Tuesday, 6 March 2012

Fokus, oh fokus...

Mencari motivasi di dalam secangkir kopi. Sampai bila? Saya pun tidak pasti. Walaupun saya sangat cintakan kopi (3 in 1), tapi saya sedar...saya harus menjarakkan perhubungan kami demi masa depan saya sendiri. Saya tidak harus terus bergantung kepadanya. Oh, sedihnya!

Minggu ini (sudah tentu bermula Isnin), saya agak hilang fokus terhadap kerja. Maksud saya, semacam hilang fokus terhadap isu-isu semasa. Menghadap komputer dengan pandangan kosong walaupun sedaya upaya cuba memberikan seratus peratus perhatian.

Baca, tapi isi kandungannya sukar melekat dalam kepala. Huruf-huruf seperti menari-nari. Oh, mungkin saya terpengaruh dengan cerita kanak-kanak disleksia berusia lapan tahun di televisyen Sabtu lepas.

Teringat babak apabila guru menyuruh kanak-kanak tersebut membaca satu petikan cerita, kanak-kanak tersebut gagal membaca. Guru yang bagi saya tidak mempunyai naluri pendidik, tetap memaksa kanak-kanak tersebut membaca. Sehinggalah kanak-kanak tersebut memberitahu dia melihat huruf-huruf di hadapannya sedang menari. Akibatnya, dia dituduh mempermainkan guru dan didenda keluar kelas.

Ketika itu, saya sangat emosional. Saya marah pada gurunya, dan sangat bersimpati kepada kanak-kanak lelaki itu. Sangat malang apabila dia dimarahi hanya kerana guru tidak mengetahui masalah yang sebenar.

Simpati....

Eh, saya bercerita tentang disleksia pula. Bukan itu tujuan utama sebenarnya (muka berkerut).

Berbalik kepada masalah tidak boleh fokus terhadap kerja saya, saya sedang mencari puncanya. Adakah ini petanda saya harus bercuti? Maksud saya, pulang ke kampung supaya saya lebih dekat dengan alam.

Menikmati pemandangan hijau dan udara segar. Merenung air sungai yang mengalir di belakang rumah sambil mendengar kicauan merdu burung layang-layang pulang ke sarang (kiri dan kanak rumah saya terdapat sarang burung layang-layang).

Bercakap-cakap dengan anak lembu yang comel (pastinya sudah semakin membesar) sekarang.

Mungkin selama ini saya memandang semua itu tanpa rasa. Dan kali ini, saya ingin menghadirkan rasa yang begitu indah ke dalam hati. Rasa cinta terhadap makhluk dan alam ciptaan Allah.

Ingin berteman rapat dengan alam.

Eh, saya sedang bercerita tentang alamkah?

Sekali lagi saya ingin berbalik kepada masalah tidak boleh fokus terhadap kerja saya, saya bosan dengan situasi ini, saya memilih membaca penulisan santai. Sengaja tidak mempedulikan setiap topik yang diperkatakan bos dan rakan sepejabat. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Dalam perjalanan ke pejabat hari ini, saya mendengar rancangan "Islam itu indah" yang bersiaran di radio IKIM.FM. Tetamu tetap, Prof. Dr. Muhaya Muhamad. Ya, saya mengaku saya kagum terhadap beliau.

Kata-kata beliau yang melekat dalam kepala saya; orang yang sentiasa membahagiakan orang lain ialah orang yang bahagia.

Maksudnya, bila kita bahagia, secara automatik kita akan membahagiakan orang di sekeliling. Apabila kita selalu memandang negatif terhadap orang lain, selalu mencari kesalahan orang lain, kita yang sebenarnya tidak bahagia.

Eh, saya bercakap tentang bahagia?

Entahlah, terlalu banyak topik dalam penulisan ini mungkin boleh membuktikan betapa saya sedang hilang fokus!

1 comment:

  1. nicely writtrn with some twist..cuma jangan selalu sgt hilang fokus dan meluahkannya dalam karya hahaha..

    ReplyDelete