Friday, 17 February 2012

Sahabat: Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah.


Alhamdulillah, akhirnya Allah lapangkan masa saya untuk menunaikan janji terhadap sahabat.

Sekian lama niat menziarahi sahabat ketika sama-sama belajar (lebih tepat sahabat berpersatuan) di Universiti Putra Malaysia (UPM) tertangguh akibat kekangan masa dan komitmen kerja serta aktiviti lain.

Kami sering berhubung melalui panggilan telefon, sms dan laman sosial cuma sudah terlalu lama tidak bersua muka dan bertentang mata.

Ahad lalu, dengan sedikit kelapangan yang ada, kebetulan Isninnya hari off day saya, saya tidak bertangguh lagi.

Tambahan pula, beberapa hari sebelum itu, sahabat yang ingin dikunjungi ini mengundang saya ke majlis pernikahannya. Alhamdulillah..mabruk. 

Maka saya harus menyegerakan pertemuan sebelm dia bergelar isteri orang dan mungkin akan berpindah mengikut suami.

Selepas menyelesaikan sedikit kerja rumah, saya memandu kereta ke Serdang, menuju ke rumah "sekumpulan" sahabat saya. Semuanya pangkat adik. 

Terasa diri sudah menginjak dewasa. 

Hati riang tidak terkira ketika melihat wajah sahabat-sahabat menyambut kedatangan saya.

Tiga orang adik-adik, Nad, Aini dan Ana. 

Nad dan Ana bekerja di Bangi sementara Aini menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Lega rasa hati setelah hasrat berjumpa yang tersimpan bertahun-tahun tercapai.

Terbayang kenangan sewaktu di Kolej Serumpun 12 dan 14. 

Solat berjemaah di surau kolej, usrah, bermesyuarat, beriadah dan makan setalam. Kadang-kadang tidur sebantal.

Dan sewaktu kembali bertemu, kemesraan yang sama dirasai. Tidak sedikit pun berubah. Tidak kekok meski hampir tiga tahun tidak bertemu.

Bercerita, bergurau senda, ketawa sambil mengimbau kenangan lama sangat membahagiakan.

Tepatlah kata yang sering ditutur, indahnya ukhuwah yang terjalin kerana Allah.

Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah.

No comments:

Post a Comment