeda. Damia menghalakan pandangan ke tasik. Memerhati orang yang lalu lalang. Ada yang berlari, ada yang berjalan, tidak kurang juga yang duduk di bangku di tepi tasik. 

Matanya melekat pada sepasang kekasih. Ya, pasangan kekasih. Mustahil pasangan suami isteri. Melihat kepada fizikal, ternyata mereka masih remaja, mungkin masih di bangku sekolah.

Damia mengetap bibir geram melihat gelagat si lelaki memeluk kejap pinggang si gadis, dan kepala si gadis melentok di bahu si lelaki.

Teringat adiknya yang juga masih remaja di kampung. Sempat dia berdoa agar Allah jauhi adiknya daripada melakukan maksiat sedemikian.

Ikutkan hati, mahu sahaja dia pergi menegur perbuatan tidak sopan itu. Namun cepat-cepat dia tersedar, masalah Arissa lebih besar dan harus diselesaikan segera. Maka, dia hanya berdoa dalam hati agar Allah memberikan hidayah kepada pasangan itu.

Damia kembali memandang Arissa.

"Tapi masih boleh bawa berbincang kan? Damia senyum tanpa makna.

"Nak bincang apa lagi Mia. Makhluk tu bukan reti bahasa. Bukan faham perasaan orang.

"Bukan aku tak pernah bagi amaran. Cara baik dah, cara kurang adab pun dah. Tapi semuanya tak jalan.

"Apa lagi cara yang ada selain bunuh dia? suara Arissa sedikit keras. Nampak nafasnya turun naik.

Damia merenung wajah Arissa. Dia mula buntu.

"Selama ni aku tak berkira pun. Berkongsi rumah pun aku tak kisah. Tapi kau pun tahu aku tak suka barang-barang aku diusik. Tapi sebab makhluk tu, aku diamkan je," sambung Arissa minta dimengerti.

Kepala Damia terangguk-angguk. Ya, dia faham sangat perkara yang satu itu. Arissa memang pantang kalau barang-barangnya diusik atau diambil tanpa kebenaran. Tetapi kalau diminta kebenaran untuk meminjam, Arissa memang tidak lokek. Dia bukan kawan yang kedekut.

Tapi tak akanlah kerana perkara itu, Arissa sangup hendak membunuh?

"Apa kata kau buat laporan polis? saran Damia.

Arissa tertawa kecil. Seakan mengejek.

"Mana ada polis nak layan laporan macam ni?" soal Arissa memperlekeh saranan Damia.

Damia sedikit kecil hati, namun segera dia beristighfar. Bertasbih, tahmid dan takbir dalam hati.

"Sepatutnya kau sebagai sahabat, kau kena tolong aku," ujar Arissa sambil memandang tepat ke anak mata Damia, meraih simpati.

Damia serba salah lagi. Duduknya terasa tidak kena.

"Bersahabat tidak semestinya bersubahat," perlahan suara Damia, namun cukup jelas di pendengaran Arissa.
Arissa mencebik.

"Tolonglah Arissa, aku merayu. Janganlah buat kerja gila. Lupakan hasrat kau tu. Membunuh bukan penyelesaian," redup mata Damia menatap wajah Arissa.

"Kalau kau tak nak tolong, tak sokong aku pun, kau kena temankan aku pergi Giant," Arissa bersuara pantas, tanpa menghiraukan rayuan Damia.

Dahi Damia berkerut. Matanya mengecil.

"Pergi Giant buat apa? soal Damia lurus.

"Beli racun tikuslah," jawab Arissa bersahaja. Belum berganjak dari tekadnya.

Ya Allah, tergamak Arissa hendak membunuh menggunakan racun tikus. Kenapa Arissa seberani itu? Arissa yang dikenalinya tidak sekejam itu. Syaitan apa yang merasuknya?

"Beli racun tikus? Kau tak takut kena tangkap ke? Kau tak sayang mak kau ke? Soal Damia keras. Kesabarannya hilang.

"Kenapa pula? Dah nak bunuh tikus. Kenalah guna racun tikus. Bukan aku nak bunuh orang pun," Arissa membalas keras juga.

"Hah? Damia tercengang. Matanya membulat. Perasaan bercampur baur. Lucu ada, geram ada, malu sendiri pun ada. Tapi yang pasti dia lega yang amat. Telahannya sejak tadi nyata menyimpang jauh.

Akhirnya tawanya meledak. Agak lama. Kali ini giliran Arissa pula tercengang.

"Jadi kau nak bunuh tikuslah ya? Soal Damia seperti tersedar dari tidur. Mendapatkan kepastian.

Tawanya masih bersisa.

"Iyalah, kau ni dah kenapa? Cepatlah habiskan minuman. Kita pergi Giant.

"Nak tak nak kau kena temankan aku. Pasal nak bancuh racun tu, biar aku buat sorang kalau kau tak berani tolong.

"Aku dah serabut sangat dengan tikus kat rumah aku tu. Pejabat pun ada. Habis baju-baju aku dalam almari digigitnya.

"Makanan langsung tak boleh tinggal atas meja," jelas Arissa panjang lebar.

“Err...aku ingatkan...aku ingatkan kau nak...ah, tak apalah,” cakap Damia terhenti di situ. Biarlah rahsia. 

Damia terasa seperti orang bodoh.







1 comment:

  1. sedutan cerpen yang pertama?sy nak komen lebeih tak pandai, cuma boleh ucap "keep up girl!"

    ReplyDelete